ZAWFAN & Nazrey Johani Muncul Dengan Single Bismillahir Rahmanir Rahim - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal ZAWFAN & Nazrey Johani Muncul Dengan Single Bismillahir Rahmanir Rahim

Trending

ZAWFAN & Nazrey Johani Muncul Dengan Single Bismillahir Rahmanir Rahim

Dalam perkembangan industri muzik di Malaysia, nasyid merupakan di antara genre muzik yang mekar dan berakar di dalam masyarakat. Kesan perkembangan pesat teknologi menjadikan batas dan sempadan dunia semakin pudar. Dunia tidak lagi terpisah malah digelar pula sebagai desa sejagat. Ini membuka ruang dakwah yang luas. Beraneka ragam dan ranggi mewarnai industri muzik.

ZAWFAN & Nazrey Johani Muncul Dengan Single Bismillahir Rahmanir Rahim
NAZREY JOHANI (kiri) bersama ZAWFAN yang dianggotai oleh Hafiz Tarmizi (atas, tengah), Fadzil Radzi (kanan, tengah) dan Yasir Tarmizi (bawah).

Nasyid 100% Perkusi Pergendangan
Namun dalam kepelbagaian, kebebasan dan kreativiti itu, muncul sebuah kumpulan yang bernama ZAWFAN. Lahir dari kerinduan mereka pada lagu-lagu dakwah yang hanya dihasilkan menggunakan 100% pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan. Bermatlamat menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui. Nasyid yang hanya dinyanyikan dengan vokal berharmoni diiringi kompang dan pergendangan sahaja. ZAWFAN percaya lagu dakwah sebegini dirindui masyarakat.

Malah di laman media sosial, mereka berjaya menghidupkan sebuah komuniti perindu nasyid yang mempunyai keyakinan yang sama seperti mereka. ZAWFAN yakin kerinduan kepada lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan The Zikr tidak hanya dikongsi dalam komuniti kecil mereka tetapi juga dirasai oleh ramai lagi pendengar di luar sana.


Konsep Dan Gaya Muzik
Membesar dengan lagu-lagu nasyid daripada Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi mereka nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun tahun 80-an dan 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat.

“Tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana dengan vokal berharmoni serta iringan kompang dan pergendangan sahaja, namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat mengesankan masyarakat,”ujar Hafiz Tarmizi dari ZAWFAN.

Single kedua ZAWFAN bertajuk "Bismillahir Rahmanir Rahim"

“Bismillahir Rahmanir Rahim” ialah single kedua ZAWFAN. Terdahulu lagu bertajuk “Rasul Kita” telah diterbitkan pada tahun 2021. Seperti juga lagu sebelumnya, ZAWFAN meneruskan susunan muzik yang menggunakan 100% perkusi. Kedua-dua lagu dan lirik ditulis oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tamizi. Dari sudut perkusi pergendangan, ia adalah hasil dari susunan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.


Gabungan gubahan dan susunan beserta alunan vokal berharmoni di dalam lagu ini pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid di era 90an. Melodi santai, ringkas dan lirik Bismillahir Rahmanir Rahim yang jelas serta rangkap chorus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu ini mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.

“Dari sudut pandang muzik, didapati lagu ini mengambil dari pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin. Ini bukan sesuatu yang asing dalam nasyid asalnya kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” tambah Fadzli Radzi.

“Malah babungan penyanyi utama kumpulan ZAWFAN, Yasir Tamizi dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani adalah satu kolaborasi suara yang padu dan sangat baik, kami rasakan. Vokal kedua-duanya saling melengkapi, dengan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar pada irama yang asal seperti di awal kemunculan Raihan dahulu,” yakin Yasir Tarmizi.


Nazrey Johani sudah ada ZAWFAN
Bagi peminat, pendengar dan pemerhati nasyid, sudah sedia maklum hubungan Raihan dan Nazrey Johani setelah beliau meninggalkan kumpulan itu. Walaupun rata-rata kecewa, apa yang berlaku bukan lagi rahsia. Menurut Nazrey keputusan itu dibuat atas sebab keadaan dan tuntutan perjuangan untuk menyebarkan Islam di kampung halamannya.


Apabila dijemput oleh ZAWFAN untuk menjayakan "Bismillahir Rahmanir Rahim" Nazrey Johani berasa amat berbesar hati. Bak kata pepatah “Seperti Orang Mengantuk Disorongkan Bantal”. Menurut Nazrey, “Sememangnya inilah irama nasyid yang dirindui. Inilah nasyid yang asal, yang pernah berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik.”


ZAWFAN pula bersetuju dan berpandangan, sebelum munculnya budaya K-POP dari Korea hakikatnya, Malaysia sudah pun terlebih dahulu mengeksport budaya kita keluar dengan nasyid yang dibawakan Raihan.

Ujar Nzarey lagi “Itulah nasyid pada takrifan yang paling asas, persembahan paling murni dan tulen. Kerinduan pada nasyid yang dibawa bersama Raihan itu terubat dengan penampilan saya di dalam lagu "Bismillahir Rahmanir Rahim" bersama dengan ZAWFAN.”

Paduan vokal berharmoni ZAWFAN menggamit kenangan semasa beliau bersama Raihan dahulu. Walaupun sudah tidak lagi bersama Raihan, menurutnya ZAWFAN sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan itu.


Edaran, Terbitan dan Muzik video
Sebuah muzik video juga sudah di peringkat suntingan terakhir. InsyaAllah, ia bakal dilancarkan di laman YouTube mereka pada bulan Ramadhan.

“Bismillahir Rahmanir Rahim” diterbitkan oleh ZAWFAN sendiri dan akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media. Ia boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain seluruh negara.

ZAWFAN dan Nazrey Johani berharap agar irama nasyid terus mendapat tempat dihati mereka yang benar-benar menginginkan hiburan yang mendidik jiwa.

“Mudah-mudahan usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mengangkat dan menjulang semula irama nasyid yang kini semakin jauh ditinggalkan masyarakat di arus perdana,” ujar mereka.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post