MonoloQue Keluarkan Lagu Terbaru Berjudul Lagu Cinta | Setelah
bereksperimentasi dengan bunyi, ruang, dan alat muzik baru dan lama, dari
serata dunia, MonoloQue telah membuat keputusan untuk kembali ke pangkal
jalan, yakni memberi tumpuan kepada lagu dan irama.
‘Lagu Cinta’ - ringkas, mudah, dan bermakna adalah lagu terbaharu daripada
monoloQue, yang memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada arah tuju album
ketiga yang bakal tiba. Lagu mengenai perlunya cinta dalam kehidupan. Ketika
waktu susah dan perih, cinta adalah penguat. Ketika waktu senang dan tenang,
cinta adalah penyeri.
"Situasi ini diceritakan bukan sahaja menerusi lirik, tetapi turut digambarkan menerusi gubahan lagu. ‘Jika diperhalusi, chorus dan verse Lagu Cinta dimainkan dalam irama minor bagi menggambarkan kegelapan, kesedihan, kesusahan. Tetapi waktu bahagian bridge, lagu bertukar kepada major, sesuatu yang bertentangan. Secara tidak langsung Lagu Cinta memberitahu pendengar yang hidup perlukan keseimbangan. Dalam kesulitan, pasti ada kesenangan," kata LoQue.
Selain itu, Lagu Cinta mempunyai maksud “simbolik”, kemungkinan terhadap
tragedi 2 dekad yang lepas, di mana arwah adik LoQue yang telah meninggal
dunia di dalam kemalangan jalan raya. Kematian tersebut menyebabkan LoQue
sedar bahawa kematian itu adalah sebahagian daripada kehidupan yang pasti
dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, pada masa yang sama, kematian adalah
sesuatu yang mistik dan misteri. Walaupun tiada bukti saintifik, LoQue
percaya bahawa setiap bait kata dan bunyian akan sampai kepada adiknya yang
sudah pergi. ‘Saya harap lagu ini dapat merentas dimensi’ kata LoQue, dengan
harapan yang lagu ini akan sampai ke tempat adiknya sedang bersemadi.
Tidak seperti lagu-lagu monoloQue dari album keduanya, Jangan Puja Sampai
Kecewai, yang dilihat agak berat dan secara jujurnya, sukar diterima oleh
masyarakat sejagat, Lagu Cinta lebih mesra rakyat. Seperti yang dikatakan
tapi, LoQue ingin kembali kepada asas penciptaan lagu, meraikan “irama” atau
“melodi”.
Gubahan dan lirik Lagu Cinta merupakan hasil ciptaan LoQue yang dirakamkan
di Makmal Kampung Batu dan di Kilang Menjahit Bunyi (studio-studio milik
loQue). Dikawal selia oleh jurutera rakaman Ammar “Lautan”, Parameswara,
Lut, dan LoQue sendiri. Turut terlibat adalah juruteknik Eri Ambia, Pengiran
PG, Mujahid, dan juga Lut. Disempurnakan menerusi berpuluh-puluh adunan oleh
LoQue sendiri dan kemudian disempurnakan (mastering) oleh Felix Voon.
Lagu Cinta akan ke udara, ke dalam talian, di segenap landasan digital pada
16 Disember 2022. Ikuti @monoloquerasmi di Instagram, Twitter, dan Facebook
untuk melihat perkembangan dan kisah terkini.
Mengenai MonoloQue
Kumpulan muzik MonoloQue telah ditubuhkan pada tahun 2009 oleh pemain gitar
kumpulan Butterfingers, Khairil Ridzwan Anuar atau Loque. Pada awal
penubuhan, MonoloQue dianggotai oleh Loque, Kadax, Loko, Ijoo (Gagak Hitam),
dan Adam (Senyap). Perubahan anggota kumpulan berlaku pada tahun 2011 di
mana Adam digantikan oleh Apex. Pada tahun 2014, Loko pula pergi dan
tempatnya digantikan oleh Bakri Ismail. Muzik yang dibawakan oleh MonoloQue
bergenre eksperimental yang disulami lirik puitis.
Setelah lebih 1 dekad bermain dan bertukar tukar ahli sementara, pasca
pandemik ini menjadi saksi monoloQue lahir semula dengan “Bunyi Baru”.
Tindak balas kimia petikan gitar utama oleh ahli baru (loQue panggil “unsur
baru”, Harry ‘Misteri’ serta penggunaan kembali unsur gendang/rentak yang
dihidupkan oleh “orang lama” Loko (yang bersama loQue sejak Butterfingers
juga awal era monoloQue) telah merombak semula secara menyeluruh, memecah
ruyung bunyi monoloQue untuk menyusuri era baru lanskap bunyi bunyian kini,
dan masa depan.
monologue artis malaysia, lagu baru malaysia, monoloque, lagu cinta
monoloque, lirik Lagu Cinta MonoloQue,