2800 Peminat Hadiri Konsert Anuar Zain & Ziana Zain 2022 | Kali pertama
konsert Anuar dan Ziana Zain adalah pada tahun 2010 di Singapura. Setelah
lebih sedekad, akhirnya penyanyi adik-beradik Anuar & Ziana Zain tampil
dengan konsert duet mereka di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
(KLCC) pada 6 Ogos 2022 lalu.
Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur berlangsung selama
3 jam telah dihadiri seramai 2800 peminat kedua-dua penyanyi popular ini.
Bayangkan semasa pengumuman rasmi konsert dan tiket mula dijual terus sold
out! Memang teruja sungguh sebab kedua-duanya mempunyai nama gah dalam
industri seni tanah air.
Persembahan konsert bermula pada jam 8.50 malam dengan playback intro Anuar
dan Ziana seterusnya dengan lagu medley Sangkar Cinta dan Bila Resah.
Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana Zain termasuklah Puncak
Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah. Anuar
pula menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Ketulusan Hati, Mungkin,
Lelaki Ini, Keabadian Cinta dan Cinta Takkan Berakhir selain lagu Jangan
Bersedih Lagi secara acapella.
Untuk seleksi lagu duet mereka membawakan lagu Sesuci Cintamu, Lembah
Asmara dan Di Akhir Garisan sebagai lagu penutup konsert. Anuar juga turut
menyanyikan lagu Ziana iaitu Lara manakala Ziana membawakan lagu Sedetik
Lebih.
Konsert anjuran Trumpet International Sdn. Bhd. ini membariskan Lee Sze Wan
sebagai music director dan Jennifer Thompson sebagai pengarah Konsert Anuar
Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur.
Pujian harus diberikan kerana di usia sekarang kedua-dua penyanyi berkelas
ni masih mampu membawakan lagu hit mereka dengan baik secara live. Ziana
Zain tampil mantap dengan lagu Madah Berhelah yang digubah dalam versi rock
yang membuatkan penonton menjerit puas dengan rendisi lagu tersebut. Memang
power betul suara Kak Gie tarik lagu ni.
Antara rakan artis dan selebriti yang turut hadir antaranya Misha Omar,
Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil,
Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah, Putra Amaris, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan
Rozita Che Wan.
Konsert melabuhkan tirai sekitar jam 11.30 malam dan mereka mengumumkan
bakal membawakan konsert serupa di Singapura pada 24 September depan. Terus
terang terasa kurang puas walaupun 3 jam konsert berlalu kerana masih banyak
deretan lagu hits mereka yang dinantikan peminat. Apa-pun stay tune untuk
info konsert mereka di Singapura nanti.