Raffa Affa Rakam Ulang Lagu Tiara Dato M. Nasir - Raffa Affa Tiara | Tiara lagu ciptaan
sepenuhnya oleh Dato M.Nasir, yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Kris,
menjadi single terkini Raffa Affar, setelah lagu hitnya Cinta Sampai Mati.
Raffa Affar, pemuda dari Jawa Barat Indonesia, adalah satu nama popular
dalam media sosial dengan hampir 4 juta pengikut di aplikasi Tik Tok,
merakam ulang (cover) lagu Tiara yang pernah menjadi siulan pada tahun
90-an.
Raffa Affa Tiara
Apabila ditanya kenapa memilih Tiara daripada beribu lagu malar segar
daripada negara jiran Malaysia, Raffa menjawab lagu tersebut dekat dalam
hati nya dan beliau rasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini.
Lagu Tiara yang dahulunya adalah lagu ‘slow rock, telah dibawakan oleh Raffa
dengan cara dan gayanya sendiri. Selain lagu singlenya Cinta Sampai Mati
viral di TikTok, Raffa terkenal juga dengan suaranya yang unik dan wajah
mudanya yang kacak.
Aidilhayat Omar, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio berkata, “Kini memang
menjadi satu trend lagu-lagu Malaysia dirakam ulang oleh penyanyi-penyanyi
Indonesia. Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada
pencipta-pencipta negara ini, telah pergi jauh sehingga ke negeri-negeri
seberang.
Hayat Kreatif Studio yang bertanggungjawab dalam pengedaran dan promosi
untuk lagu nyanyian Raffa di Malaysia, yakin pemilihan lagu Tiara adalah
tepat. Jumlah tontonan di saluran youtube Raffa mencecah 300,000 setiap
hari. Setelah Raffa, ramai yang sudah mula rakam ulang lagu “Tiara” di
Indonesia.
Aidilhayat berterima kasih kepada Dato M.Nasir dan Luncai Emas Sdn Bhd akan
kebenaran yang diberikan untuk rakam ulang Tiara. Proses perlesenan hakcipta
telah dipermudahkan oleh pihak Luncai Emas Sdn Bhd. Dengan kolaborasi ini,
Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakam ulang lagu-lagu malar segar
popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ianya dapat memperkenalkan
kembali lagu-lagu lama kepada generasi muda hari ini.
Single Tiara ini merupakan single kedua hasil kolaborasi di antara Hayat
Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment. Manakala, hakcipta lagu
ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd. Kini, lagu Tiara oleh Raffa Affar
boleh didapati di semua pelantar streaming dan video muziknya telah pun di
muat naik di saluran Youtube Hayat Kreatif Studio untuk tontonan ramai.