Lagu Senandung Melayuku Single Terbaru Dato M. Nasir | Kata-kata pujangga 'Tanah Ini Kampung Kencana' merupakan sebahagian
daripada lirik dalam lagu ‘Senandung Melayuku’ yang dinyanyikan oleh
M.Nasir, gubahan oleh beliau sendiri dan juga Brad Parker, manakala liriknya
pula telah ditulis oleh Keon. Lagu ini telah dicipta dan dirakam pada tahun
1998 sebagai salah satu daripada 4 lagu dalam sebuah projek album
antarabangsa hasil kerjasama Luncai Emas dan bekas syarikat rakaman
antarabangsa, BMG. Namun pada waktu itu, atas dasar-dasar tertentu, lagu
‘Senandung Melayuku’ bersama dengan sebuah lagu lagi yang berjudul ‘I Have A
Name’ , tidak berpeluang untuk dilancarkan lalu hilang tanpa ada rancangan
selanjutnya.
"Oleh kerana hal-hal tertentu, projek itu terkandas. Namun, empat lagu berjaya dirakam dan salah sebuah lagu itu adalah 'Senandung Melayuku'. Ia dirakam pada 1998. “Selepas terkandasnya projek album tersebut, Luncai Emas sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meneruskannya. Tetapi, ada di antara keempat-empat lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir. Sebagai contoh lagu 'Dalam' yang liriknya dihasilkan Loloq" kata Keon.
Kini, pada tahun 2022, lagu Senandung Melayuku timbul semula sebagai
keluaran terbaru Luncai Emas dan single terbaru Dato’ M.Nasir. Memandangkan
M.Nasir sudah lama tidak muncul dengan single baharu, pihak Luncai Emas
mengambil keputusan untuk meluncurkan lagu itu di YouTube Luncai Emas Sdn
Bhd.
Lirik Lagu Senandung Melayuku
Lirik Lagu Senandung Melayuku oleh M.Nasir & Brad Parker, Lirik oleh
Keon.
Di wilayah bumi Melayu
Ku damba petunjuk darimu
Bisa jadi penakluk kalbu
Tanah ini di kampung kencana
Suburkan ia dengan fatana
Biar bertempik puncak Kinabalu
Muntahan api Karakatao
Adat dan kata hilang tak mungkin hilang
Sin syin sat sini kau bersemeda
Sin syin sat sini kau berpesaka
Sin syin sat sini engkau bertanda
Sin syin sat
Simbahkan karunia
Gema sakti irama nafiri
Sin syin sat sini kau bersemeda
Sin syin sat sini kau berpesaka
Sin syin sat sini engkau bertanda
Lagu Senandung Melayuku Hasil Kerjasama Komposer Amerika Syarikat
Lagu Senandung Melayuku Hasil Kerjasama Komposer Amerika Syarikat | Dalam
lagu ini Dato M.Nasir telah bekerjasama dengan Brad Parker, seorang komposer
dan producer yang berasal dari Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang
penulis yang telah banyak menyumbang kepada industri musik di sana, di mana
banyak lagu tulisan beliau telah dinyanyikan oleh artis-artis popular
Amerika Syarikat, seperti Cher, Richard Page, Kieran Goss dan juga
artis-artis Asia seperti Andy Lau di Hong Kong dan Jaya di Filipina.
Lirik Senandung Melayuku ditulis oleh Keon, seorang penulis lirik yang tidak
lagi asing dalam industri muzik tanah air. Banyak lirik yang dipena beliau
dan lagu-lagu yang membawanya telah menjadi hit seperti Relaku Pujuk oleh
Spider, Kejoraku Bersatu oleh Search, Joget Angan Tak Sudah oleh Jay Jay,
Tunggu Aku Datang oleh Hazama , Di Bayang Awan oleh Awie, Raguku oleh ELLA
dan banyak lagi.
Keon berkata “Bila diminta menulis lirik untuk lagu 'Senandung Melayuku', saya terkejut. Tak sangka dia minta saya menulis lirik lagu yang dia sendiri akan nyanyikan. “Selama bersama dan membantu kerjaya muzik beliau, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk menghasilkan lirik lagu buat beliau,” katanya.
Menurut Keon lagi, sebagai pencipta lagu, M.Nasir mempunyai pilihan untuk menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya. “Dan, kalau kita kaji kebanyakan lagu-lagu nyanyian beliau, banyak sekali liriknya dihasilkan arwah Loloq atau Rosli Khamis. “Memang beliau serasi bersama Loloq dan hal itu kita tidak boleh nafikan. Kita perlu hormati hakikat itu," katanya.
Tahun lepas, Senandung Melayuku juga telah menjadi lagu pembukaan bagi
MATHNAWI, sebuah dokumentari pendidikan RTM 13 Episod terbitan Luncai Emas,
yang menceritakan tentang sejarah karya- karya agung lama Tanah Melayu
seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalatus
Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa , Pelayaran Abdullah
dan lain-lain lagi.
Team Luncai Emas juga berpendapat , walaupun ianya bukan karya baharu ,
namun ia jarang didengar serta tidak diketahui peminat di luar sana . Ramai
yang suka bunyian dalam lagu ini. Lagunya sedap dan diakui kehebatan
kolaborasi M Nasir dan Brad Parker. Sebuah video lirik rasmi untuk single
ini telah pun sedia dimuatnaikkan ke dalam laman Youtube Luncai Emas untuk
tontonan semua. Lagu Senandung Melayuku juga boleh didengari di semua
platform digital seperti Spotify, Deezer, JOOX dan sebagainya. Sejak ia mula
dimuat naik di YouTube pada 24 Januari lalu, maklum balas peminat sangat
positif.
Luncai Emas berharap dengan rilisan lagu ‘Senandung Melayuku’ ini dapat
mengubat rindu untuk semua peminat Dato’ M.Nasir dan masyarakat luar di sana
yang sentiasa menyokong kerjayanya serta yang pasti sudah lama menanti karya
terbarunya.