11 Peserta Big Stage 2022 Diumumkan, Pemarkahan Live Marking Oleh Juri
Diperkenalkan
| Program Big Stage sebuah program realiti pertandingan nyanyian yang menampilkan bakat muda
generasi ‘Budak Baru Nak Up’ atau lebih dikenali sebagai BBNU kini kembali
dengan Big Stage Musim 4. Big Stage 2022 bakal menyaksikan persaingan
kompetitif di antara 11 bintang utama yang mewakili tiga negara serumpun
iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia selama lapan minggu.
Peserta Dari Brunei Dan Indonesia Dalam Big Stage 4
Seramai sembilan BBNU dari Malaysia dan dua bintang BBNU dari Brunei dan
Indonesia terpilih untuk beraksi di pentas Big Stage 4. Lima bintang wanita yang akan berentap untuk musim ini ialah Aisha Retno,
Elica Paujin, Lia Aziz, Yazmin Aziz dan Sofiaa Marieylla. Manakala enam
bintang lelaki pula adalah terdiri daripada Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial
Chuer, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian
(Indonesia).**Peserta ke-12 ialah Iqbal Zulkefli (Malaysia).
Konsep Baharu Penjurian Big Stage Malaysia 2022, Siti Nurhaliza & Ajai Juri Tetap
Bagi menyuntik pembaharuan segar agar lebih telus, buat pertama kalinya
konsep baharu penjurian program realiti Big Stage Malaysia 2022 diperkenalkan. Proses
pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live
marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk
tontonan umum.
Seorang juri jemputan juga bakal diundang khas secara bergilir-gilir pada
setiap minggu bagi mengisi kerusi ‘Juri Pedas’ untuk mengadili persembahan
para bintang bersama-sama dua lagi juri tetap, Dato Seri Siti Nurhaliza dan
Ajai. Manakala, kerusi Presiden Netizen yang diperkenalkan buat pertama kali
pada musim lalu untuk menjurikan pertandingan Big Stage dengan kupasan
sudut perspektif yang mewakili suara ramai masih lagi dikekalkan sebagai
salah seorang panel juri Big Stage 2022. Pemilik kerusi ini hanya akan
diumumkan sewaktu konsert pertama kelak.
Big Stage 2022 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi
kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan panel juri dan
undian peminat secara online.
Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh panel juri yang akan
menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu
persembahan mingguan. Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan
melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan
undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage
serta menerusi aplikasi SYOK. Bintang yang mendapat undian terendah akan
disingkirkan.
Sebelum ini, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara big
stage 2018 musim pertama. Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai
juara big stage 2019 (musim kedua) manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai
juara big stage 2020.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu
beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga
pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang
tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan
kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan
RM5 ribu beserta trofi.
Selebriti Alif Satar & Sherry Al Hadad masih kekal hos utama big stage
musim 4 yang akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam
9 malam mulai 6 Februari 2022.
Program Big Stage 2022 boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104)
serta turut boleh boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan
On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Bagi ntuk pelanggan NJOI,
konsert minggu pertama ‘Big Stage 2022’ juga bakal disiarkan secara serentak
di saluran Astro Prima (105).