Buat peminat setia Dato CTDK, pastinya gembira dengan kemunculan filem
dokumentari Siti Nurhaliza
yang bakal ditayangkan di Astro First Channel pada 30 Disember ini. Walaupun
terpaksa menunggu selama dua tahun, akhirnya filem Siti: Are You Ready?
berjaya disiapkan dan akan menemui khalayak.
Siti: Are You Ready? merupakan sebuah filem dokumentari berdurasi 80 minit
yang menampilkan detik di atas dan di belakang pentas, persembahan langsung
serta “Untold Story” sepanjang jelajah Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza on
Tour (SNOT) di tiga buah negara iaitu Indonesia (Jakarta), Singapura dan
Malaysia (Kuala Lumpur). Siapa sahaja yang tidak kagum dengan sumbangan Dato
Siti Nurhaliza terhadap industri muzik tanahair.
SINOPSIS DOKUFILEM SITI: ARE YOU READY?
Filem ini mengangkat sudut pandang seorang isteri, ibu dan penyanyi dalam
kehidupan seharian serta memaparkan perjuangan beliau berlawan dengan diri
sendiri serta kebimbangan yang dilaluinya menuju ke hari konsert. Beliau
kembali bangkit meneruskan rutin sebagai penyanyi selepas cuti bersalin
lalu muncul di pentas berskala besar. Dan pastinya konsert tersebut
meninggalkan memori dan kesan sentimental yang bukan sedikit buah Siti dan
para pencinta penyanyi kesayangan ramai ini di dalam Dokufilem Siti: Are
You Ready?.
Segala pengalaman bersama para peminat dan rombongan konsert jelajah ini
dikongsi dalam filem dokumentari ini. Dari sekecil-kecil persediaan
hinggalah sebesar apresiasi peminat dan pecinta seni, semua dipaparkan
dalam filem yang diterbitkan oleh Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza
Productions ini.
Menampilkan dua anak muda dengan jiwa besar sebagai pengarah, Siti: Are
You Ready? mempamirkan kebolehan luar biasa M.Azhar Rot dan Anz Izwan
memikul tanggungjawab sebagai pengarah filem ini. Kebolehan dua pengarah
muda ini bukan sahaja boleh dilihat dengan mata kasar melalui
sinematografi serta visual yang diambil namun lebih bermakna lagi apabila
mereka bijak mengambil jiwa dan rasa di sepanjang pembikinan konsert ini
berlangsung. Ini semua bakal dirasakan melalui filem ini. Sempat mengalir air mata semasa menonton preview di malam gala. Penuh jiwa dan rasa!
Aspek dokumetari yang paling menarik apabila Siti Nurhaliza menonjolkan
kecintaan yang tulen dan tidak berbelah bahagi terhadap muzik dan
kehidupannya. Buat pertama kalinya, beliau mendedahkan segala-galanya di
hadapan kamera. Semua yang dipaparkan dalam filem dokumentari ini adalah
situasi sebenar, bukannya lakonan. Banyak juga keringat dan air mata
yang tumpah ketika menganjurkan konsert SNOT ini.
DATO’ SRI SITI NURHALIZA ON TOUR - LIVE IN CONCERT
Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour – Live In Concert ialah gabungan rakaman
tiga destinasi yang difilemkan di hadapan sekitar 20,000 para peminat
sepanjang konsert jelajah berlangsung di Jakarta, Singapura dan Kuala
Lumpur pada 2019. Konsert tersebut berlangsung dengan jayanya pada 21
Februari 2019 (Istora Senayan, Jakarta), 2 Mac 2019 (Singapore Expo,
Singapura) dan 16 Mac 2019 (Axiata Arena, Kuala Lumpur).
Konsert yang dilaksanakan bersempena 23 tahun penglibatan beliau di dalam
industri ini mempamerkan kekuatan mental dan stamina sewaktu beraksi di
atas pentas selepas melahirkan cahayamata sulungnya, Siti Aafiyah.
Konsert ini mendapat sambutan hebat daripada peminat dan pencinta muzik
serta ulasan positif dari pihak media setiap negara. Ini ekoran, semua
aspek melibatkan penghasilan konsert baik sebelum, semasa dan selepas
konsert menjadi keutamaan bagi menghasilkan sebuah konsert yang
berprestij, bertenaga dan meninggalkan kesan tersendiri buat para peminat.
Rata-rata peminat dan pengamal media memuji sistem bunyi, penatacahayaan,
repoirtaire dan pastinya vokal siti nurhaliza yang bertenaga sebagai ikon
seni negara ini. Semua lagu yang dinyanyikan ketika konsert membawa
nostalgia kepada buat peminat Siti. Lagu ciptaan siti nurhaliza juga
dinyanyikan di bahagian korus dan dibuat secara medley.
Tulus
turut diundang untuk menghangatkan lagi suasana konsert dengan dendangan
lagunya dan juga duet bersama tuan rumah konsert.
Jangan lupa saksikan filem dokumentari Siti yang - Live In Concert yang
akan berada di Pawagam Rumah Anda,
Astro First
bermula 30 Disember 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda
juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dijual secara kombo pada
harga RM19.90, penonton berpeluang menonton konsert SNOT yang akan
menyusul sejurus filem dokumentari selesai secara berulang-ulang selama 48
jam (2 hari).
Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei anda boleh melanggan
di platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember 2021 dengan harga
USD4.99.
Sumbangan Dato Siti Nurhaliza Kepada Mangsa Banjir
Sebahagian daripada hasil langganan di Astro First dan Vimeo on Demand akan
disalurkan kepada mangsa banjir melalui badan kebajikan terpilih. Jumlah
sumbangan belum ditetapkan kerana bergantung kepada jumlah kutipan.
Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions ingin mengucapkan jutaan
terima kasih kepada TikTok selaku rakan media dan Dadi Cinema rakan tayangan
perdana bagi filem dokumentari ini. Tidak lupa juga kepada semua yang
terlibat untuk menjayakan filem dan jelajah konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza
On Tour.