Portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’
akan menyajikan drama rantaian baharu berjudul ‘Tikam’ yang mengetengahkan
genre jenayah thriller mengenai satu kes pembunuhan yang berlaku di dalam
sebuah pejabat. Dalam tempoh 24 jam, sekumpulan pekerja harus mencari dalang
di sebalik pembunuhan tersebut.
Idea asal dan skrip drama bersiri lapan episod ini diilhamkan oleh tenaga
kreatif Gempak yang tersediri daripada Sham Hashim, Akmal Nahar dan Lemuel
Ong dengan sokongan penulis skrip naskhah popular Angkara Cinta iaitu Rehal
Nuharis. Drama rantaian ‘Tikam’ terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn.
Bhd. ini diarahkan oleh pengarah Michael Ang yang juga bertindak selaku
penerbit di samping turut menjayakan watak pelakon pembantu dalam masa yang
sama. Selain Michael, drama ‘Tikam’ juga turut mendapat sentuhan Hadith Omar
selaku pengarah bersama.
BARISAN PELAKON DRAMA TIKAM
Klimaks drama ‘Tikam’ bergantung kepada keunikan jalan cerita yang padat
dengan plot twist untuk menimbulkan unsur spekulasi dan suspen di kalangan
penonton. Selain itu, drama ini juga turut mempertaruhkan barisan pelakon
popular seperti Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Shahrol, Ben Amir
sebagai NJ, Intan Najuwa sebagai Akma, Michael Ang sebagai Mike, Jasmin
Hamid sebagai Madam Joan, Yuna Rahim sebagai Ika, Ellyas Abdullah sebagai
Sap dan Josiah Lim sebagai Ed.
SINOPSIS DRAMA TIKAM
Situasi di pejabat BD Property dikejutkan dengan penemuan mayat Shahrol di
dalam biliknya. Ketika itu hanya ada 6 orang pekerja sahaja termasuklah
NJ, Akma Ed, Ika, Mike dan Sap yang masih berada di pejabat untuk
menyiapkan kerja haram mereka iaitu menyonglap wang syarikat dalam sebuah
projek perumahan.
Shahrol turut meninggalkan sekeping nota bunuh diri yang menyatakan bahawa
dia rasa kecewa akibat dikhianati oleh pekerjanya yang amat dia percayai
selama ini. Kegiatan pecah amanah mereka telah sampai ke pengetahuan pihak
atasan kerana ada di antara mereka adalah pengkhianat. Keadaan bertambah
panik apabila mereka menyedari bahawa fail merah milik Shahrol yang
menyimpan segala bukti penglibatan pecah amanah mereka semua telah hilang.
NJ mengambil keputusan untuk mengunci pintu pejabat dan tidak membenarkan
sesiapa keluar dari situ selagi pembelot tersebut tidak dijumpai. Situasi
tambah tegang apabila mereka diberitahu satu mesyuarat tergempar di
kalangan ahli Lembaga Pengarah akan diadakan pada pukul 5 petang itu.
TRIVIA MENARIK DRAMA TIKAM
1. Naskhah ‘Tikam’ ialah projek pertama pelakon Intan Najuwa dengan
pengarah prolifik, Michael Ang. Sebelum ini, mereka hampir bekerjasama
menerusi dua buah projek yang berlainan, namun hasrat tersebut tidak dapat
diteruskan seperti yang telah dirancang.
2. Selepas dua tahun berehat dari dunia lakonan, Josiah Lim yang memegang
watak sebagai Ed dan Ellyas Abdullah sebagai Sap membuat kemunculan semula
buat pertama kali menerusi naskhah ‘Tikam’.
3. Intan Najuwa merupakan salah seorang teraju utama dalam drama ‘Tikam’
yang menyandang watak sebagai Akma. Sebagai kelainan, Michael Ang juga
turut memeriahkan drama ini bagi menjayakan watak sebagai ‘Mike’ selain
bertindak sebagai pengarah bersama di samping Hadith Omar.
4. Walaupun Intan Najuwa yang memegang watak sebagai Akma dalam drama ini
memiliki susuk tubuh yang kecil, namun sebenarnya dia seorang yang paling
kuat makan. Setiap kali berada di set penggambaran, Intan akan membuat
pesanan makanan di Grab sekurang-kurangnya tiga kali pada satu masa.
5. Fahrin Ahmad yang memegang watak utama sebagai Shahrol amat disenangi
kerana personalitinya yang suka mengusik untuk menceriakan para pelakon
yang lain sewaktu di set penggambaran.
6. Keseluruhan penggambaran telah dijalankan secara tertutup di Phileo
Damansara dan mengambil masa 12 hari untuk diselesaikan.
7. Ben Amir yang menjayakan watak sebagai NJ adalah seorang penggemar
minuman kopi yang tegar sewaktu di set penggambaran. Ben dan Intan juga
amat pemurah kerana sering membelikan minuman tersebut untuk dibawa ke set
agar dapat dinikmati bersama-sama dengan semua yang terlibat. Lagipun,
sebenarnya semua orang di set merupakan ‘hantu’ kopi.
8. Kesemua barisan pelakon yang terlibat dengan drama ‘Tikam’ ini
mempunyai hubungan yang amat rapat. Sehingga hari ini, tidak ada
sesiapapun yang meninggalkan group chat di aplikasi Whatsapp walaupun
penggambaran sudah lama tamat. Kebiasaannya, semua akan leave group
sejurus selepas tugasan tamat.
Drama bersiri ‘Tikam’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30
malam mulai 3 November 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104)
serta turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On
Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Untuk pengisian di platform
digital pula, kapsul istimewa berjudul ‘Diari Menikam Dari Mike’ pula akan
ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.05 malam mulai 3 November 2021
secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.