Drama rantaian ‘Sihir’ ialah sebuah naskhah asal terbitan syarikat produksi
Juita Viden Sdn.Bhd. berkisarkan tentang perkara syirik seperti amalan sihir
dan santau yang bercanggah dengan ajaran Islam tetapi masih diamalkan secara
berleluasa oleh segelintir masyarakat Melayu negara ini secara
khususnya.
Penceritaan drama menerusi paparan 20 episod ini menceritakan tentang
pasangan kembar bernama Nuh dan Hud yang mempunyai kelebihan deria keenam.
Watak Nuh, lakonan Kamal Adli mempunyai kebolehan untuk melihat masa depan
menerusi mimpi. Manakala watak Hud lakonan Hun Haqeem pula memiliki hijab
yang membolehkannya melihat perkara yang ghaib dan mistik.
Idea asal drama ‘Sihir’ diilhamkan oleh pengarah prolifik Michael Ang,
Syawal Azrai dan Srikandi Emma serta turut menyaksikan kolaborasi gabungan
empat sutradara berbeza yang terdiri daripada Michael Ang dan Azmir Effendi,
serta pelakon Kamal Adli dan Hun Haqeem. Selain duduk di kerusi pengarah,
mereka berdua juga turut menyandang watak utama pada masa yang sama.
Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Michelle Yoon, Rahim
Ramli, Qawiem Hamizan dan Mamu Vies.
Selain Kamal Adli dan Hun Haqeem, drama ‘Sihir’ turut diserikan dengan
kehadiran nama- nama popular seperti Zarul Umbrella, Sharifah Shahora, Farah
Ahmad, Zaryn Myn, Wan Ellyas, Fiza Thomas,Dr. Katalina, Mak Wan Latah, Dilla
Ahmad serta ramai lagi.
PELAKON DRAMA SIHIR
KAMAL ADLI sebagai NuhHUN HAQEEM sebagai Hud
ZARUL UMBRELLA sebagai Ustaz Ayob
SHARIFAH SHAHORA sebagai Sahara
FARAH AHMAD sebagai Juanita
ZARYN MYN sebagai Cik Hilyah
WAN ELLYAS sebagai Wan
FIZA THOMAS sebagai Salina
DR. KATALINA sebagai Mila
MAK WAN LATAH sebagai Cik Munah
DILLA AHMAD sebagai Salmah
SINOPSIS DRAMA SIHIR
Nuh dan Hud merupakan pasangan kembar yang mempunyai deria keenam dan
masing- masing dengan kelebihannya yang tersendiri. Mereka sering mendapat
alamat daripada mimpi atau dengan melihat bayangan sebagai petunjuk kepada
sesuatu perkara. Mereka dibelanggu persoalan untuk menjejaki asal usul
mereka dan sepanjang perjalanan itu Nuh dan Hud dipertemukan dengan insan
yang merana kerana sihir dan orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir. Setiap
kali mereka membantu, mereka sering merasakan semakin dekat dengan jawapan
yang mereka cari. Satu persatu petunjuk dirungkai yang akhirnya membawa Nuh
dan Hud untuk mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya.
TRIVIA MENARIK DRAMA SIHIR
1. Teraju utama, Kamal Adli dan Hun Haqeem yang memegang watak sebagai
pasangan kembar bernama Nuh dan Hud dalam drama ini secara peribadi memang
menggemari genre seram. Watak Nuh yang dilakonkan oleh Kamal Adli merupakan
seorang yang mempunyai kebolehan untuk menerima sesuatu alamat atau petanda
menerusi mimpi. Manakala watak Hud lakonan Hun Haqeem pula merupakan seorang
yang mempunyai kelebihan dan hijab untuk melihat sebarang entiti seram dan
perkara yang berkaitan dengan sihir.
2. Kamal dan Hun pernah terserempak dengan pontianak sewaktu hari ketiga
berada di set penggambaran yang bertempat di sebuah ladang kelapa sawit.
Namun begitu, tiada sebarang gangguan berkaitan perkara mistik di set
berlaku sepanjang penggambaran dijalankan.
3. Kebanyakan kisah yang ditampilkan dalam drama ini adalah berkisarkan
dengan angkara sihir. Manakala entiti seram atau hantu yang ditonjolkan pula
bukanlah dalam bentuk visual wajah dan susuk fizikal yang menakutkan kerana
ia lebih menfokuskan kepada penceritaan yang menyeramkan.
4. Skrip untuk drama ‘Sihir’ sudah dibuat sejak PKP 2.0 lagi dan mengambil
masa lebih kurang empat bulan untuk disiapkan sepenuhnya sebelum
penggambaran dijalankan.
5. Solekan kesan khas dan tata rias untuk drama seram ini turut mendapat
sentuhan make-up artist atau MUA popular, Nisa Khan yang berjaya
menghidupkan apa yang ingin dizahirkan oleh pengarah.
6. Baki penggambaran drama ‘Sihir’ masih lagi berjalan sehingga sekarang dan
dijalan sekitar Negeri Sembilan iaitu Port Dickson dan Kota Warisan.
Drama ‘Sihir’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam
11.00 malam mulai 1 November 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria
(104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand
untuk pilihan yang lebih fleksibel.