Pengembaraan solo bukanlah sesuatu perkara yang asing lagi. Melancong
bersama keluarga mahupun rakan-rakan sememangnya menyeronokkan. Tapi tahukah
anda percutian seorang diri juga mempunyai daya tarikan tersendiri serta
memberikan cabaran baharu?
Memulakan percutian seorang diri pastinya dapat mengajar kita untuk menjadi
seorang yang lebih teratur dan berdikari di masa hadapan. Jadi atur
perjalanan anda dan pastikan anda kunjungi destinasi yang disenaraikan di
bawah ketika melancong secara solo ke Selangor!
1) Kenali Sejarah Sektor Autombil Negara di Muzium Automobil Nasional
Muzium Automobil Nasional terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa
Sepang yang merangkumi ruang pameran seluas 7,949 kaki persegi bagi tingkat
bawah dan 10,577 kaki persegi untuk tingkat satu. Muzium ini dibuka pada
tahun 2004 dan menampilkan sejarah perkembangan industri automotif negara.
Tingkat bawah mempamerkan segmen pengenalan Muzium Automobil Nasional serta
sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan produksi
kereta-kereta terawal.
Manakala, di tingkat satu pula memaparkan industri permotoran di Malaysia
secara umum. Sebagai pelancong solo, anda dapat melihat lebih 20 model
tempatan dan antarabangsa termasuk kereta vintaj di sini. Sememangnya
destinasi ini akan memberi keterujaan untuk pelancong solo!
2) Jom Makan Mee Udang Banjir di Kuala Selangor
Makanan yang wajib anda cuba ketika anda berada di Daerah Kuala Selangor
tentunya adalah menu Mee Udang Banjir yang pasti membuatkan anda terliur!
Ketika melancong seorang diri, anda mesti ingin mencari pilihan makanan yang
sedap serta murah. Mee yang disajikan dengan udang bersaiz besar dan kuah
banjir ini akan memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan. Jadi, di sini
lah tempat paling sesuai untuk anda mulakan sesi food hunting dan nikmati
makanan lazat tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa!
3) Memancing Dulu di Pulau Ketam
Pulau Ketam bukanlah sebuah tempat yang asing kepada penggemar aktiviti
memancing, terutamanya di Negeri Selangor. Pulau Ketam terletak berdekatan
dengan Pelabuhan Klang yang merupakan lokasi yang popular untuk aktiviti
perikanan. Peluang rekreasi sambil memancing ini akan memberi ketenangan dan
masa bersendirian dalam suasana yang menyeronokkan kepada anda!
4) Lakukan Aktiviti Bersama Hos Komuniti Selangor
Habiskan masa terluang anda dengan melakukan aktiviti bersama para Hos
Komuniti yang bertempat di 9 Daerah di Negeri Selangor! Hos Komuniti
Selangor merupakan sekumpulan komuniti dengan pelbagai latar belakang, namun
pastinya sangat dekat dengan cara hidup masyarakat setempat di sesebuah
daerah di negeri Selangor.
Anda boleh rasai pengalaman melakukan aktiviti bersama para Hos Komuniti
seperti belajar tentang cara memancing dan pemprosesan kelapa secara
tradisional dari Hos Komuniti Sabak Bernam, atau belajar tentang cara
pemprosesan Tempeh dan resipi-resepi tempeh yang lazat dari Hos Komuniti
Kuala Langat!
5) Cuci Mata dan Membeli-belah di 1 Utama Shopping Centre
Aktiviti yang santai dan paling diminati ramai adalah membeli belah, sambil
‘cuci mata’! 1 Utama Shopping Centre merupakan Pusat Beli-belah terbesar di
Malaysia yang tidak lekang dari kunjungan pelanggan.
Ianya merupakan lokasi yang ideal untuk anda kunjungi kerana menawarkan
deretan kedai yang menjual pelbagai barangan yang mampu memenuhi keperluan
dan keinginan anda! Tak lupa juga, di sini anda boleh cuba aktiviti sukan
Flow Rider atau Air Rider Indoor Skydiving untuk sebuah pengalaman yang luar
biasa!
Siapa kata dengan melancong seorang diri tidak dapat menarik? Banyak juga
aktiviti yang boleh dilakukan semasa mengembara sendirian dan semuanya pasti
menyeronokkan!