Taman tema air di Negeri Selangor telah mula beroperasi semula selaras
kelonggaran dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Orang ramai sudah
boleh mula untuk membawa anak-anak untuk bermandi-manda pada hujung minggu,
atau nikmati keseronokan ini bersama rakan taulan di taman tema air.
Taman tema air merupakan tarikan pelancongan yang digemari semua lapisan
masyarakat tidak kira usia. Permainan gelongsor dan ombak buatan sememangnya
tarikan yang sinonim dengan taman tema air. Setiap taman tema air juga
mempunyai keunikan yang tersendiri. Hanya individu yang telah lengkap dua
dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan mengunjungi taman tema air di Negeri
Selangor. Jom lihat senarai tema air di Selangor untuk kunjungan anda
beriadah.
1) Sunway Lagoon
Sunway Lagoon, teman tema air yang terletak di Bandar Sunway, Subang Jaya.
Taman tema air Sunway Lagoon ini dilengkapi dengan tarikan gelongsor
pelbagai jenis yang sangat mengujakan. Antara tarikan popular di Sunway
Lagoon yang sangat digemari para pengujung adalah Vuvuzela, Little Zimbabwe,
Waterplexx 5D, Surf Beach dan banyak lagi!
Kredit: Sunway Lagoon by kaionn.75 @IG
Sempena pembukaan semula pada 7 Oktober 2021, Sunway Lagoon telah
memperkenalkan aktiviti berkelah yang dinamakan “Camp Out! at Sunway
Lagoon”. Jadi, rasai sendiri pengalaman bermalam di Sunway Lagoon yang
pertama kali diperkenalkan ini!
2) Bangi Wonderland Theme Park & Resort
Bangi Wonderland merupakan taman tema air yang dikelilingi oleh hutan
rekreasi dengan keluasan 12 ekar. Lokasinya yang terletak di tengah antara
Bandar Semenyih dan Bangi sememangnya sesuai bagi anda yang ingin melarikan
diri dari kesibukan kota. Bangi Wonderland menawarkan 14 permainan yang
menyeronokkan, antaranya Anaconda Trail, Body Slide, Green Pearl dan banyak
lagi!
Kredit: Bangi Wonderland Theme Park & Resort by ohmedia @IG
3) Waterworld @ I-City
Selain daripada cahaya lampu LED dan taman tema salji yang menjadi tarikan
popular para pengunjung di i-City, Shah Alam, taman tema air di sini harus
juga diberi perhatian kerana Waterworld i-City ini menawarkan aktiviti yang
amat menarik dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para
pengunjung! Jom cuba satu-satunya Tornado Ride yang terdapat di Asia
Tenggara, yang mencabar keberanian anda dan tentunya menyeronokkan!
Kredit: Waterworld @ i-City by littlehumansonthe @IG
4) Wet World Water Parks Shah Alam
Wet World Water Parks Shah Alam ini sudah beroperasi sejak 1996 lagi! Ianya
menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung, lebih-lebih lagi pada si
kecil. Antara tarikan popular yang anda boleh cuba cuba di sini ialah Super
Hurricane, Monsoon Buster, Thunder River dan Kiddy Typoon Lagoon. Pilihan
aktiviti yang ditawarkan di sini adalah sesuai untuk kanak-kanak, dan
kebanyakan kolam di sini adalah berparas cetek. Jadi, anda boleh bawa anak
anda ke Wet World Water Parks Shah Alam pada masa cuti nanti!
Kredit: Wet World Water Parks Shah Alam by alifeady @IG
Taman tema air kerap kali dikunjungi secara berkumpulan atau beramai-ramai
agar lebih meriah. Tambahan pula, taman tema air merupakan hiburan yang
dapat dinikmati tanpa mengira usia. Menariknya lagi, sesetengah taman tema
air turut menyediakan tempat penginapan sekiranya sehari tidak cukup untuk
anda menikmati semua aktiviti yang ditawarkan. Debaran permainan gelongsor
yang curam dan ketenangan kolam renang memberi penangan yang hebat kepada
para pengunjung. Jangan ketinggalan untuk menikmati pengalaman taman tema
air yang menakjubkan di Negeri Selangor ini!
Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk berdisiplin
dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh
pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai
pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara
kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor.
Maklumat lanjut, boleh layari www.selangor.travel.