Mungkin ada di antara kita yang masih tidak tahu apakah minat, hobi dan
bakat sebenar yang kita miliki atau mempunyai potensi untuk digilap. Pandai
melakukan sesuatu tidak bermakna itulah perkara yang anda minati ataupun
itulah satu-satunya bakat anda. Boleh jadi ia adalah salah satu daripada
kepandaian atau kemahiran anda tetapi itu bukanlah minat sebenar anda.
Jom terokai dan ceburi beberapa hobi baharu dengan keunikannya yang
tersendiri Ini masa untuk serlah dan ekspresikan diri anda melalui hasil
seni dan kraftangan! Berikut adalah 7 lokasi di Selangor untuk anda mencuba
hobi baharu.
- seni jahitan
- pembuatan seni dan kraf
- bengkel seni tanah liat
- menjahit beg tote (tote-bag)
- seni bunga tekap
- seni kraf tembikar
- karya seni teknologi digital
1) Sewing World Gallery, Subang Jaya
Terletak di One City, Subang Jaya, Sewing World Gallery telah mula
ditubuhkan sejak tahun 1989. Organisasi ini telah mengendalikan banyak
bengkel menjahit sejak mula beroperasi untuk memastikan tradisi dan seni
menjahit ini diturunkan ke generasi baharu. Ianya juga menyediakan landasan
untuk artis yang mempunyai kemahiran untuk menjual hasil seni mereka di
sini. “Tunku Azizah Handmade Market” yang dimulakan pada tahun 2010 adalah
salah satu saluran untuk pelajar organisasi ini menjual hasil seni jahitan
mereka ke pelbagai tempat dari pasar malam ke bazar dan juga Pusat
Beli-belah.
Organisasi yang telah memperoleh pelbagai anugerah dari tahun 2009 ini
juga menawarkan bengkel kraftangan dan pembelian produk buatan tangan
secara atas talian melalui laman sesawang rasmi mereka. Untuk maklumat
lanjut, sila layari: https://sewingworld.com.my/ atau hubungi 03 -
50223023
2) The Artsy Craftsy, Shah Alam
The Artsy and Craftsy adalah sebuah organisasi seni yang terletak di Bukit
Jelutong, Shah Alam. Mula beroperasi pada tahun 2008, organisasi ini
membantu anda untuk menerokai bakat seni yang terpendam dalam diri anda dan
membantu anda menjadi kreatif melalui pembuatan seni dan kraf. Organisasi
ini juga menyediakan bengkel seni dan kraf seperti mengecat kanvas dan
tote-bag, binaan tanah liat kering, seni lukisan coretan (doodle) dan banyak
lagi. Organisasi ini mengendalikan bengkel mereka di studio yang dihias
dengan suasana tenang dan selesa bagi mengekalkan inspirasi buat pengkarya.
Kredit: Artsy Craftsy by theartsycraftsy @IG
3) Clay Expression, Subang Jaya
Seperti namanya, Clay Expression adalah sebuah organisasi yang menawarkan
bengkel seni tanah liat. Organisasi ini mengendalikan bengkel-bengkel
untuk seni tanah liat yang kemudian dibentukkan menjadi tembikar atau
pottery yang cantik mengikut kreativiti anda. Selain daripada
mengendalikan bengkel, organisasi ini juga menawarkan kelas-kelas untuk
seni tanah liat. Kelas-kelas terdiri daripada kelas untuk pelajar baharu
(beginner), sedia-ada (intermediate) dan mahir (advanced).
Clay Expression terletak di Subang Jaya ini juga ada menawarkan bengkel
secara peribadi berkumpulan dengan minimum 6 peserta dalam sesi 1 jam,
jika anda mahukan sesi pembelajaran yang lebih bertumpu. Untuk maklumat
lanjut, sila layari: https://clayexpression.com/ atau hubungi +6018
2999054
4) Sew Fabby, Shah Alam
Pemilik Sew Fabby yang dikenali sebagai Puan Azzah, mula menjahit dari usia
kecil hasil didikan dari ibunya. Kemudian, beliau menyambung hobi ini pada
tahun 2008 dengan mula menjahit beg tote (tote-bag) untuk kenalan dan
rakan-rakan rapat. Mendapat sambutan hangat, Puan Azzah mula mengambil
pesanan jahitan di laman Facebook.
Kredit: Sew Fabby by sewfabby @IG
Sew Fabby telah berjaya menganjurkan bengkel pertama pada tahun 2012
bertempat di Art 2 Publika. Kini, organisasi ini aktif menjual hasil-hasil
jahitan termasuk patung plushie, tuala bersulam, bekas pensil bersulam, key
chain yang dihasilkan dengan idea sendiri, dan macam-macam lagi. Untuk
maklumat lanjut, sila hubungi 016-395 9386
5) Fabu Cafe, Subang
Fabu Cafe yang terletak di Bandar Sunway adalah terdiri daripada komuniti
sekumpulan peminat teknologi dan peminat kraf yang bersemangat dalam
berkarya. Fabu Cafe juga menyediakan ruang komuniti dan pelbagai alat
fabrikasi digital seperti laser, pencetak 3-dimensi dan mesin sulaman
digital untuk pengguna dan pengkarya mendapatkan pengalaman karya seni yang
terbaik. Selaras dengan namanya, Fabu Cafe juga menarik perhatian pelanggan
dengan menawarkan menu lempeng bercetak di mana lempeng dihasilkan mengikut
bentuk dan hasil seni pelanggan.
Kredit: Fabu Cafe by Fabucafe @FB
Fabu Cafe juga menawarkan khidmat bengkel untuk memupuk semangat senibina
dan kesenian dalam kalangan pelajar. Untuk maklumat lanjut, sila layari:
http://www.fabu.com.my/ atau hubungi 03-5611 7355
6) Laman Kraf Tani, Kuala Langat
Puan Esiah dari Laman Kraf Tani, Kuala Langat telah menghasilkan seni bunga
tekap sejak tahun 1999 lagi, yang telah berjaya menembusi pasaran tempatan
dan antarabangsa. Penggunaan bunga dalam hasil seni Puan Esiah semuanya
ditanam di rumah kampungnya yang penuh dengan bunga hijau yang subur dan
pokok buah-buahan. Puan Esiah juga telah banyak sertai pameran seni dibawah
tajaan Agensi Persekutuan. Para pengunjung boleh singgah ke Laman Kraf Tani
ini yang terletak di Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan belajar
beberapa teknik untuk menghasilkan seni bunga tekap yang menarik. Untuk
maklumat lanjut, sila hubungi 03-3181 7052
Kredit: Laman Kraf Tani by farisjaafar @IG
7) Ramadas Pottery, Kuala Selangor
Ramadas Pottery di Kuala Selangor ada salah satu lokasi unik yang
tersembunyi di Kuala Selangor. Ramadas Pottery yang dimilliki oleh keluarga
Ramadas mula aktif dalam industri ini pada tahun 1976. Tuan Ramadas yang
lahir pada tahun 1951 telah berjaya memperoleh anugerah Adiguru Kraf
Tembikar pada tahun 2012 kerana kemahiran dan pencapaian beliau dalam seni
kraf tembikar. Produk-produk tembikar dari Tuan Ramadas Pottery termasuk
periuk, pembakar kemenyan, periuk tanah liat, hiasan untuk rumah dan
macam-macam lagi. Anda boleh lawati Ramadas Pottery untuk belajar cara
membentuk tembikar menggunakan tanah liat asli menggunakan tangan dan mesin
khusus untuk pembentukan tembikar. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
0126671373
Kredit: Ramadas Potttery by Adibrawi @wordpress
Melalui karya seni, anda tentunya boleh ekspresikan diri anda. Kelas atau
bengkel dengan suasana yang tenang dan santai juga mampu memberikan fokus
bagi anda menghasilkan karya seni yang bermutu tinggi. Justeru, serlahkan
kreativiti dan bakat terpendam dalam diri anda di 7 lokasi di Negeri
Selangor yang tersenarai di atas!
Untuk terus membendung penularan wabak Covid-19, anda sentiasa diingatkan
untuk terus ikuti SOP yang telah ditentukan oleh pihak Majlis Keselamatan
Negara (MKN) di mana sahaja anda pergi. Pastikan anda mengikuti peraturan
termasuklah seperti memakai topeng muka setiap masa, memastikan penjarakan
sosial dan menggunakan cecair pembersih tangan.