Drama mini bersiri ‘SAGA 2.0’ merupakan sekuel kepada bahagian pertama
naskhah ‘SAGA’ yang menampilkan penceritaan penuh aksi bertemakan elemen
pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan
syarikat produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd. Kesinambungan bahagian
kedua bakal mengetengahkan konflik dan plot twist serba baharu yang
dikembangkan daripada edisi pertama bagi menyuntik kelainan segar untuk
naratif kisah kali ini.
Sekuel ‘SAGA 2.0’ diarahkan oleh sutradara Khairudin Samsudin serta turut
menampilkan Azizah A Malik selaku penerbit eksekutif dan Azian Pasiran
selaku penulis skrip. Drama ‘SAGA 2.0’ diterajui oleh pelakon handalan
seperti Imam Shah, Jeff Catz, Hasnul Rahmat, Hannah Delisha dan Shah
Iskandar. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan
khas oleh bintang atlet MMA iaitu Amir Khan dan Agilan Thani. Kesinambungan
kisah aksi mantap yang sarat dengan pengajaran menerusi empat buah episod
istimewa di Astro Ria mulai 18 Ogos ini.
SINOPSIS DRAMA ‘SAGA 2.0’
Berkisarkan tentang Zack yang menghadapi masalah hubungan dengan ayahnya,
Borhan, seorang guru silat. Hubungan mereka menjadi genting apabila Borhan
mendapat tahu Zack terlibat dalam MMA. Malangnya, anak dan ayah tidak sedar
siapa musuh mereka sebenar.
Musuh mereka adalah orang kepercayaan Zack iaitu Ryan dan murid setia
Borhan, Farouk. Konflik mereka meruncing apabila Ryan dan Farouk berjaya
memutarbelitkan keadaan. Mujur, teman wanita Zack, Sofea berjaya mendedahkan
kebenaran.
Barisan Pelakon Drama ‘SAGA 2.0’
PELAKON UTAMA
IMAM SHAH sebagai Zack
JEFF CATZ sebagai Ryan
HASNUL RAHMAT sebagai Borhan
HANNAH DELISHA sebagai Sofia
SHAH ISKANDAR sebagai Farouk
PELAKON PEMBANTU
WAHYU RAHMAN sebagai Hasnah
AMY KECIK sebagai Khairul
ISA BORA sebagai Hassan
RIZAL RAHIMAN sebagai Azri
THE CHOSEN WAN ‘TCW’ sebagai Kelvin
WANDY sebagai Danny
PENAMPILAN KHAS ATLET MMA
AMIR KHAN
AGILAN THANI
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SAGA 2.0’
1. Pembikinan sekuel kedua drama mini yang memuatkan 4 buah episod ini telah
mengambil masa 27 hari secara keseluruhan. Manakala lokasi penggambaran pula
telah dijalankan di sekitar Singapura.
2. Lebih membanggakan, drama mini ‘SAGA 2.0’ telah tersenarai dalam pusingan
akhir pencalonan untuk kategori ‘Best Direction’ di New York Festivals TV
and Film Awards 2021. Manakala Imam Shah juga turut tercalon sebagai finalis
akhir bagi kategori Pelakon Terbaik menerusi drama yang sama. Keputusan
akhir akan diumumkan pada bulan Oktober kelak.
3. Untuk makluman, Imam Shah pernah mengalami kecederaan ringan sewaktu
sedang menjalani penggambaran drama tersebut. Namun, kecederaan yang
dialaminya tidak serius. Ironinya, pengarah drama Khairudin Samsudin pula
yang terpaksa duduk di kerusi roda sambil mengarah selama 3 hari gara-gara
terpelecok.
4. Sewaktu drama ini masih sedang dalam penggambaran, pelakon utama Imam
Shah yang melakonkan watak Zack dan Hannah Delisha belum lagi diijabkabulkan
sebagai suami isteri. Menurut pengarah, tidak ada sebarang masalah daripada
segi mencipta keserasian di antara kedua-dua watak yang dibawakan oleh Imam
dan Hannah kerana mereka memang merupakan pasangan kekasih di dunia realiti.
Sikap profesional dan komitmen tinggi yang diberikan oleh mereka juga turut
memudahkan lagi urusan penggambaran sewaktu di set.
5. Kedua-dua mereka juga pernah bergandingan dalam drama bersiri ‘Kisah
Rumah Tangga: Rindu Salah Alamat’ yang pernah ditayangkan di saluran Astro
Ria sekitar April yang lalu.
6. Pelakon handalan Jeff Catz yang memegang watak antagonis sebagai Ryan
pernah merangkul anugerah untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Asian
Television Awards menerusi lakonannya dalam drama Bunga Tanjong pada tahun
2016.
7. Untuk mendapat ‘feel’ sebenar sekaligus menjaga kualiti lakonan, pihak
produksi turut membawa masuk khidmat pelakon lagak ngeri atau ‘stuntman’ dan
pakar pesilat untuk menyusun koreografi aksi, memberi tunjuk ajar serta
melatih para pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak nampak
seperti dibuat-buat.
8. Pembikinan drama ini juga turut mendapat sokongan penganjur pertandingan
MMA di Singapura. Pihak penganjur tersebut memberi kebenaran dan akses untuk
menggunakan kemudahan fasiliti bagi penggambaran melibatkan adegan
gimnasium.
‘SAGA 2.0’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00
malam mulai 18 Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan
Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On
Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.