Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada tanggal 31 Ogos yang akan
datang, jom menelusuri nilai dan tinggalan sejarah di beberapa destinasi di
Negeri Selangor. Destinasi di Negeri Selangor ini kaya dengan 1001 kisah
sejarah dari zaman penjajahan terdahulu.
Bagi menyemarakkan semangat patriotisme anda di bulan kemerdekaan ini, jom
ikuti beberapa pekan dan bandar lama di Selangor yang masih kekal megah
dengan bangunan tinggalan sejarah yang berusia lebih dari 100 tahun!
Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor
Pekan Kuala Kubu Bharu telah ditadbir oleh Residen British yang terawal
seperti Presiden Frank Athelstane Swettenham. Di sini juga telah didirikan
sebuah kubu pertahanan Raja Mahadi dalam Perang Saudara yang terjadi pada
tahun 1867-1874. Pekan ini juga pernah ditimpa bencana bah yang teruk yang
mengikut legenda adalah disebabkan tindakan seorang Pegawai Inggeris, Cecil
Ranking yang telah membunuh buaya putih yang dianggap sebagai penjaga penduduk
Kuala Kubu yang lama.
Bandar Kuala Kubu Bharu
Terdapat beberapa destinasi di sini, antaranya Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu
di mana anda boleh mendalami kisah sejarah Pekan ini. Bangunan-bangunan lama
yang dibina dari zaman pemerintahan British seperti Balai Polis, Pejabat Pos
dan juga Menara Jam juga masih berdiri teguh di sini. Pihak Berkuasa Tempatan
sedang dalam usaha untuk memetakan Pekan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural
Organization (UNESCO) untuk lebih dikenali di persada antarabangsa.
Bandar Diraja Klang
Klang, yang merupakan bandar yang tertua di Malaysia juga mempunyai nilai
sejarah tersendiri. Klang telah dipilih menjadi ibu kota Negeri Selangor
selepas kemangkatan Sultan Muhammad sebelum dipindahkan sekali lagi ke Kuala
Lumpur. Selain daripada menjadi Bandar Diraja yang menempatkan Istana Sultan
Selangor, Klang juga adalah bandar yang dulu pernah menjadi kawasan
pertempuran buat Perang Saudara yang berlaku antara Raja Mahadi dan Raja
Sulaiman.
Royal Gallery Sultan Abdul Aziz
Klang Bandar Diraja
Bandar ini juga mempunyai banyak bangunan yang dibina pada zaman British
antaranya Chennai Silk Palace Klang, Church of Our Lady Lordes dan Gedung Raja
Abdullah. Bangunan-bangunan ini kemudian telah dijadikan sebagai lokasi
singgahan dalam Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour untuk para
pengunjung lawati kawasan bersejarah di sekitar bandar ini. Terdapat tempat
ikonik lain yang boleh dilawati di Bandar Diraja Klang seperti Jambatan Kota
yang dibina pada tahun 1957 dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang
menempatkan koleksi peribadi Kesultanan Melayu Selangor.
Bandar Kajang
Kajang adalah sebuah mukim yang terdapat di Daerah Hulu Langat, Negeri
Selangor. Bandar Kajang yang telah berusia lebih 200 tahun ini dahulunya
merupakan kawasan melombong bijih timah yang dimulakan oleh masyarakat
Mendaling, Rawa, Minangkabau dan sedikit orang Kampar dari Sumatera yang telah
berhijrah ke Daerah ini. Kajang juga mempunyai bangunan-bangunan tinggalan
dari zaman lalu seperti Kuil Shen Sze She Yar yang sudah berusia lebih 120
tahun. Bangunan-bangunan bersejarah di Kajang juga termasuk Pejabat Pos Lama,
Masjid Jamek Kajang dan juga kedai biskut yang rata-rata bangunan ini semua
dibina lebih 100 tahun yang lalu.
Jalan Tunku Kelana
Kajang juga menawarkan Program Jejak Warisan yang tersendiri khusus untuk
peminat sejarah dan pengunjung untuk menerokai peristiwa dan tinggalan sejarah
di Kajang. Selain itu, di sini juga terdapat Bangunan Tan Boon Chia dimana ia
merupakan sebuah bangunan yang dahulunya merupakan kediaman buat pemilik
lombong sebelum menjadi Ibu Pejabat bagi tentera Jepun. Kajang juga mempunyai
Pusat Warisan Kajang yang menempatkan 300 koleksi artifak, alatan dan juga
dokumen sejarah khususnya yang berkaitan dengan Bandar Kajang.
Pekan Lama Kuala Selangor
Pekan Lama Kuala Selangor mula diduduki oleh orang laut yang menyara hidup
dengan menangkap ikan pada kurun ke-17 Masihi. Penduduk awal yang
kebanyakannya terdiri dari kaum Bugis ini juga dikatakan diketuai oleh seorang
wanita Bugis yang kaya dengan sifat kasih sayang. Terdapat teluk yang
dinamakan Teluk Penyamun kerana ianya merupakan lokasi yang sering menjadi
tempat kegiatan menyamun. Jeram, sebuah mukim di Kuala Selangor juga dikatakan
menjadi tempat Sultan Mansur Syah Melaka yang memerintah dari 1459 hingga 1477
menabalkan Putera Baginda; Paduka Seri Cina.
Pekan Lama Kuala Selangor
Untuk merungkai sejarah Pekan Lama Kuala Selangor, anda boleh lawati Muzium
Sejarah Daerah Kuala Selangor untuk mendalami lebih lanjut kisah sejarah Pekan
ini. Bukit Malawati juga antara lokasi yang boleh dikunjungi untuk menjejaki
semula tinggalan sejarah seperti Batu Hampar, Perigi Beracun dan Meriam
Penggawa yang setiap satunya mempunyai kisah unik yang tersendiri.
Pekan Jugra
Jugra yang dahulu dikenali sebagai Bandar Temasya mula dibuka pada abad
ke-18 oleh orang Bugis yang datang dari Johor untuk kegiatan berdagang
dengan Negeri Melaka. Jugra juga pernah menjadi kawasan pentadbiran Kerajaan
Negeri Selangor selepas perpindahan dari Kuala Selangor pada tahun 1859
iaitu di zaman pemerintahan Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad. Jugra
terletak di lokasi yang strategik dan selamat sebagai kawasan penempatan,
perniagaan dan perdagangan. Jugra juga telah menjadi tumpuan pedagang untuk
berlabuh dan mengangkut hasil bijih timah.
Dikatakan juga Hang Tuah pernah menjejakkan kaki ke sini untuk tujuan
menyabung ayam di Bukit Jugra. Jugra juga mempunyai tinggalan sejarah dari
zaman kesultanan Sultan Abdul Samad seperti Istana Long Puteri dan Istana
Jugra yang pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Abdul Samad daripada
tahun 1859 hingga 1898. Muzium Insitu Jugra yang dahulu merupakan sebuah
Balai Polis, mahkamah dan juga lokap, adalah tempat yang terbaik untuk
selami sejarah Jugra dengan lebih lanjut. Jangan lupa untuk singgah ke
Istana Bandar Jugra dan Masjid Alaeddin semasa anda berkunjung ke pekan ini.
Setiap destinasi Negeri Selangor yang tertera mempunyai pelbagai peristiwa
sejarah yang mampu memberi pengajaran buat masyarakat masa kini. Kisah
sejarah ini juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa sayang
akan tanah air.
Namun, di mana sahaja anda berada, terus patuh kepada prosedur operasi
standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara
seperti memakai topeng muka, menggunakan pembersih tangan dan mempraktikkan
penjarakan sosial.
Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk
mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Yang ke-64!