Drama mini bersiri ‘SAGA’ ialah sebuah naskhah asal bertemakan pertarungan
seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan syarikat
produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd. yang berpangkalan di Singapura. Drama ini memaparkan
sebuah kisah konflik tentang pengorbanan, pergolakan, dendam dan
kekeluargaan.
Plot penceritaan drama ini berkisarkan kegiatan mengatur perlawanan dan
aktiviti pertaruhan haram yang melibatkan sukan tempur MMA. Meskipun sarat
dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama kekeluargaan
dan pengorbanan dalam naratif penceritaan mengusik jiwa yang penuh
mendebarkan.
Konsep asal dan skrip drama mini empat episod ini diilhamkan oleh Amanah
Mustafi serta turut mendapat sentuhan Faisal Ishak selaku pengarah. Drama
‘SAGA’ diterajui oleh barisan bintang popular kelahiran Kota Singa seperti
Dato’ Aaron Aziz, Nick Mikhail, Jeff Catz, Nadiah M. Din, Syarif, Shahrin
Azhar, Imam Shah dan Hamidah Salim. Lebih istimewa lagi, drama ini turut
diserikan dengan penampilan khas oleh Allahyarham J A Halim.
SINOPSIS DRAMA ‘SAGA’
Andy baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi jenayah
yang tidak sengaja dilakukan. Sewaktu ketiadaan Andy, adiknya Rudy yang
masih belajar mengambil alih menjaga ibunya yang sudah uzur. Rudy membenci
abangnya kerana Andy membawa aib pada keluarga. Biarpun masa depannya kelam,
Andy gembira menghabiskan masa di gelanggang tinju. Ia memberinya peluang
melepaskan kekecewaan hidupnya.
Sementara itu, Din Cobra pula berusaha menjadi juara dalam pertarungan MMA.
Pegawai promosi, Ryan gembira dengan perlawanan yang Din Cobra tunjukkan
kerana ia memberikannya keuntungan besar. Ryan menjadikan MMA sebagai usaha
niaga di mana dia mengatur pertaruhan dan perlawanan. Namun, wang lumayan
yang diperolehi lenyap dalam sekelip mata di kasino.
Selepas berbulan lamanya, Andy masih gagal memperolehi sebarang pekerjaan.
Dengan bantuan rakannya, Andy mendapat pekerjaan sebagai ‘bouncer’ di kelab
malam. Pada satu malam, dia dapati Jun, pelayan kelab di tempat dia bekerja
telah dikejar oleh sekumpulan pemuda. Andy telah menyelamatkan Jun daripada
kejadian tersebut. Sejak itu, hubungan mereka mula rapat.
BARISAN PELAKON DRAMA ‘SAGA’
Aaron Aziz sebagai AndyNick Mikhail sebagai Din Cobra
Jeff Catz sebagai Ryan
Nadiah M.Din sebagai Jun
Syarif sebagai Rudy
Shahrin Azhar sebagai Dino
Imam Shah sebagai Zack
Hamidah Salim sebagai Mak Leha
Allahyarham J A Halim sebagai Bapa Andy
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SAGA’
1. Drama ‘SAGA’ musim pertama diterbitkan pada sekitar tahun 2015 dan
telah disiarkan di negara asal, Singapura. Pada tahun 2020, kesinambungan
kisah tersebut dibawakan kembali dengan penceritaan serba baharu menerusi
drama ‘SAGA 2.0’.
2. Ini adalah kali pertama drama ‘SAGA’ ditayangkan di platform Astro.
Manakala drama ‘SAGA 2.0’ pula bakal ditayangkan sejurus selepas tamat
musim pertama untuk mengisi slot yang sama. Butiran terperinci mengenai
musim kedua akan diumumkan kemudian.
3. Keseluruhan drama ‘SAGA’ musim pertama telah mengambil masa dua bulan
untuk diselesaikan. Manakala lokasi penggambaran pula telah dijalankan di
sekitar Singapura. Sepanjang penggambaran dijalankan, pihak produksi turut
memastikan anggota perubatan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di
setiap set lokasi untuk tujuan keselamatan.
4. Bagi mencantikkan lagi visual sewaktu pembikinan drama tersebut, sebuah
gelanggang arena perlawanan MMA turut dibina khas di studio MediaCorp. Ini
bagi memastikan proses penggambaran adalah terkawal sepanjang masa kerana
terdapat babak yang turut membawa masuk perkhidmatan atlet MMA profesional
untuk babak aksi lasak. Bagi peminat sukan tempur seni bela campuran MMA,
terdapat banyak perkara yang dapat dipelajari menerusi drama ini khususnya
tentang teknik dan pergerakan yang betul.
5. Lagu runut bunyi drama ‘SAGA’ berjudul ‘Jiwa Juara’ nyanyian Iskandar
Ismail turut diangkat menerusi Kategori Lagu Terbaik dalam Pesta Perdana
2017 anjuran Mediacorp Suria. Lagu tersebut merupakan ciptaan Reyza
Hamizan dan lirik yang ditulis sendiri oleh beliau.
‘SAGA’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00
malam mulai 11 Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104)
dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO
dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.