Sekiranya anda mencari lokasi yang mempunyai senibina yang unik dan
menarik, apa kata anda luangkan masa untuk melihat sendiri keunikan bangunan
yang memukau dan mempesonakan di Negeri Selangor bila tiba masa yang sesuai
kelak.
Kebanyakan bangunan yang dibina adalah diilhamkan daripada warisan dan
kepercayaan masyarakat tempatan. Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 6
senibina unik yang terdapat ni Negeri Selangor untuk anda kunjungi di masa
hadapan! - #ImagineNowExperienceSoon!
1) Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz terletak di Bandar Diraja Klang. Dahulunya
dikenali sebagai Bangunan Sultan Suleiman Shah, Galeri ini amat mengagumkan
dari segi senibina luarannya, serta dalamannya yang kaya dengan elemen
sejarah dan warisan Kesultanan Selangor yang berasal dari tahun 1766.
By: silent.piggy @IG
Galeri ini dibina megah pada tahun 1909 dan mempunyai reka bentuk kolonial
yang dibina oleh arkitek Inggeris, Arthur B. Hubback. Galeri ini telah
dirasmikan oleh D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan dibuka
kepada umum pada 1 November 2007. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk
merasai sendiri pengalaman sejarah yang berharga di sini!
2) Kuil Sri Shakti Devasthanam, Kuala Selangor
Kuil Sri Shakti Devasthanam merupakan satu-satunya kuil di dunia yang
memanifestasikan seluruh 51 Shakti. Dalam ruangan tersembunyi di sini,
terdapat 96 tiang berukir yang menggambarkan 96 prinsip agama Hindu.
By: iamnazirul @IG
Kuil ini terletak lebih kurang 9.5 kilometer dari Daerah Kuala Selangor, dan
dibina sesuai mengikut kitab suci seperti Veda, Agamas dan Sirpa (senibina)
Sastras. Senibina ini juga menggabungkan semua struktur Kuil Amman yang
sesuai menurut Agama Hindu. Selain itu, pintu utama kuil ini terpahat granit
setinggi 18 kaki dengan berat hingga 4 tan, yang mana ianya diukir oleh
seorang tukang ukir yang mahir dari Mahabalipuram di Tamil Nadu, India.
3) Istana Bandar, Banting
Istana Bandar yang juga dikenali sebagai Istana Alaedin telah dibina pada
tahun 1899 yang didirikan berdekatan dengan Masjid Bandar, terletak
kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting. Istana Bandar mempunyai struktur
dua tingkat yang merangkumi pelbagai bilik termasuk Kolam Mandi Diraja,
Balai Rong Seri, Kamar Santap Diraja dan lain-lain lagi.
By: PDTKL
Hampir keseluruhan struktur istana ini diperbuat daripada batu bata dan
motar kapur. Selain itu, tangga dan pintunya adalah diperbuat daripada kayu
cengal. Menariknya lagi, istana ini menampilkan senibina Islam dari India
dan Timur Tengah yang difokuskan pada elemen ukiran dan teknik pahat. Kalau
anda tertanya-tanya tentang keindahan Istana Bandar ini, jangan lepaskan
peluang untuk singgah di sini bersama rakan-rakan dan keluarga anda satu
masa nanti!
4) Kuil Wat Chetawan, Petaling Jaya
Jom kita lawati Kuil yang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang
berdekatan dengannya! Wat Chetawan merupakan sebuah Kuil Buddha yang
terkenal di Negeri Selangor dan terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya.
Kuil ini dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun 1957.
By: williamgourmet @IG
Struktur senibinanya mempunyai unsur-unsur pengaruh Kerajaan Siam pada era
tersebut. Kuil ini siap dibina pada tahun 1962, dihiasi dengan jubin kaca
berwarna dan mempunyai atap bertingkat yang dikelilingi chor fahs;
melambangkan senibina kuil Buddha yang menakjubkan. Pada saat ini, Wat
Chetawan adalah salah satu kuil yang masih berdiri megah dan lengkap dengan
struktur yang sangat menarik untuk anda kunjungi!
5) Dashbox Hotel, Cyberjaya
Dashbox Hotel yang terletak di Cyberjaya merupakan salah satu lokasi yang
harus anda singgahi untuk melihat sendiri keindahan persekitarannya! Dari
jauh lagi anda akan dapat lihat struktur arnab berwarna hijau bersaiz
gergasi yang menjadi lambang utama hotel ini.
By: Agoda
Hotel ini menawarkan pelbagai konsep bilik dengan kebanyakannya ditawarkan
dengan pilihan lokasi berhadapan dengan fasiliti kolam renang. Sememangnya
adalah menyeronokkan untuk menginap di sini terutamanya keluarga yang
mempunyai anak kecil. Selain itu, anda boleh menikmati pemandangan yang
sungguh indah pada waktu malam yang diterangi cahaya lampu yang menyinari
kawasan persekitaran yang sungguh damai.
6) Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA
Mövenpick Hotel & Convention Centre, KLIA merupakan salah sebuah hotel
terkemuka di Malaysia. Hotel dengan struktur senibina yang luar biasa ini
dibina khas bagi mencerminkan keunikan budaya Malaysia.
By: Agoda
Menerap elemen senibina Islam, bahagian luar hotel ini mempunyai corak yang
melambangkan seni geometri Islam dan tulisan Kufic, iaitu kaligrafi Islam
terawal yang digunakan dalam kitab suci Al-Quran. Selain itu, terdapat
sebuah taman yang mempunyai keluasan 7.2 hektar di sini yang menjanjikan
persekitaran yang menghijau dan menenangkan. Pastinya anda tidak akan
menyesal apabila memilih untuk menginap di sini!
Menarik, bukan? Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menerokai destinasi yang
telah disenaraikan di atas. Tidak perlu pergi jauh keluar negara; anda boleh
saksikan sendiri keindahan bangunan atau senibina mengagumkan yang terdapat
di sekitar Negeri Selangor. Di samping menghargai keunikan senibinanya, kita
juga berpeluang untuk mendalami sejarah setiap bangunan tersebut. Rancang
perjalanan anda dengan menyelitkan destinasi yang tersenarai di dalam jadual
perjalanan anda ke Negeri Selangor selepas tamat tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) kelak! - #ImagineNowExperienceSoon.
Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua rakyat Malaysia; sentiasa
patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak
Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai topeng
muka setiap masa, gunakan pembasmi kuman secara kerap dan daftar melalui
aplikasi mudah alih "SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat” ketika
memasuki premis pelancongan di Negeri Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di
Selangor.Travel.