Hulu Langat merupakan daerah yang paling sesuai digambarkan oleh ungkapan
“kampung di tengah bandar besar”. Ia disebabkan suasana tradisi dan keindahan
kampung yang tetap wujud di daerah ini walaupun dikelilingi dengan pembangunan yang pesat.
Daerah Hulu Langat merupakan daerah kelima terbesar dalam Negeri Selangor.
Hulu Langat satu tempat kaya dengan keindahan alam semulajadi serta keunikan elemen tradisi dan kebudayaan.
Jadual di bawah disertakan bagi mengisi perjalanan seharian anda di daerah Hulu Langat
dengan cadangan ke lokasi-lokasi menarik yang patut anda kunjungi selepas tamat tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak!
Jom Lihat Itinerary Satu Hari Jika Melawat Ke Hulu Langat
8:00 pagi – Sarapan pagi di Lontong King
9:00 pagi – ATV Ride di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
10:00 pagi – Aktiviti berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
11:00 pagi – Perang tempur Paintball di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
12:00 tengahari – Makan tengahari di Itik Salai Masthar
1:00 petang – Aktiviti lasak di Skytrex Sg Chongkak
3:30 petang – Minum petang di D’Pallet Place
4:30 petang – Singgah ke Ostrich Wonderland Semenyih
5:30 petang – Aktiviti pendakian di Bukit Broga
7:00 malam – Makan malam di Sate Kajang Hj. Samuri
1) Sarapan pagi di Lontong King
Nikmati pagi hari anda dengan sarapan di salah sebuah kedai makan yang
terkenal di Daerah Hulu Langat iaitu Lontong King. Terletak di Taman Sri
Nanding, kedai makan ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan di
kawasan ini. Pilihan makanan yang terhidang bak hidangan bufet di hotel
oleh kerana pilihan menu yang pelbagai di sini.
Lontong King by wizmanoi
Menu utama di kedai makan ini semestinya menu lontong, dengan pelbagai
pilihan lontong seperti Lontong Special, Lontong Biasa dan Lontong Goreng.
Selain itu, menu masakan barat turut tersedia sebagai hidangan sarapan
buat pengunjung di sini.
2) ATV Ride di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
Peminat aktiviti lasak yang sukakan pengalaman merentas hutan boleh
mencuba
menunggang kenderaan jenis All-Terrain Vehicle (ATV) di Semenyih Eco
Venture Resort & Recreation. Ia menawarkan trek mini dan trek hutan
dan sungai mengikut pilihan anda.
Anda boleh menikmati perjalanan sejauh 6 kilometer ke dalam kawasan hutan lipur dan
anda akan berpeluang untuk melihat air terjun yang sangat indah di kawasan trek
tersebut.
3) Aktiviti berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
Seterusnya, pasti anda tidak mahu ketinggalan untuk melakukan aktiviti
berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation dengan menaiki hunter’s boat menyelusuri arus sungai dengan pemandangan alam semulajadi
yang menakjubkan.
Aktiviti berkayak pasti memberi keterujaan buat anda dan rakan-rakan anda. Anda akan
diberikan jaket keselamatan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti ini, jadi tiada
apa yang anda perlu bimbangkan!
4) Perang tempur Paintball di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
Aktiviti Paintball merupakan aktiviti permainan yang menyeronokkan dimana
anda akan menggunakan “marker” untuk menembak “pallet” iaitu kapsul
gelatin yang dipenuhi dengan cat warna bagi mengenakan pemain yang
lain.
Paintball at Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
Permainan ini tidak mempunyai peraturan namun terpulang kepada strategi
taktikal dan gerak tempur anda sendiri. Pastikan anda menikmati aktiviti
yang mengujakan ini bersama rakan-rakan anda di Semenyih Eco Venture
Resort & Recreation.
5) Makan tengah hari di Itik Salai Masthar
Sekiranya anda adalah seseorang yang meminati masakan salai, pastikan anda
singgah ke Itik Salai Masthar untuk menikmati pelbagai menu masakan
popular mereka dan salah satunya ialah hidangan Itik Salai. Ianya adalah
menu wajib yang anda harus cuba di sini dengan pelbagai jenis masakan
salai yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk setempat bahkan
dari pengunjung luar.
Itik Salai Masthar by @my.foodtravelogue
Selain itu, hidangan gulai masak lemak juga merupakan menu terhangat di sini kerana rasa cili apinya yang meresap ke
dalam daging itik yang lembut diiringi bersama beraneka jenis ulam-ulaman.
6) Aktiviti lasak di Skytrex Sungai Congkak
Skytrex Sungai Congkak menawarkan lebih banyak elemen flying fox dan
merupakan rintangan yang terpanjang di Malaysia. Dengan panjang sebanyak
110 meter, ianya lebih mencabar dan menggerunkan untuk anda terbang di
udara. Keseronokan tersebut turut diiringi dengan ketenangan alam
semulajadi yang menghijau di sekitar.
Skytrex Sg Chongkak menawarkan 3 jenis pakej yang anda boleh cuba antaranya adalah
River Thrill, Rapid Extreme dan Double Dare dan setiap pakej ini mempunyai 25 halangan
yang berbeza. Jadi, anda boleh pilih pakej mana yang sesuai dengan keberanian
anda!
7) Minum petang di D’Pallet Place
Lokasi yang sesuai disinggah untuk menikmati minum petang di samping
menikmati hidangan ringan ini terletak di Batu 9, Cheras. D’Pallet Place
mempunyai banyak gerai dan menawarkan pelbagai jenis menu makanan yang
menepati citarasa pelanggan. Antara menu yang terkenal di tempat ini ialah
ayam bakar, ikan bakar, sotong gunting, cendol, sup gearbox, ketam bercili dan banyak
lagi!
D'Pallet Place by Eydaiah E
8) Singgah ke Ostrich Wonderland Semenyih
Terletak kira-kira 15 minit perjalan dari Pekan Semenyih, tempat ini
sangat sesuai untuk lawatan seisi keluarga. Mula beroperasi sejak tahun
2000, pengunjung dapat melihat sendiri spesis burung unta dan mengetahui
perkembangan kumpulan burung ini yang berlainan umur dan saiz dalam
kandang yang berbeza. Bukan itu sahaja, Ostrich Wonderland Semenyih juga menempatkan haiwan
ternakan lain seperti ayam dan burung merak.
Rasai pengalaman baru dengan memberi makanan kepada burung unta di sini
atau menunggangnya jika anda berani. Pastinya aktiviti yang menarik ini harus
anda cuba sekiranya berkunjung ke Daerah Hulu Langat dan anak-anak mesti suka bila datang ke sini.
9) Melihat keindahan Bukit Broga
Perjalanan ke Daerah Hulu Langat tidak sah sekiranya anda tidak singgah untuk
menyaksikan keindahan Bukit Broga. Hanya mengambil lebih kurang 15 minit
perjalanan dari Pekan Semenyih, Bukit Broga menjadi lokasi tumpuan para
pendaki selain menjadi kawasan riadah untuk seisi keluarga.
Broga Hill by hellowws
Pemandangan di atas puncaknya amat mengujakan dan perjalanan pendakian ke
puncak diiringi persekitaran alam semulajadi yang menenangkan minda. Jadi,
jangan ketinggalan untuk mencuba menawan puncak Bukit Broga ini!
10) Makan malam di Sate Kajang Hj. Samuri
Jangan lupa untuk menikmati hidangan istimewa turun-temurun di Daerah
Hulu Langat iaitu Sate Kajang yang terkenal di seluruh negara. Menikmati hidangan tradisi
ini adalah cara terbaik untuk menamatkan perjalanan seharian anda di Daerah Hulu Langat.
Singgahlah ke Sate Kajang Hj. Samuri yang mana popularitinya memang tidak boleh
disangkal lagi. Satenya sangat enak apabila dimakan bersama kuah kacang dan nasi
impit.
Terdapat pelbagai jenis sate ditawarkan di sini, antaranya Sate Ayam,
Sate Daging, Sate Perut, Sate Kambing dan banyak lagi! Setiap hidangan yang disajikan
amatlah enak dan harus anda cuba sebelum pulang!
Jadikan perjalanan seharian di hujung minggu anda ke Daerah Hulu Langat sebagai suatu
pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan jadual perjalanan serta pilihan lokasi yang
tertera di atas. Rebut peluang ini untuk menjelajahi Daerah indah yang memukau dari
kehijaujan alam semulajadi mahu pun beraneka jenis hidangan yang ditawarkan di sini.
Luangkan masa bersama yang tersayang ke Daerah Hulu Langat selepas tamat tempoh PKP
kelak dan rancang perjalanan anda sekarang; #ImagineNowExperienceSoon!
Jangan lupa, tanggungjawab kita semua untuk sentiasa mematuhi garis
panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, menjaga jarak
sosial, memakai pelitup muka, serta mendaftar masuk ke premis-premis di Negeri
Selangor dengan menggunakan aplikasi SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di
Selangor.Travel.