Hi semua! Pasti korang semua rindu nak travel dan berjalan-jalan kan?
Artikel kali ini Kak Bell nak cadangkan bebeberapa tempat menarik di Sabak
Bernam dan juga Sekinchan di daerah Kuala Selangor. Bolehlah dijadikan destinasi tersenarai di bawah sebagai pilihan untuk perjalanan
seharian atau hujung minggu anda ke Daerah Sabak Bernam selepas tamat tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) nanti. Kita plan sahaja dahulu,
#ImagineNowExperienceSoon.
Daerah Sabak Bernam terletak di barat laut Negeri Selangor. Terdapat 3
pekan utama iaitu Sungai Besar, Sekinchan dan Sabak Bernam. Rata-rata
masyarakat di Daerah ini terdiri dari kaum Melayu berketurunan Jawa, Banjar,
Kampar dan Melayu Bugis. Sabak Bernam menawarkan pemandangan sawah padi yang
menghijau seluas pandangan yang menjadikannya unik dan tersendiri. Berikut
adalah cadangan itinerary untuk percutian bajet satu hari jika anda
berkunjung ke daerah Sabak Bernam.
Itinerary Satu Hari Di Sabak Bernam Selangor
8:00 pagi – Sarapan pagi di Restoran Kuala Kurau, Sungai Besar9:00 pagi – Pelajari cara pemprosesan padi di Paddy Gallery, Sekinchan
11:00 pagi – Lawati Muzium Daerah Sabak Bernam
12:00 tengahari – Singgah ke Ah Ma House, Sekinchan
1:00 petang – Makan tengahari di Restoran Lembah Bernam, Sekinchan
3:30 petang – Singgah ke Ladang Mangga, Sungai Limau
4:30 petang – Bersantai di Coconut Farms, Sekinchan
5:30 petang – Bersiar-siar di Pantai Redang, Sekinchan
7:00 malam – Makan malam di Restoran Mee Udang BNO, Sabak Bernam
9 Tempat Menarik Di Daerah Sabak Bernam Selangor
1) Sarapan pagi di Restoran Kuala Kurau
Tidak tahu mahu sarapan di mana? Sekiranya anda bercuti ke daerah Sabak
Bernam, nikmati pagi anda dengan bersarapan di salah sebuah lokasi yang unik
dimana terdapat banyak gerai di restoran ini. Restoran Kuala Kurau terletak
di Sungai Besar ini sering menjadi pilihan penduduk tempatan.
By: Restoran Kuala Kurau @FB
Restoran ini menyediakan pelbagai jenis juadah seperti Char Kuey Teow, Mee
Kari, Cucur Udang dan banyak lagi! Pastikan anda mencuba Cucur Udang di sini
kerana ia merupakan menu paling popular dan rasanya cukup enak!
2) Pelajari Cara Pemprosesan Padi di Paddy Gallery, Sekinchan
Salah satu tarikan yang terdapat di Pekan Sekinchan ini adalah kilang
memproses padi iaitu Paddy Gallery. Ia juga merupakan satu-satunya kilang
beras yang mengalu-alukan orang ramai untuk membuat lawatan ke sini.
By:
Huislaw
Eloklah anda singgah ke kilang ini untuk memahami dan melihat cara
pemprosesan padi dengan teknik masa kini. Selain itu, jangan lupa untuk
dapatkan bertih beras yang dimasak dan disediakan segar untuk para
pelanggan. Ianya sangat enak, rangup dan sedap dimakan begitu sahaja! Kat sini juga ada Homestay Sekinchan Padi Box. Tempatnya bersebelahan betul dengan kawasan sawah padi. Bestnya kalau dapat bercuti dan sewa basikal di sini!
3) Lawati Muzium Daerah Sabak Bernam
Jangan lepaskan peluang juga untuk mempelajari sejarah warisan industri
pertanian dan perikanan khususnya oleh masyarakat setempat di daerah Sabak
Bernam. Muzium Daerah Sabak Bernam ini mempamerkan tentang aktiviti penduduk
awal di daerah ini.
Terdapat pelbagai arca, infografik, replika dan barangan tradisional yang
digunakan dalam industry pertanian khususnya dalam sektor penanaman padi.
Lawatan ke sini tentunya menyeronokkan, dan kos masuk adalah percuma!
4) Singgah ke Ah Ma House
Sudah selesai mempelajari sejarah pertanian dan perikanan, teruskan
perjalanan anda ke Ah Ma House. Ianya adalah sebuah rumah kampung
tradisional yang penuh dengan barang-barang antik seperti telefon,
televisyen lama dan kerusi rotan yang membawa anda mengimbau masa lampau dan
mengenang memori lalu.
By: thesmartlocalmy @IG
Selain itu, anda boleh melihat cara membuat kuih kapit secara
langsung dan membelinya di sini kerana ianya sangat popular dan enak!
5) Makan tengahari di Restoran Lembah Bernam
Setelah penat dan seronok melihat keindahan sawah padi, pasti perut pun
terasa lapar. Jadi, jangan buang masa dan singgah ke salah sebuah restoran
yang sangat popular dengan keunikan menunya iaitu Restoran Lembah
Bernam.
By: minahtravel @IG
Restoran ini menawarkan seleksi makanan yang berkonsepkan eksotik dan susah
didapati seperti masakan berasaskan daging landak, rusa dan kijang. Masakan
di sini lebih kepada masakan ala kampung atau masakan Jawa yang memang
sesuai untuk dijadikan destinasi persinggahan untuk makan tengahari yang
lazat.
6) Singgah ke Ladang Mangga, Sungai Limau
Lokasi yang seterusnya ini pula sesuai disinggahi sekiranya anda seorang
peminat mangga yang tegar! Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Pekan
Sungai Besar.
By:
denaimy
Ladang yang diusahakan oleh penduduk tempatan ini menawarkan buah mangga
pelbagai saiz yang boleh dibeli dan dipetik segar dari ladang. Pokok
mempelam yang ditanam di Mango Orchards menghasilkan buah yang manis dan
sangat sedap dimakan! Peminat buah-buahan, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan
rasa buah mangga di sini dan pasti anda mahu membeli lebih untuk di bawa
pulang!
7) Bersantai di Coconut Farms, Sekinchan
Terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Pekan Sekinchan, ianya sesuai
dijadikan lokasi untuk berehat sebentar untuk menikmati keenakan air kelapa
segar. Bukan itu sahaja, anda juga boleh cuba “Coconut Shake” dan agar-agar
kelapa yang dijual di sini.
By:
Visit Sekinchan
Bolehlah anda bersantai di bawah pokok kelapa pada hari yang membahang
sambal menikmati air kelapa segar yang segar. Terdapat juga ladang kelapa
yang boleh dijadikan sebagai lokasi fotografi atau “OOTD” yang menarik di
sini. Selain itu, anda juga boleh membeli biskut kelapa untuk di bawa
pulang.
8) Bersiar-siar di Pantai Redang, Sekinchan
Destinasi ini harus anda singgahi untuk menikmati tiupan angin sepoi-sepoi
bahasa. Pantai Redang ini terletak tidak jauh dari Pekan Sekinchan. Singgah
sebentar ke sini untuk melihat keindahan dan keunikan pantai ini. Yang ni bukan sky mirror pantai cermin tu ya.
By: Visit Sekinchan
Anda juga akan dapat melihat pokok-pokok besar di sini yang digantung dengan
riben-riben berawarna merah yang dikenali sebagai “Sekinchan Wishing Trees”.
Selain itu, terdapat gerai-gerai berdekatan yang menjual minuman dan makanan
ringan dan berpeluang melihat anak-anak bermain layang layang.
9) Makan malam di Restoran Mee Bandung BNO, Sabak Bernam
Cara terbaik untuk tamatkan perjalanan seharian anda di daerah Sabak Bernam
adalah dengan menikmati salah satu juadah yang popular di sini iaitu Mee
Bandung. Lepas penat bersiar-siar di Pantai Redang, jangan lupa singgah ke
Restoran Mee Bandung BNO untuk rasai keenakan Mee Udang, penuh dengan rasa
kemanisan udang segar yang mampu meningkatkan lagi selera makan anda.
Harganya amat berpatutan dan anda harus mencuba menu ini sekiranya anda
datang ke Pekan Sekinchan!
By:
Nadia Johari
@Blogger
Semoga tempat-tempat menarik yang tertera menjadi pilihan bermanfaat buat
anda untuk perjalanan seharian anda ke daerah Sabak Bernam kelak. Jaraknya tidaklah begitu jauh dari Kuala Lumpur kan. Jangan
lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keunikan dan keindahan daerah ini.
Anda pasti akan terpegun dengan pemandangannya terutama sekali lapangan
sawah padi yang terbentang luas menghijau. Bawa bersama keluarga anda
mahupun sahabat handai untuk merasai pengalaman ini kelak selepas tamat
tempoh PKP dan mulakan perancangan anda sekarang. Kita plan dahulu;
#ImagineNowExperienceSoon.
Cuma Kak Bell nak ingatkan jangan lupa tanggungjawab kita semua untuk
sentiasa berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang
telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pastikan ada
penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa, menggunakan
pembasmi kuman secara kerap serta mendaftar masuk ke premis-premis di Negeri
Selangor dengan menggunakan aplikasi “SElangkah: Langkah Masuk Dengan
Selamat”.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di
Selangor.Travel.
Tags:
Percutian Bajet Satu Hari
Percutian Bajet Satu Hari Sabak Bernam
Selangor Travel
Tempat Menarik Sabak Bernam
Tourism Selangor
Travel