SEDIH TIDAK DAPAT RENTAS NEGERI DAN DAERAH? Ini 7 Idea Untuk Menyambut dan Menggamit Suasana Lebaran di Negeri Selangor dengan #PusingSelangorDulu!
Tidak boleh pulang beraya ekoran larangan merentas negeri dalam usaha
melandaikan penularan jangkitan Covid-19? Namun, ianya tidak menjadi
penghalang buat umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 7 idea untuk anda menyambut lebaran
bersama orang tersayang yang dapat mengurangkan rasa sedih tidak dapat
pulang ke kampung halaman.
Walaupun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, namun kita masih boleh
menyambut lebaran di lokasi masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah
ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan
Malaysia. Inilah 7 idea terbaik untuk anda Pusing Selangor Dulu!
1) Pengalaman Di 16 Inap Desa berdaftar di Negeri Selangor
Meluangkan masa bersama keluarga di inap desa di Negeri Selangor semasa
hari raya merupakan pilihan menarik untuk dilakukan. Pengalaman di inap
desa boleh didefinisikan sebagai pengalaman tinggal sebagai tetamu dengan
tuan rumah tempatan dalam komuniti kampung selama beberapa hari.
Di Negeri Selangor, terdapat 16 inap desa yang berdaftar yang boleh
dikunjungi dan dalam pada masa yang sama memberi ruang kepada penginap
untuk mengenali budaya dan melakukan aktiviti yang menarik antaranya
seperti di Homestay Banghuris, Homestay Kampung Sungai Sireh, Homestay
Sungai Haji Dorani dan banyak lagi!
2) OOTD sambil berbaju ‘Raya’ di Kawasan Kampung di Negeri Selangor
Terasa rindu pada pemandangan kampung halaman? Daerah Sabak Bernam dan
Kuala Selangor contohnya di Sekinchan, Sungai Besar dan Tanjong Karang
mempunyai pemandangan sawah padi yang terbentang menghijau seluas
pemandangan.
Tambahan pula, Daerah-daerah ini mempunyai pelbagai tempat menarik untuk
mengambil gambar dengan adanya kawasan kampung tradisi, sawah padi yang
terbentang luas, rumah-rumah kampung tradisi, ladang buah-buahan, ladang
kelapa dan bangunan bersejarah.
3) Tenangkan Fikiran, Indahnya Suasana Pantai
Pasti ramai yang gemar menikmati suasana pantai dan pemandangan laut.
Negeri Selangor mempunyai pantai yang cantik setanding dengan
pantai-pantai di lokasi lain.
Pantai juga merupakan lokasi yang sering dikunjungi pada sebelah petang di
mana cuacanya lebih tenang diiringi langit yang indah membiru. Anda boleh
berkunjung ke Pantai Morib dan Pantai Kelanang di Daerah Kuala Langat,
Pantai Bagan Lalang di Daerah Sepang, Pantai Redang di Daerah Sabak Bernam
dan banyak lagi untuk menikmati suasana pantai yang mengasyikkan!
4) Rasai Pengalaman dan Aktiviti Agro-Pelancongan
Terdapat banyak taman agro yang boleh dilawati dan anda boleh mengambil
bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Taman-taman agro ini menampilkan keindahan alam semula jadi yang sesuai
dilawati oleh seisi keluarga, antaranya, MAEPS Agro Tourism Park, Selangor
Fruit Valley, Kuan Wellness Eco Park, Kawasan Agro Tourism Kampung Johan
Setia Sungai Kandis dan banyak lagi. Di sini turut disediakan pelbagai
aktiviti yang menarik untuk anda rasai pengalaman sektor perladangan dan
pertanian.
5) Rasai Makanan Tradisi Negeri Selangor
Negeri Selangor merupakan negeri yang kaya dengan budaya serta pelbagai
makanan tradisi. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang telah menjadi
tradisi sejak turun temurun yang harus dicuba oleh orang ramai.
Antara hidangan tradisi yang boleh anda dapatkan di Negeri ini ialah Nasi
Ambeng, Sate, Lontong, Pecal, Sambal Taun dan banyak lagi! Makanan-makanan
tradisi ini boleh didapati di sekitar Daerah Hulu Langat, Kuala Selangor,
Klang, dan Sabak Bernam dari seleksi restoran serta kedai makan.
6) Membeli-belah Produk-Produk IKS ‘Made in Selangor’
Aneka kudapan dan kerepek merupakan produk IKS yang juga diminati oleh
orang ramai di Malaysia. Kerepek juga menjadi hidangan kudapan ringan di
rumah semasa musim perayaan kerana ianya enak dan senang dimakan.
Anda boleh dapatkan kerepek-kerepek tersebut bagi juadah Hari Raya
Aidilfitri di Pekan Banting Kuala Langat, dan Daerah Sabak Bernam dan
Kuala Selangor. Antara pengeluar produk IKS yang popular di Negeri
Selangor adalah Ros Kerepek Banting, Bahulu Masri Sabak Bernam, Kerepek
KunyaKunya Tanjong Karang dan Kerepek Jemirah Sepang.
7) Raya Staycation-with-Style
Anda boleh menikmati penginapan serba selesa sempena cuti Hari Raya
Aidilfitri di beberapa hotel di sekitar Negeri Selangor dan beberapa
penginapan unik di sini. Antaranya seperti ‘The Sticks’ di Kuala Kubu
Bharu yang sesuai dikunjungi bersama keluarga untuk menikmati suasana
kehijauan dan jauh dari kesibukan kota. Selain itu, Sekeping Serendah
Retreat juga menawarkan tempat penginapan yang dikelilingi kehijauan
tetapi tetap mementingkan keselesaan.
Manakala, Taman Eko Rimba Komenwel Resort juga menawarkan pengalaman ‘glamping’ untuk seisi
keluarga anda. Untuk pengalaman ‘staycation’, terdapat pelbagai hotel di Negeri Selangor
seperti New World Hotel Petaling Jaya, Concorde Hotel Shah Alam, One World Hotel ,
Petaling Jaya, dan banyak lagi.
Sambutan lebaran agak berbeza tahun ini kerana kebanyakan tidak dapat
pulang beraya ke kampung halaman atas larangan rentas Daerah dan Negeri.
Namun jangan risau, 7 idea menarik ini merupakan antara cadangan untuk
anda bagi mengurangkan rasa kesedihan serta dapat menggamit suasana
lebaran pada tahun ini walaupun dalam norma baharu. Disamping itu, adalah
diingatkan kepada setiap pengunjung untuk mematuhi garis panduan atau SOP
yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung
harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk
Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi
kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi
memastikan kesejahteraan para pengunjung terjamin.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor.