Imarahkan Bulan Ramadhan Di 10 Masjid Cantik & Terindah Di Negeri Selangor - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Imarahkan Bulan Ramadhan Di 10 Masjid Cantik & Terindah Di Negeri Selangor

Trending

Imarahkan Bulan Ramadhan Di 10 Masjid Cantik & Terindah Di Negeri Selangor

Masjid yang cantik & indah untuk dikunjungi sepanjang bulan Ramadan, hanya di Negeri Selangor | Sekejap sahaja sudah berlalu seminggu Ramadhan. Buat anda semua yang ingin menikmati minggu terakhir di bulan Ramadhan untuk beribadat, bolehlah mengunjungi masjid atau surau di sekitar anda untuk menunaikan solat terawih dan mendapatkan pahala berganda-ganda.


Memang banyak masjid yang cantik dan indah di Malaysia dan masjid di Selangor khususnya. Bersempena bulan Ramadan ini, kami senaraikan 10 masjid terindah yang boleh anda kunjungi di Negeri Selangor.


1) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid yang gah ini dibina di atas kawasan seluas 14.6 hektar di Pusat Bandar Shah Alam. Turut dikenali sebagai “Masjid Biru”, ianya mempunyai ciri-ciri senibina yang menarik dengan hiasan dalaman yang menakjubkan. Tambahan pula, ianya merupakan masjid terbesar di Malaysia dan merupakan salah sebuah ikon pelancongan utama di Negara ini. Masjid dengan kubah berwarna biru ini terletak indah di sebahagian Tasik Raja Lumu. Ia boleh memuatkan seramai 16,000 orang jemaah pada satu-satu masa, dengan dilengkapi oleh pelbagai kemudahan untuk para pengunjung.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah oleh Nur Ismail Photography

2) Masjid Puncak Alam

Masjid Puncak Alam merupakan masjid pertama dan terbesar di Bandar Puncak Alam. Masjid yang mempunyai keluasan 9.5 ekar ini boleh memuatkan sekitar 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan telah dirasmikan pada 10 Julai 2015. Masjid ini juga dilengkapi dengan kemudahan yang menarik seperti Dewan Serbaguna, bangunan pentadbiran dan kelas, bilik pengurusan jenazah dan banyak lagi.

Masjid Puncak Alam oleh Ahmad Fuad Morad


3) Masjid Sultan Abdul Samad

Masjid ini terletak di Daerah Sepang dan boleh dilihat semasa perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Masjid Sultan Abdul Samad juga dikenali sebagai Masjid KLIA bagi pelancong dan ia didirikan bersempena pembinaan KLIA pada tahun 2000. Mempunyai keluasan 17.96 ekar, ianya mampu memuatkan 8,000 orang jemaah. Selain itu, reka bentuk dengan konsep seni bina Arab klasik dengan kubah utama dan bumbung berbentuk ratanya turut menjadi tarikan pelancong dan orang awam.

Masjid Sultan Abdul Samad oleh Portal Pengurusan Masjid

4) Masjid Diraja Sultan Suleiman

Masjid Diraja Sultan Suleiman ini telah dibina pada era 1930-an dan telah dirasmikan oleh Sultan Alauddin Shah pada tahun 1932. Ia terletak di Daerah Klang dan mampu memuatkan seramai 1,200 orang jemaah. Mempunyai seni bina yang sangat unik bercirikan seni bina Monghul, ianya memberikan elemen Islamik dan katedral neoclassical. Ditutup sementara pada tahun 2015 untuk proses penambahbaikan dan kembali beroperasi pada tahun 2017 dengan kemudahan yang lebih efektif, masjid ini kekal menjadi tumpuan pelancong dan warga Klang.

Masjid Diraja Sultan Suleiman oleh MyNewsHub


5) Masjid As-Salam

Pasti terkesima dibuatnya melihat Masjid As-Salam, masjid yang terletak di Taman Puchong Perdana ini. Juga dikenali sebagai Masjid Terapung, ianya satu-satunya masjid terapung yang terdapat di Negeri Selangor buat masa ini. Masjid ini telah dirasmikan pada 8 Disember 2006 dan dibina berlatar-belakangkan taman dan tasik. Mempunyai kapasiti 4,000 orang jemaah pada satu-satu masa, masjid ini tersergam indah, lebih-lebih lagi menjelang waktu senja.

Masjid As-Salam oleh Mohamad Zaidi

6) Masjid Tengku Ampuan Jemaah

Masjid Tengku Ampuan Jemaah ini pula terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Ianya merupakan Masjid Negeri yang kedua di Negeri Selangor selepas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dibina pada tahun 2010 and sempurna dirasmikan pada tahun 2013, masjid yang dihiasi dengan tulisan ayat suci Al-Quran di bahagian luar ini mempunyai binaan rekaan seni bina Islam Timur Tengah tradisional yang menarik bermula dari kubah, menara dan hingga ke ruang solat. Keluasan masjid ini pula mampu memuatkan seramai 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Tengku Ampuan Jemaah oleh Mawardi Bahar


7) Masjid Raja Haji Fi Sabilillah

Masjid yang dirasmikan pada 22 Jun 2016 ini menjadi masjid pertama di Malaysia yang mendapat penarafan platinum bagi indeks bangunan hijau. Masjid Raja Haji Fi Sabilillah ini terletak di Cyberjaya dan mempunyai reka bentuk ciri-ciri prinsip hijau dengan menerapkan elemen mesra-alam dalam pembinaannya. Ianya menggunakan teknologi hijau seperti panel solar, tadahan hujan dan banyak lagi. Masjid yang sangat cantik ini mempunyai konsep taman Islamik di perkarangannya. Keluasan masjid ini adalah 17.580 ekar dan mampu memuatkan 8,300 orang jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah oleh Portal Pengurusan Masjid

8) Masjid Ara Damansara

Masjid Ara Damansara yang terletak di Ara Damansara mempunyai keluasan 6 ekar serta boleh memuatkan 1,500 orang jemaah pada satu-satu masa. Ianya berkonsepkan Green Building Index. Mula beroperasi pada 29 Januari 2015, masjid ini turut menampilkan konsep islamik urban yang menarik. Terdapat juga taman permainan mini dan ruang rehat sebagai kemudahan dalam kawasan masjid kepada pengunjung dan orang ramai.

Masjid Ara Damansara oleh Supermeng Malaya

9) Masjid Jamek Ar-Rahimah

Masjid Jamek Ar-Rahimah merupakan masjid yang terletak di Daerah Hulu Selangor, serta menjadi pusat ibadat bagi masyarakat setempat. Masjid yang tersergam indah ini sering menjadi tempat persinggahan para pengembara sebelum ke Fraser Hills. Dirasmikan pada 1 November 2002, masjid ini mampu menampung seramai 3,500 orang jemaah pada satu-satu masa. Seni bina masjid ini berlandaskan konspek Inggeris klasik dilengkapi minaret yang tinggi dan indah di bahagian luar masjid.

Masjid Jamek Ar-Rahimah oleh Izzulislami6


10) Masjid Diraja Sultan Ala’eddin

Dibina pada sekitar tahun 1900 dan dirasmikan pada 18 Jun 1924, masjid bersejarah ini mampu memuatkan 800 orang jemaah sahaja pada satu-satu masa. Juga dikenali sebagai Masjid Bandar, ianya juga menjadi sebuah monumen sejarah bagi Negeri Selangor dengan sktrukturnya yang masih gah berdiri sehingga hari ini. Ia terletak di Pekan Banting sekitar 200 meter daripada Istana Bandar. Reka bentuk masjid ini mempunyai ciri-ciri kesenian kaum India-Muslim dan masyarakat Islam dari negara Timur Tengah.

Masjid Diraja Sultan Ala'eddin oleh Heritage Buildings of Malaysia

Masjid di Negeri Selangor tidak hanya menjadi tumpuan pada musim perayaan sahaja, namun ianya sentiasa mengalu-alukan kehadiran umat Islam untuk menunaikan ibadah, serta kehadiran orang awam untuk tujuan pelancongan. Masjid-masjid di Negeri Selangor mempunyai hasil seni bina yang gah dan mengagumkan; sangat indah untuk dijadikan latar bagi gambar.


Pada masa kini, jumlah kapasiti jemaah di masjid adalah dihadkan mengikut garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Namun, jika anda berkesempatan untuk mengunjungi masjid-masjid ini, pastikan anda mendaftar masuk dengan aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, menjaga penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan umum.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post