Semalam sempat Kak Bell menonton filem yang mendapat tempat pertama box
office di Amerika Syarikat selama 2 minggu berturut-turut iaitu filem Crazy
Rich Asians (2018). Filem yang dibuat dengan bajet USD30 juta ini berjaya
mengumpul kutipan sebanyak USD238.5 juta dan mendapat sambutan, penangan
hebat dari peminat filem bergenre komedi romantik. Walaupun dah basi
filemnya, Kak Bell baru sahaja ada masa untuk menonton.
Crazy Rich Asians sebuah filem komedi drama romantik yang diadaptasi dari
sebuah best selling novel dengan judul yang sama hasil tulisan Kevin Kwan.
Filem arahan Jon M. Chu ini merupakan filem pertama Hollywood yang
membariskan ke semua pelakon utamanya adalah pelakon berketurunan
Asia-Amerika. Tambahan pula beberapa orang pelakon kelahiran Malaysia turut
memegang watak utama di dalam filem ini menjadikan Kak Bell teruja untuk
menontonnya. Henry Golding memegang watak sebagai Nick Young, Michelle Yeoh
sebagai (Eleanor Young) disamping pelakon Carmen Soo. Bangga juga bila ada
pelakon Malaysia yang telah menembus pasaran filem Hollywood!
Diterbitkan oleh Nina Jacobson dan Brad Simpson dari Color Force ini turut
membariskan Constance Wu, Gemma Chan, Lisa Lu, Awkwafina, Ken Jeong, Ronny
Chieng dan pelakon Asia lainnya. Filem Crazy Rich Asians telah menerima
banyak penghargaan, termasuk nominasi Golden Globe Awards ke-76 untuk
kategori Filem Terbaik - Musikal atau Komedi dan Pelakon Wanita Terbaik
untuk Wu dan memasuki rekod pelakon wanita Asia pertama yang dinobatkan
dalam kategori tersebut.
Pengarah: Jon M. Chu
Penerbit: Nina Jacobson, Brad Simpson, John Penotti
Penulis: Peter Chiarelli, Adele Lim (asal Malaysia)
Pelakon: Constance Wu (Rachel Chu), Henry Golding (Nick Young), Michelle Yeoh (Eleanor Young), Gemma Chan (Astrid Young Teo), Lisa Lu (Ah Ma), Awkwafina (Peik Lin Goh), Harry Shum Jr. (Charlie Wu), Ken Jeong (Wye Mun Goh), Sonoya Mizuno (Araminta Lee).
Tayangan: August 22, 2018 (Malaysia)
Box office: 238.5 million USD
Cerita mengisahkan Rachel Chu (Constance Wu) yang mengikuti Nick Young
(Henry Golding) pulang ke tanah airnya Singapura untuk menghadiri majlis
perkahwinan kawan dia. Semasa dalam perjalanan menaiki pesawat kelas
pertama, Rachel Chu baru tahu yang Nick Young adalah anak orang super kaya
Singapura. Jadi kedatangan Rachel Chu jadi buah mulut orang kaya yang
tertanya-tanya siapakah Rachel Chu. Adakah anak kepada seorang konglemerat
yang setaraf seperti keluarga Young?
Pada awal filem, babak Eleanor Young (Dato Michelle Yeoh) yang memesan suite
hotel tetapi ditolak mentah-mentah oleh kebanyakan hotel di London
disebabkan statusnya sebagai orang Asia menyebabkan Eleanor menghubungi
suaminya dan terus membeli hotel tersebut. Terus terdiam pekerja hotel,
hujung-hujung Eleanor jadi pemilik hotel baru. Terus disuruhnya pekerja tadi
mop lantai yang basah. Baru di awal filem, Kak Bell sudah terasa filem ini
pasti menarik.
Rupa-rupanya jejaka tampan Nick Young memang menjadi kegilaan wanita-wanita
kelas atasan Singapura. Maklumlah anak orang paling kaya kan. Dahla hensem
pulak. Maunya tulang rusuk pompuan-pompuan tu tak bergetar! haha. Semasa
hari bachelor parti Araminta Lee (Sonoya Mizuno), para wanita yang tak puas
hati terhadap Rachel bersekongkol untuk menjatuhkan dan membuat Rachel pergi
dari Nick. Amanda (Jing Lusi) yang pura-pura baik terhadap Rachel
memberitahu Rachel bahawa dia merupakan mantan kekasih Nick Young.
Cabaran terbesar bagi Rachel adalah ibu Nick sendiri yang amat mementingkan
pasangan anaknya mesti dalam kelas dan berstarta sama dengannya. Rachel
dianggap tidak sepadan kerana Rachel adalah imigrant China berwarganegara
Amerika dan terus mendapat penolakan besar dari keluarga Nick setelah
mengupah penyiasat mencari tahu latar belakang Rachel.
Filem Yang Mengutamakan Tradisi Keluarga Adalah Segalanya
Jalan cerita Crazy Rich Asians sangatlah sederhana, plot mudah difahami,
tidak berbelit-belit dan memaparkan perbezaan kelas dan gaya hidup mewah
konglemerat Singapura. Filem ini boleh dikatakan dekat dengan cara kehidupan
dan tradisi masyarakat Cina Asia yang mengutamakan tradisi keluarga tetapi
tidaklah mewakili secara keseluruhannya. Walaupun filem ini berkisar soal
cinta antara dua darjat, mesej yang jelas dapat dilihat bahawa restu orang
tua adalah segalanya.
Para pelakon Crazy Rich Asians semuanya berperan dan membawakan watak dengan
amat baik. Semuanya nampak kena, natural dan tidak berlebih-lebihan. Lakonan
Dato Michelle Yeoh pun mantap, walaupun dia memuji Rachel seorang yang bijak
sebagai seorang profesor Ekonomi, tetapi secara halus Eleanor menunjukkan
penolakan dia terhadap Rachel. Watak yang dibawakan oleh Awkwafina juga
tidak kurang hebat. Suka sangat dengan watak dia yang gila-gila dan
menghidupkan suasana dalam filem ni. Tidak dibuat-buat!
Untuk watak Nick Young, lakonan Henry Golding pun ok. Nampak watak tu memang
sesuai untuk dia. Lepas ni Kak Bell nak tonton The Gentleman untuk lihat
keupayaan lakonan dan watak ang dibawa oleh Henry Golding. Apa-pun dia dah
popular kat Hollywood. Satu lagi watak yang menarik adalah watak Astrid
Young Teo lakonan Gemma Chan yang tenang, lembut dan berjaya menonjolkan
kesedihan dan kekuatan seorang wanita yang berhadapan suaminya yang curang.
Dalam filem ni ada dialong dalam bahasa Kantonis, slang Cina Singapura dan
ada 1 babak Nick Young bertutur dalam bahasa Malaysia ketika memesan sate.
Soronok tonton sebab memang menonjolkan realiti bahasa pertuturan masyarakat
Asia. Menariknya ada lagu popular yang dialih bahasa menjadi lagu Cina
selain lagu-lagu latar yang sesuai dan tidak menjengkelkan.
7 Lokasi Filem Crazy Rich Asians Adalah Di Malaysia
Lokasi, rumah mewah dalam filem ini memang mengagumkan. Sangat menonjolkan
ciri-ciri rumah bangsa Cina yang kaya. Tapi nampak sangat filem ini macam
tak nak mempromosikan Malaysia dan semua orang ingat kebanyakkan lokasi
shooting adalah di Singapura. Diantara lokasi yang dimaksudkan adalah
Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur;
Cheong Fatt Tze Mansion, Penang (babak main mahjong);
Four Seasons Resort, Langkawi (dikatanya di Indonesia);
Astor Bar St. Regis KL; Eastern & Oriental Hotel, Penang;
BLVD House, Kuala Lumpur dan
Be-landa House, Kuala Lumpur.
Suasana malam perkahwinan yang dibuat di CHIJMES dan
Gardens by the Bay, Singapura sudah tentulah sangat memukau.
Meriah dengan cahaya lampu, siap ada air masa pengantin jalan macam runaway
model pula cabaran catwalk di atas air. Pakaian, perhiasan, warna, semuanya
memang nampak mewah, classy dan mahal. Padanlah dengan Crazy Rich Asians!
Pendapat Kak Bell filem ni memang sangat best untuk tontonan untuk sebuah
filem komedi romantik. Momen akhir antara Eleanor dan Rachel bersemuka
semasa permainan mahjong di Cheong Fatt Tze Mansion memang sangat berkesan.
Korang kena tonton sebab part ni Rachel beritahu dia tolak lamaran Nick
Young kerana dia pun tak ingin jadi ahli keluarga Young. Happy ending ke sad
ending? Plot twist? Ha, Kak Bell malas cerita. So,
Kak Bell bagi 8/10 bintang!