Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test? - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Trending

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test? | Penularan coronavirus COVID-19 (2019-nCoV) yang mengancam kesihatan dan nyawa penduduk dunia sejak Disember 2019 lalu telah mengubah sama sekali cara dan gaya hidup masyarakat dunia. Diam tak diam sudah hampir 14 bulan kita menjalani kehidupan seharian dengan risiko jangkitan yang ada di mana-mana. Jadi memang kita perlu ambil penting akan hal ini sebab risiko jangkitan COVID-19 masih ada.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Dalam tempoh setahun ini, Kak Bell bekerja seperti biasa kerana berkhidmat untuk Perkhidmatan Perlu (Essential Services). Masih berulang-alik ke pejabat, ke pasaraya sebab kehidupan tetap perlu diteruskan. Walaupun kita patuh Prosedur Operasi Standard (SOP), kita pun sama sekali tidak akan tahu orang disekeliling kita adalah pembawa atau pesakit COVID. Ketakutan, kecemasan dan trauma pun sama menularnya dengan virus Covid ni.

Kisahnya minggu lalu Kak Bell diberitakan bahawa salah seorang rakan Kak Bell adalah berstatus P1 dan disahkan positif COVID-19 dan Kak Bell adalah kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 tersebut. Walaubagaimanapun Kak Bell hanya mengetahui tentang hal ini 10 hari setelah P1 kuarantin. Disebabkan Kak Bell berstatus P2, jadi Kak Bell ke klinik swasta untuk lakukan ujian saringan COVID-19. Sepanjang tempoh masa tersebut hingga sekarang, tiada gejala dan simptom pada Kak Bell tetapi untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama, eloklah ujian saringan dibuat.


Untuk sesiapa yang berstatus P2, selain menjalani kuarantin, P2 disarankan untuk ke hospital atau klinik bagi ujian COVID-19 sekiranya belum. P3 amat digalakkan untuk melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah. Sekiranya P2 telah melakukan ujian COVID-19 dan keputusan menunjukkan positif, amat disarankan untuk P3 turut melakukan ujian COVID-19. Setelah Kak Bell selesai lakukan ujian rtk ag (RTK-Ag), alhamdulillah disahkan negatif. Tetapi trauma dan rasa takut masih ada. Jadi Kak Bell kongsikanlah sedikit pengalaman semasa melakukan ujian Swab Test Covid-19 dan berkongsi informasi tentang perbezaan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag)/RTK Antigen Test dan RT-PCR.

Wabak 2019 Novel Coronavirus

Novel Coronavirus (2019-nCov) yang berasal dari Wuhan, China ini tergolong dalam keluarga Coronavirus (Coronaviridae). 2019-Novel Coronovirus adalah virus daripada keluarga yang sama seperti virus SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) dan MERS-CoV (Middle Eastern Respiratory Syndrome), tetapi 2019-nCoV adalah jenis virus yang berdaya tahan dan berevolusi. Maksudnya, mutasi spontan dalam material genetik virus COVID-19 ini membolehkan virus tersebut berkembang biak sangat cepat dan rintang/imun terhadap vaksin yang tidak efektif. Secara klasifikasi genetik, Coronavirus boleh dibahagi kepada alfa, beta, gamma, dan delta. Virus seperti SARS-CoV, MERS-CoV dan 2019-Novel Coronovirus adalah dalam kategori coronovirus dahsyat yang mengakibatkan wabak pendemik.(1)


Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?


Menurut World Health Organization (WHO), COVID19 adalah jangkitan coronavirus baru yang telah mencapai status pandemik. Menurut Chen et. al, pesakit Covid-19 menunjukkan simptom seperti demam (83%), batuk (82%), sesak nafas (31%), sakit otot (11%), kekeliruan (9%), sakit kepala (8%), sakit tekak (5%), rhinorrhea (4%), sakit dada (2%), cirit-birit (2%), dan mual dan muntah (1%). Jangkitan Covid-19 juga boleh menyebabkan sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) dan kejutan septik, yang boleh menyebabkan kegagalan organ.(2)


Apa Beza RTK Antigen Test Dan RT-PCR?

Terdapat dua jenis ujian COVID-19, iaitu ujian Rapid Test Kit (RTK) untuk mengesan antibodi/antigen dan RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) atau turut dikenali sebagai ujian swab.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

COVID-19 Rapid Test Kit (RTK)
RTK adalah singkatan bagi Rapid Test Kit dan merupakan ujian 'on the spot' yang dilakukan secara terus bagi mengenalpasti antibodi yang terbentuk akibat daripada tindak balas sistem imuniti badan terhadap jangkitan virus Covid. Keputusan ujian ini boleh diperolehi dengan segera dalam jangkamasa maksimum 30-60 minit.

Terdapat dua jenis RTK iaitu RTK Antigen dan RTK Antibodi.
1) COVID-19 RTK Antigen adalah ujian swab sampel dari hidung dan tekak
2) COVID-19 RTK Antibodi pula adalah ujian darah


Buat masa sekarang, hanya RTK Antigen sahaja yang digunakan untuk mengenalpasti jangkitan awal COVID-19. Manakala RTK Antibodi tidak disarankan bagi fungsi saringan awal. RTK Antigen adalah salah satu pemeriksaan serologi (reaksi antigen-antibodi secara in vitro) dengan tujuan untuk mengesan ada atau tidak Antigen Spesifik dari SARS COV-2. Jika pada tubuh pesakit terdapat antigen spesifik SARS COV-2, maka antigen tersebut akan berikatan secara spesifik dengan antibodi yang tersedia di kit ujian rapid dan menunjukkan hasil segaris warna pada alat rapid test.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Pada individu yang bergejala, RTK Antigen mampu mengesani adanya virus pada tubuh. Jika keputusan RTK positif, pesakit masih kena buat PCR untuk pengesahan sebagai pesakit COVID-19.


Real-Time Reverse transcription-polymerase Chain Reaction (RT-PCR)
Ujian RT-PCR telah dikenal pasti sebagai sebuah pendekatan diagnostik untuk mengesan jangkitan COVID-19, dan akan diproses mengikut protokol standard WHO bagi mengenalpasti genetik virus daripada sampel yang diambil. Ujian RT-PCR akan mengenalpasti tiga gen sasaran iaitu gen E, RdRp dan N. Penghasilan keputusan ujian RT-PCR ini, mengambil masa beberapa hari untuk diperolehi dan jika keputusan ujian RT-PCR adalah positif, seseorang individu itu barulah disahkan sebagai pesakit COVID-19. Kadangkala, ada kes rtk positif tapi pcr negatif.


Ujian COVID-19 Mana Yang Terbaik Dan Tepat?

Secara amnya, tidak ada ujian yang memiliki ketepatan sehingga 100%. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ketepatan ujian RT-PCR adalah sebanyak 98% dan Covid-19 RTK Antigen adalah 90%. Harga untuk RTK Antigen lebih murah berbanding PCR dan keputusannya pantas kerana tidak perlu masa inkubasi dan alat pemeriksaan khusus di makmal.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Ujian RT-PCR ini lebih tepat dan sensitif dan efisyen berbanding dengan alat rapid test antigen. Walaupun keputusan negatif daripada ujian antigen/antibodi ianya berkemungkinan kurang tepat dan tidak menjamin bahawa seseorang itu bebas daripada jangkitan virus kerana penghasilan antibodi mengambil masa yang berbeza-beza untuk dihasilkan.

Untuk kepastian jangkitan, RT-PCR msih perlu dilakukan kerana ia adalah ujian rasmi bagi jangkitan COVID-19 dan ujian paling tepat yang kita ada sekarang.


Pengalaman Swab RTK Antigen Test

Disebabkan Kak Bell pergi ke klinik untuk ujian Covid selepas 10 hari, Kak Bell hanya buat prosedur cepat RTK Antigen Test. Pada mulanya agak blur sebab baru tahu rupanya ada 2 jenis ujian Covid. Kak Bell buat test di Red Clinic di Jaya One, Petaling Jaya.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Selepas pendaftaran, kita akan diminta untuk tunggu di luar klinik hingga dipanggil untuk lakukan ujian. Kemudian, staff klinik bawa Kak Bell ke pintu belakang kerana ujian akan dilakukan di bahagian belakang dalam klinik. Prosedur ujian RTK Antigen (RTK Test) ni, doktor atau pekerja terlatih akan swab sampel di hidung kanan seterusnya hidung kiri. Harga untuk RTK Antigen di Red Clinic ialah MYR99 manakala ujian RT-PCR berharga RM319. Walaubagaimanapun, harga bagi kedua-dua ujian ini adalah berbeza bergantung kepada tempat atau klinik yang menjalankan prosedur terbabit.

Prosedur ni sebenarnya sekejap sahaja. Pengalaman membuat swab test ini tidaklah terlalu teruk, hanya rasa kurang selesa ketika membuat swab pada bahagian dalam hidung. Other than that, okay je. Kak Bell tenang sahaja semasa sampel diambil tapi lepas selesai keluar jugalah air mata. Yang penting ianya tidak sakit cuma rasa tidak selesa sahaja. Semasa nak tunggu keputusan, Kak Bell masih menunggu di luar klinik sehinggalah dah dapat keputusan ujian RTK Antigen tersebut. Kesemua keputusan ujian saringan akan direkodkan terus kepada MOH/KKM menerusi Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Ada segelintir yang memaparkan di sosial media seolah-olah prosedur saringan dan rawatan COVID-19 begitu menyakitkan dan traumatik. Pasti ianya mempengaruhi persepsi awal pesakit atau mereka yang terkesan dengan COVID-19 untuk membuat ujian saringan. Apa yang Kak Bell hendak katakan, tidak perlu takut untuk lakukan ujian saringan wabak Covid-19 ni. Semuanya sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan diri bebas daripada virus berkenaan.

Tingkatkan Amalan 3W, Jauhi 3C
Melalui pemahaman daripada wabak SARS-CoV dan MERS-CoV sebelum ini, telah dipersetujui bahawa virus ini amat sensitif dan boleh dibunuh dengan darjah suhu yang tinggi, iaitu 56 degree Celcius sepanjang 30 minit. Selain itu, terdapat juga produk disinfektan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian kita seperti Diethyl Ether, 75% Ethanol, disinfektan yang mengandungi Chlorine, Peracetic acid dan cecair yang boleh mencairkan protein lemak virus 2019-nCov ini.(1) Jadi jangan lupa untuk sentiasa cuci tangan dan gunakan hand sanitizer.

Pengalaman Swab Test Covid-19, Apa Beza PCR Dan RTK Test?

Berkenaan dengan kawalan pencegahan jangkitan, KKM telah mengesyorkan langkah-langkah amalam 3W (Wash Hand, Wear Mask, Warn), menjauhi 3C (Crowded Place, Confined Space, Close Conversation) dan mematuhi syarat SOP yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan coronavirus. Untuk mendapatkan info dan maklumat terkini COVID-19 bolehlah layari http://covid-19.moh.gov.my/

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan dalam menghadapi hidup norma baharu ini. Kerjasama berterusan dari semua pihak amatlah diperlukan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. Semoga wabak ini cepat berakhir dan kita semua sentiasa di bawah lindungi-Nya. InsyaAllah.

Nota kaki:
1. www.doctoroncall.com.my/pengenalan-coronavirus
2. ukm.my/UKM Medical Molecular Biology Institute
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post