Resepi Bayam Brazil Goreng Udang Kering - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Resepi Bayam Brazil Goreng Udang Kering

Trending

Resepi Bayam Brazil Goreng Udang Kering

Hi semua. Harini hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Untuk PKP 2.0, 5 buah negeri dan 3 wilayah persekutuan akan kembali kepada sekatan ketat kerajaan bagi menangani Covid-19 yang telah memuncak semula. Bukan main bilangan jangkitan meningkat mendadak berbanding pada awal PKP haritu.


Kak Bell kebetulan dah mula bercuti selama 7 hari, jadi memang seboleh-bolehnya nak duduk di rumah sahajalah. Kalau betul-betul ada keperluan barulah keluar rumah. Semalam Kak Bell tak memasak, cuma order makanan Vietnam dari Rasa Viet. Petang tu, sempatlah kemas pasu bunga, tanam semula pokok sayur yang mana patut.


Masa sebelum PKP April haritu ada Kak Bell bawa balik ke KL sayur bayam brazil. Di rumah mak berpasu-pasu mak Kak Bell tanam, gemuk-gemuk daunnya. Masalahnya Kak Bell tak menjaganya betul, daunnya dah tak gemuk, nasib baiklah tak mati. Bayam Brazil ni tanaman yang paling famous masa PKP haritu sebab mudah ditanam, sangat mudah hidup dan membiak.

Bayam Brazil masa mula-mula tanam. Gemuk-gemuk daunnya.

Bahan-bahannya

Lepas petik, tanam semula batangnya sebab hanya daun sahaja yang diambil buat makan. Batangnya tak sesuai dimakan. Tak adalah banyak mana, jadilah buat makan seorang. Banyak je resepi yang boleh dibuat dengan sayur bayam Brazil ni. Nak makan sebagai ulam pun boleh. Jadi harini Kak Bell masuk ke dapur dan buat menu simple Bayam Brazil Goreng Udang Kering.

Untuk resepi ni Kak Bell tak gunakan belacan. Mana yang suka, boleh sahaja guna belacan dan gantikan udang kering dengan ikan bilis.


Bahan A
1 bekas bayam Brazil
2 biji cili padi merah
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air
Minyak masak
Garam/perasa

Bahan B (kisar/tumbuk kasar)
3 sudu udang kering
2 biji cili merah
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara memasak:
1) Tumbuk atau kisar bahan B. Kak Bell gunakan manual chopper.


2) Panaskan sedikit minyak, tumis bahan B hingga naik bau dan masak garing.

3) Masukkan sos tiram, serbuk perasa dan garam (jika suka) kacau rata.


4) Tambahkan sedikit air, biarkan mendidih.
5) Masukkan sayur bayam Brazil dan kacau sebentar sahaja.


6) Tutupkan api dan sedia dihidang.


TIPS!

  • Hanya blend kasar bahan B. Boleh blend tanpa udang kering dan masukkan kemudian
  • Tambahkan cili padi, lada merah jika nak lebih pedas
  • Boleh tambahkan belacan
  • Boleh gantikan udang kering dengan ikan bilis
  • Masak sekejap sahaja perlu lama-lama takut nanti sayur terlebih layu

Untuk lada merah dan cili padi tu boleh sesuaikan ikut kuantiti bayam Brazil yang digunakan. Sekejap sangat memasaknya dan rasanya memang sedap. Macam-macam lagi resepi boleh dibuat dengan bayam Brazil ni, nanti Kak Bell cuba masak dan kongsikan. Selamat mencuba!
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post