Bercuti bersama keluarga di rumah inap di Negeri Selangor merupakan pilihan
yang terbaik untuk dilakukan apabila aktiviti percutian dibenarkan semula.
Pengalaman ini merangkumi aktiviti bermalam di sesebuah rumah inap sebagai
tetamu dan tinggal bersama keluarga angkat tempatan. Tuan rumah akan
meraikan kedatangan pelancong dan menyediakan aktiviti-aktiviti kampung yang
menarik.
Rumah inap merupakan satu aktiviti pelancongan terbaik bagi memahami budaya,
suasana kampung, kesenian dan cara hidup sesebuah masyarakat tersebut. Oleh
itu, senarai berikut merupakan saranan dari pihak Tourism Selangor yang
mengetengahkan 6 rumah inap yang berlesen dan berdaftar dengan Kementerian
Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) di Negeri Selangor:
1) RUMAH INAP BANGHURIS, SEPANG
Ramai tidak tahu tentang rumah inap Banghuris yang terkenal oleh pengunjung
luar negara kerana kawasannya yang cantik dan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan
di sana. Rumah inap Banghuris yang terletak di Daerah Sepang ini mempunyai 80 buah
rumah penginapan serta 100 buah bilik penginapan kesemuanya malah pernah mendapat
pengiktirafan di Malaysia Tourism Award pada tahun 2004 dalam kategori Best
Homestay in Malaysia oleh Tourism Malaysia.
Selain itu, terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan antaranya seperti
permainan gasing, menyumpit, membuat dan bermain wau, menu masakan rebung,
lawatan ke kilang kerepek dan snek tradisional (cakar ayam), lawatan ke
ladang buah naga, kopi, kelapa sawit, ladang getah, demonstrasi menoreh
getah dan banyak lagi. Harga adalah mengikut pakej yang dipilih dalam
lingkungan harga sebanyak RM70 hingga RM300 seorang. Untuk maklumat lanjut,
layari lcct.com.my atau hubungi (+6019-3919547).
2) RUMAH INAP SUNGAI HAJI DURANI, SABAK BERNAM
Rumah inap Sungai Haji Durani merupakan tempat yang sangat sesuai untuk
membawa keluarga anda bercuti dalam suasana kampung yang dikelilingi dengan
sawah padi yang cantik. Terdapat banyak aktiviti yang disediakan sepanjang anda berada di
rumah inap ini antaranya adalah aktiviti permainan congkak, tarik upih
pinang, bergelumang dalam lumpur, mewarna batik, melerai padi daripada
tangkai, memancing dan menangkap ikan menggunakan tangan dalam sawah,
bermandi manda di sungai, lawatan ke bengkel kuih tradisional dan kilang nata de coco dan banyak lagi.
Dengan dikelilingi oleh lapangan sawah padi yang hijau, ia juga merupakan
tempat yang sesuai untuk bergambar sebagai kenangan keluarga. Harga adalah
mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan harga sebanyak RM65-RM300
seorang. Untuk maklumat lanjut, layari doranihomestay.com atau hubungi
(+60136077025)
3) RUMAH INAP KAMPUNG SUNGAI SIREH, KUALA SELANGOR
Rumah inap yang dikelilingi hutan yang hijau ini amat tenang dan damai
untuk dikunjungi ditambah pula dengan lapangan tanaman sawah padi. Jika menginap di sini,
anda akan disambut dengan mesra oleh tuan rumah dan masyarakat setempat malah anda
akan dibawa untuk melakukan aktiviti kampung yang terdapat di sini.
Antaranya ialah aktiviti mewarna batik, menaiki traktor ke sekitar kawasan
kampung, serta belajar tentang penanaman padi tradisional, cara penebangan
kayu dan tanaman herba.
Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti menangkap ikan keli di dalam
lumpur menggunakan tangan, berkayak, memancing di sungai-sungai kecil,
terusan dan laut, jungle trekking dan banyak lagi. Harga adalah mengikut
pakej yang dipilih dalam lingkungan harga sebanyak RM60-RM200 seorang.
Untuk maklumat lanjut, layari agrotourismhomestaysgsireh.blogspot.com atau
hubungi (+6019-346 7372).
4) RUMAH INAP PAPITUSULEM, SABAK BERNAM
Rumah inap Papitusulem terletak di Sekinchan yang mana tempat ini
menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Suasana kampung ini sangat cantik kerana dikelilingi
lapangan sawah padi yang hijau. Rumah inap Papitusulem ini membolehkan
anda merasai kehidupan kampung dengan tinggal bersama keluarga angkat yang bekerja sebagai petani dengan
dihidangkan dengan menu makanan kampung yang lazat. Seterusnya, anda akan
dibawa ke kawasan pertanian sawah padi, melawat kebun sayur-sayuran,
tempat pemprosesan santan kelapa dan lain-lain lagi. Anda juga akan
dipersembahkan dengan tarian kebudayaan kompang, seni silat, kuda kepang
dan cempuling.
Bukan itu sahaja, terdapat juga tempat rekreasi di mana anda boleh
berkayak, menaiki bot serta memancing di laut. Harga adalah mengikut pakej
yang dipilih dalam lingkungan harga sebanyak RM20-RM120 seorang. Untuk
maklumat lanjut, layari papitusulemhomestay.yolasite.com atau hubungi
(+60172712260).
5) RUMAH INAP ANJUNG DAMAI KAMPUNG SUNGAI LANG TENGAH, KUALA LANGAT
Terletak di Kuala Langat, rumah inap Anjung Damai ini merupakan destinasi
tumpuan pelancong tempatan dan luar negara kerana suasananya yang nyaman
dan aktiviti kampung yang ditawarkan cukup menyeronokkan. Rumah inap ini
dilengkapi dengan fasiliti seperti penghawa dingin, tempat letak kenderaan
yang luas, bilik air moden yang cantik malah lokasi yang berhampiran
dengan pasar raya dan restoran. Pengalaman yang bakal diperoleh dalam
melakukan aktiviti di sini adalah seperti menunggang ATV, lawatan ke
ladang ternakan lembu, kambing dan biri-biri sambil memberi makan kepada
haiwan tersebut, menyusuri hutan paya bakau, dan banyak lagi.
Harga adalah mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan harga sebanyak
RM60-RM250 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari
@anjungdamaihomestay/facebook atau hubungi (+6013-233 3768).
6) RUMAH INAP BOUGAINVILLEA KAMPUNG SUNGAI KERTAS, GOMBAK
Rumah inap Bougainvillea ini terletak di Gombak di mana tempat ini
menawarkan kehidupan yang berbeza dari kawasan bandar. Menginap di sini sangat menarik kerana
banyak aktiviti yang disedikan kepada pengunjung. Penduduk Kampung Sungai
Kertas sentiasa mengamalkan aktiviti bergotong-royong dengan masyarakat setempat malah
warisan tradisi sentiasa diraikan. Aktiviti yang ditawarkan di dalam pakej mereka adalah
seperti pakej perkahwinan Melayu dengan menampilkan persembahan kebudayaan, ruang
tempat pengantin, pakaian perkahwinan pengantin Melayu dan lain-lain
lagi.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk belajar memasak menu masakan
tradisi seperti sambal tempe serta makanan masyarakat Mandailing iaitu
Nasi Upa-Upa. Harga adalah mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan
harga sebanyak RM98 hingga RM380 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari
sungaikertas.blogspot.com atau hubungi (+60163920439).
Kesimpulannya, terdapat banyak rumah inap menarik yang dapat dikunjungi
oleh pengunjung di Negeri Selangor dengan menawarkan pelbagai jenis
aktiviti menarik. Walaupun sekarang mungkin bukan masa yang terbaik untuk
bercuti di kawasan yang melibatkan ramai orang dan beramah mesra bersama
masyarakat di rumah inap, tetapi pengunjung boleh mempertimbangkan
percutian ke rumah inap pada masa yang sesuai kelak. Selain itu, jangan
lupa untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial antara satu sama lain dan
mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan.sepanjang
percutian anda bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada terus merebak.