Resepi Sup Kaki Ayam Mudah - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Resepi Sup Kaki Ayam Mudah

Trending

Resepi Sup Kaki Ayam Mudah

Hi semua! Lama betul Kak Bell tidak berkongsi resepi. Dah berapa entri pun masih tak update 2 resepi hari Raya Korban haritu. Jadi harini Kak Bell kongsikan 1 resepi dahulu iaitu Resepi Sup Kaki Ayam. Minggu lepas Kak bell pun ada buat Nasi Briyani Kambing, nanti Kak bell kongsikan beserta video di YouTube.


Ada sesiapa gemar makan sup kaki ayam macam Kak Bell tak? Kaki ayam ini kalau dibuat kerabu pun sedap juga. Katanya khasiat kaki ayam ini kaya dengan kolagen. Kalau nak awet muda bolehlah cuba makan selalu kaki ayam ni. Ada juga sesetengah dari kita yang geli dan tidak makan bahagian ayam yang satu ni. Kalau ada keraguan tentang kebersihan, bolehlah dibuang kuku atau jari kaki ayam sedikit dan bahagian tapaknya. Kalau ada yang kuning-kuning di bahagian kaki tu pun Kak Bell geli nak makan. Nak elakkan keraguan tentang isu kebersihan, bolehlah masak sendiri di rumah.

Memasak sup kaki ayam ini sememangnya senang dan mudah. Asalkan ada semua bahannya, kemudian reneh sahaja di atas api perlahan. Kebiasaannya Kak Bell akan tumis bahan-bahan, tambah air dan rebus sahaja kaki ayam sampai masak. Tapi kali ini Kak Bell cuba cara yang berbeza demi nak dapatkan kuah sup yang lebih putih atau cerah. Rahsianya Kak bell akan rebus dahulu kaki ayam dan air rebusan pertama tersebut dibuang. Kiranya kita akan tumis asing dan rebus semula kaki ayam tadi. 

Untuk resepi ini tidak menggunakan rempah sup atau sup bunjut, cuma gunakan bahan rempah 3 sekawan sahaja. Kalau nak guna sup bunjut pun boleh, lebih afdal la nanti sup kaki ayam korang. Untuk kuantiti bahan, bolehlah disesuaikan secukupnya. Jom lihat resepinya.

Bahan A
4 ulas bawang merah kecil
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang kulit kayu manis
1-2 bunga lawang
3-4 buah pelaga

Bahan B
1 pek kaki ayam
1 kiub pati ayam
Tomato
Air secukupnya
Garam
Daun sup dan daun bawang
Sedikit minyak untuk menumis

Cara penyediaan:

1) Kaki ayam dicuci bersih dan direbus sampai kaki ayam lembut.


2) Angkat kaki ayam dan buang air rebusan pertama.


3) Blend atau tumbuk lumat bawang merah kecil, bawang putih dan halia.
4) Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk lain dan tumis bahan A tadi sehingga kekuningan dan naik bau.


5) Masukkan kaki ayam, kiub pati ayam dan tambah air dan sehingga tenggelam kesemua kaki ayam tadi. Reneh dengan api perlahan.
6) Akhir sekali, setelah sup telah lama direneh, masukkan tomato dan garam secukup rasa.
7) Taburkan daun bawang dan daun sup.


TIPS!
  • Jika menggunakan sup bunjut, masukkan pada langkah 3
  • Masinkan sedikit jika ingin akan bersama nasi
  • Boleh tambahkan kentang, tomato, lobak atau cendawan
  • Jika gunakan kentang, masukkan pada langkah 5
  • Tambahkan sedikit cili padi jika ingin rasa pedas
  • Perahkan buah limau nipis/limau kasturi semasa hidangan
  • Boleh juga gunakan hirisan daun ketumbar selain daun sup dan daun bawang


Kaki ayam tu agak-agak bila masuk mulut, sedut, terus tinggal tulang je tak payah hendak kunyah-kunyah memanglah best! Nanti nak makan, sediakan taugeh dalam mangkuk dan curahkan sup kaki ayam tadi bersama perahan limau nipis dan serbuk lada putih. Memang mengancam!
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post