Sekali sekala, anda perlu meluangkan masa merehatkan minda dengan bercuti
ke tempat-tempat yang mempunyai persekitaran yang tenang dan jauh dari
kawasan bandar yang sesak. Bagi sesiapa yang menginginkan sebuah percutian
dengan persekitaran yang menenangkan serta jauh dari kawasan orang ramai,
pihak Tourism Selangor menyenaraikan 7 destinasi pelancongan yang boleh
dilawati di Negeri Selangor untuk pilihan anda.
Jom
Nikmati Percutian Yang Menenangkan di 7 Destinasi Terbaik
berikut.
1) LADANG TEH LEMON MYRTLE, SABAK BERNAM
Ramai yang tidak tahu terdapat ladang teh lemon Myrtle yang cantik di
Sekinchan. Ladang teh myrtle selalunya terdapat di negara Australia, tetapi
kini juga ia ada di Malaysia. Jika membuat lawatan ke sini, anda dapat
menikmati pemandangan ladang yang kehijauan malah sesuai untuk bergambar
kenangan. Ladang teh myrtle ini terletak bersebelahan dengan kawasan sawah
padi yang menghijau, maka anda juga boleh bergambar berlatar-belakangkan
pemandangan yang cantik. Selain itu, terdapat beberapa buah buaian yang
merupakan tempat santai untuk pengunjung berehat di situ.
Anda juga dapat membeli produk keluaran ladang teh Mrytle ini di gerai
jualan yang disediakan seperti sabun tangan, sabun mandi, teh Myrtle, air
teh lemon segar dan banyak lagi. Bayaran sebanyak RM3 akan dikenakan untuk
pengunjung dewasa dan RM1 bagi 7 tahun ke bawah. Ladang teh ini hanya dibuka
pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Alamat: Lot 16281, Jalan Tali Air 6 Sekinchan,Selangor Darul Ehsan
2) KAWASAN SAWAH PADI SEKINCHAN, SABAK BERNAM
Daerah Sabak Bernam terkenal dengan kawasan sawah padi yang luas dan
cantik. Oleh itu, jika anda ingin pergi ke tempat dengan suasana yang
tenang dan nyaman, Pekan Sekichan Sabak Bernam merupakan tempat yang tepat
untuk anda luangkan masa bersama orang tersayang. Terdapat banyak aktiviti
menarik yang boleh dilakukan di sini seperti bersiar-siar dan bergambar di
sekitar kawasan sawah padi, melawat ke kedai Ah Ma House yang menjual
makanan tradisi masyarakat Cina seperti keropok, makanan ringan, kuih
tradisional seperti tart nenas dan kuih bangkit (tapioca cookies), dan
sebagainya.
Selain itu, anda juga boleh melawat ke Galeri Padi untuk mempelajari cara
penanaman dan penuaian padi serta proses penghasilan beras.
Alamat: Kawasan Sawah Padi, Pekan Sekinchan Sabak Bernam, Selangor
3) TAMAN BOTANI NEGARA, SHAH ALAM
Taman Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan
untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan
pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan. Taman
ini mempunyai tarikan yang menarik khas buat pengunjung, iaitu Rumah
Iklim Empat Musim yang terkenal di mana pengunjung akan merasai cuaca
musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh namun rumah empat
musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun
2021.
Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus,
buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi. Bayaran yang dikenakan untuk
masuk adalah RM3 (12-54 tahun) RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55
tahun keatas) dan percuma untuk golongan OKU. Waktu operasi dibuka
Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang).
4) EMPANGAN SUNGAI SELANGOR, HULU SELANGOR
Jika berkelapangan, anda boleh singgah ke empangan Sungai Selangor
kerana tempat ini merupakan salah satu destinasi tarikan lebih-lebih
lagi bagi penggemar alam semula jadi dan jurugambar di mana anda dapat
menikmati suasana yang segar dan berpeluang mengambil gambar pemandangan
bukit-bukau yang cantik. Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti
memancing dan berbasikal sepanjang laluan ke sini. Jika anda singgah
pada waktu malam, anda boleh menikmati aktiviti stargazing sambil bersantai
bersama keluarga atau rakan-rakan.
5) PAYA INDAH DISCOVERY WETLANDS, KUALA LANGAT
Paya Indah Discovery Wetlands ini merupakan tempat yang sangat sesuai
bagi mereka yang inginkan ketenangan sambal menikmati persekitaran alam
semula jadi. Landskap sekitar kawasan ini sangat cantik kerana dipenuhi
dengan pokok-pokok, ruang padang yang luas serta gabungan tumbuhan
semula jadi bunga teratai. Tempat ini juga telah menjadi kawasan habitat
lebih daripada 300 jenis spesis binatang dan bagi penggemar burung, anda
juga dapat meninjau aktiviti burung (bird watching). Bukan itu sahaja,
anda juga dapat melakukan aktiviti seperti memberi makanan kepada badak
air, buaya dan ikan, dapat memancing, berbasikal, berkayak, merentasi
hutan dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti tersebut dibuka berbeza
mengikut hari-hari tertentu dan perlu membuat tempahan awal.
Antara tarikan lain yang terdapat di sini adalah pakej “Safari
Insta-Tour” yang membawa pengunjung ke tiga lokasi dengan pemandangan
menarik; Ladang Buluh, Rumah Melayu dan Tasik Sendayan dengan menaiki
sebuah trak. Bayaran untuk pakej ini adalah RM 35 pada hari biasa dan RM
45 pada hari minggu, manakala pemegang MyCard akan beroleh diskaun
sebanyak 20%. Paya Indah Discovery Wetlands dibuka setiap hari dari 8.30
pagi hingga 4.30 petang.
Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor
6) SELANGOR FRUIT VALLEY, KUALA SELANGOR
Selangor Fruit Valley merupakan taman buah-buahan yang menarik untuk
dikunjungi di mana anda akan dibawa ke ladang buah-buahan tempatan
seperti tanaman buah rambutan, betik, belimbing, jambu dan banyak lagi
serta dapat menikmati buah-buahan tersebut secara percuma. Bukan itu
sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti
petting zoo mini, ladang rusa, pusat kajian agrokultur, rumah
tradisional, ternakan madu kelulut, aktiviti berkayak, dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga kemudahan trem untuk membawa anda ke sekitar
kawasan taman ini sambil menghirup udara segar.
Anda juga boleh singgah ke gerai jualan yang terdapat di sana untuk
beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa yang
segar. Waktu operasi adalah setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga
4.00 petang) dan bayaran dikenakan RM 15 (dewasa), RM10 (60 tahun
keatas), RM10 (OKU dan kanak-kanak 4 -12 tahun), percuma (4 tahun ke
bawah).
Alamat: Selangor Fruits Valley SFV, Rawang, Berjuntai Bestari, Selangor,
Malaysia
7) PULAU KETAM, KLANG
Pulau Ketam yang terletak di Klang merupakan destinasi yang menarik
untuk dikunjungi yang mana pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti
bersama keluarga atau rakan-rakan di sini sambil menikmati suasana
pantai yang nyaman dan mendamaikan. Untuk sampai ke Pulau Ketam, anda
perlu menaiki feri (RM14 dua hala) seorang atau bot laju (RM20 dua hala)
seorang. Kawasan ini merupakan perkampungan nelayan yang didiami oleh
masyakarat Cina.
Di sini juga terkenal dengan restoran yang menghidangkan menu makanan
laut yang menyelerakan. Selain itu, aktiviti dan tarikan yang boleh
dilakukan di sini adalah seperti menyewa basikal dan mengayuh sekitar
kampung, bergambar di kawasan mural dan kuil Cina, melihat dan merasai
kehidupan suasana perkampungan nelayan, dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Foreshore, Kawasan 20, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor
Akhir kata, terdapat banyak destinasi menarik yang anda boleh kunjungi
di Negeri Selangor yang jauh dari kawasan pelancongan yang sesak dengan
orang ramai. Anda pasti dapat menenangkan fikiran dan minda di
tempat-tempat yang telah disenaraikan oleh pihak Tourism Selangor ini.
Selain itu, anda juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi operasi
prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan dan menjaga penjarakan
sosial sepanjang kunjungan anda bagi mengelakkan jangkitan Covid-19
daripada terus menular.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di
Selangor.Travel.
Semua gambar adalah dari pihak Tourism Selangor
@marioncaunter
@Narztraveldiary
@ekstagram
@littlemisshappyfeet
@maya_jaafar
@marioncaunter
@Narztraveldiary
@ekstagram
@littlemisshappyfeet
@maya_jaafar