Eko pelancongan atau pelancongan ekologi ialah aktiviti yang melibatkan
lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi. Keunikan
sektor pelancongan eko telah menarik minat pelancong dari seluruh dunia
untuk mengambil bahagian dalam aktiviti luar dan alam semula jadi di negeri
Selangor.
Dengan pelbagai aktiviti pelancongan eko yang menarik dan cukup mengujakan
di negeri ini, apa kata anda luangkan masa senggang anda dengan menikmati
dan menjalani aktiviti luar di cadangan lokasi seperti berikut:
1) FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM), KEPONG
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula
jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan
keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana
tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang.
Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara
aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover
Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga,
hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula
jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan
dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta
menarik - FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan,
kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan
hutan dengan suasana yang nyamandan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
2) TAMAN EKO RIMBA KANCHING
Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang
wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun
yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar. Ini
kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter
yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga
dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk
adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2(dengan MyCard) pada hari
minggu dan RM5 jika tanpa MyCard. Untuk maklumat lanjut, layari
www.selangor.travel atau hubungi 03-55132000.
3) SKYTREX SUNGAI CHONGKAK, HULU LANGAT
Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai
elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi
dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan
kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej
mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan.
Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga
RM130 mengikut pakej yang dipilih. Untuk maklumat lanjut, layari
www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 2769841.
4) BUKIT BROGA, HULU LANGAT
Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua
golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit
yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam
untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi
dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang
cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan
kenangan. Baca juga Aktiviti Mendaki Gunung Banang.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit
untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran
serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik,
pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke
Gunung Kinabalu. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi
03-87377899 / 03-87371789.
5) WHITE WATER RAFTING, HULU SELANGOR
Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat
menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang
8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh
dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan
secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari
semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal
di Malaysia.
Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum
seramai 2 orang. Untuk maklumat lanjut, layari
www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
6) WATER TUBING, HULU SELANGOR
Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala
Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan
lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan
dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai. Sekiranya arus kuat, maka
kelajuan tiub akan bertambah laju. Jika sebaliknya, peserta perlu menolak
air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih
laju.
Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30. Untuk maklumat
lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
7) TAMAN ALAM KUALA SELANGOR
Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang
dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan
hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran
alam. Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan
untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari
serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia.
Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan
pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan
dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun.
Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi
03-32892294.
8) 4X4 ADVENTURE TERATAK RIVERVIEW, HULU SELANGOR
Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4x4 yang
menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis
4x4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus
ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai,
kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil
menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai
pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4x4 ini adalah mengikut
kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan
mininum 6 orang peserta. Untuk maklumat lanjut, layari
www.teratakriverview.blogspot.com atau hubungi +6012-5653397.
9) PARAGLIDING (BUKIT JUGRA, KUALA LANGAT & BUKIT BATU PAHAT, HULU SELANGOR)
Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan
alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti
paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu
Pahat, Hulu Selangor. Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat
popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar
dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara.
Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan
Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini
dianggarkan berjumlah RM320 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari
www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi
03-60641235.
Negeri Selangor mempunyai banyak tempat pelancongan eko yang menarik bagi
penggemar aktiviti sukan lasak dan alam semula jadi. Cadangan yang diberikan
adalah untuk menggalakkan pengunjung merasai pengalaman dan mengumpul memori
di tempat-tempat pelancongan eko yang telah dinyatakan.
Selain itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar semua pihak sentiasa
berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah
ditetapkan oleh pihak Kerajaan supaya jangkitan Covid-19 dapat
dihindari.
Broga @fakhrulsulaiman-pinterest
Broga flickr-@loosengyee
FRIM nitzus.com
FRIM Skywalk @thesmartlocamy-facebook
Frim Picnic Area wonderfulmalaysia.com
Kanching @elquiqueleon-insta
Paragliding Jugra (malaysiadateline.com)
Paragliding Pengiun-r2.blogspot
Skytrex Congkak www.gogokids.my
Taman Alam Kuala Selangor @tourismselangor-insta
Taman Alam Kuala Selangor airbnb.co.uk
Teratak Riverview @azizsulaiman-facebook
Tubing www.leekeehiong1.blogspot
White Water Rafting Pinterest (oxbold.com)