Terdapat banyak seni jalanan yang boleh dilawati di Negeri Selangor. Seni
jalanan dapat membantu industri pelancongan dengan menjadi salah satu destinasi
pelancongan untuk para pelancong. Terdapat kawasan seni jalanan di Lembah Klang dan Shah Alam
yang telah menghasilkan karya seni jalanan yang menarik. Seni jalanan ini
mendapat sambutan hangat oleh pengunjung yang hadir untuk bergambar.
Berikut adalah 6 Seni Jalanan Menghidupkan Suasana Kota yang boleh dikunjungi dan Penuhkan memori telefon anda dengan
gambar karya seni yang unik dan menarik di Negeri Selangor.
1) LAMAN SENI 7, SEKSYEN 7 SHAH ALAM
Laman Seni 7 merupakan sambungan daripada Laman Seni 2 di Seksyen 7, Shah
Alam, berdekatan dengan i-City di mana ia merupakan tempat atau zon yang
kreatif dan cantik yang diwujudkan bertujuan untuk penghayatan bidang seni
lukis dan kreatif. Kawasan ini adalah hasil daripada inisiatif Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengubah lorong belakang kawasan komersial
dan perindustrian menjadi selamat, bersih dan tenang.
Gambar dari www.visitselangor.com
Pelbagai hasil seni yang dilukis seperti Lukisan 3D, Pemasangan 3D, Perabot
Jalan dan lain-lain lagi. Laman Seni 7 ini berkonsepkan ciri-ciri “Komuniti
Shah Alam”, “Tarikan Pelancong” dan juga “Konsep Hijau”.
Alamat:
Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor
Landmark terdekat: Hospital Shah Alam (700 meter).
2) LAMAN SENI 2, SEKSYEN 2 SHAH ALAM
Laman Seni Seksyen 2 ini merupakan titik permulaan terjadinya kawasan mural
di Shah Alam yang kemudiannya ditukarkan ke Laman Seni 7. Tema untuk karya
seni di tempat ini adalah 'kembali ke sekolah'. Bersedia untuk mengimbau
suasana nostalgia di mana anda akan melihat bilik gantung, bas sekolah,
lukisan haiwan dan lain-lain lagi. Bukan hanya itu, terdapat juga medan
selera di mana anda boleh berehat setelah bergambar di lokasi lukisan mural.
Gambar dari www.soalan70.com
Alamat:
Jalan Bunga Melur 2/18, Seksyen 2, 40000 Shah Alam, Selangor.
3) SAFARI JEJAK WARISAN, KLANG
Jika ke Bandar Diraja Klang, adalah wajib untuk singgah ke bandar lama Klang
yang mana terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan untuk masyarakat
India malah anda juga boleh singgah untuk mengambil gambar lukisan mural
yang menarik dan bertemakan “Safari” sepanjang lorong-lorong belakang kedai
di bandar lama Klang. Kawasan mural ini telah dirasmikan oleh Datuk Zainal
Abidin Abu Hassan pada 5 Jun 2020 dimana anda akan terpesona dengan hasil
lukisan bertemakan haiwan ibarat berada dalam safari sebenar.
Gambar disediakan Tourism Malaysia
Gambar disediakan Tourism Malaysia
Alamat:
26, Jalan Tengku Diaudin, Kawasan 1, 41000 Klang, Selangor.
4) SASARAN ART, KUALA SELANGOR
Sejak tahun 2008, Organisasi Sasaran Art telah menganjurkan festival seni
berskala besar setiap 3 tahun bagi memberi pendedahan tentang lukisan jalanan.
Selain itu, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, pembinaan bangunan 2
tingkat telah dijadikan sebagai sebuah pusat galeri seni yang dinamakan “Balai
Seni Sasaran Kuala Selangor”. Ianya berfungsi sebagai pusat seni, festival
ataupun pameran tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan aktiviti
kesenian dan kebudayaan.
Gambar dari www.sasaranarts.org.my (KKB MURAL)
Alamat:
Jalan Sasaran, Sungai Buloh, 45800 Jeram, Selangor.
5) MURAL JALAN KENARI, PUCHONG
Kawasan mural ini terletak di Jalan Kenari 5, Puchong ini dihiasi dengan
pelbagai lukisan mural di sepanjang jalan keluar. Karya seni lukisan mural
ini telah dilukis hasil oleh 103 orang pelajar tahun akhir dari The One
Academy, Subang Jaya dan juga dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia
Pasifik yang mengambil masa selama 6 hari. Hasil lukisan mereka
menggambarkan kecantikan dan elemen budaya Malaysia berdasarkan tema Negeri
Selangor dan keunikan Negara.
Gambar dari onlyinpuchong.com
Alamat:
22, Jalan Kenari 2, Bandar Puchong Jaya, 47100 Puchong, Selangor.
6) KUALA KUBU BHARU MURAL (KKB), HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu (KKB) terlelak lebih kurang 70km dari bandar Kuala Lumpur,
Bandar Kuala Kubu Bharu terkenal dengan tarikan aktiviti semula jadi seperti
water tubing dan white water rafting. Tetapi bukan itu sahaja, terdapat juga
kawasan seni jalanan di mana karya seni dilukis di dinding bangunan lama
kawasan KKB. 8 lukisan mural di KKB ini juga telah dilukis oleh 40 orang
pelajar dan staf dari ALFA College pada tahun 2014 yang menggambarkan
kehidupan bandar di KKB.
Gambar dari www.easyuni.my
Akhir kata, karya seni jalanan atau Street Art ini bukan sahaja menarik dan
cantik, malah pengunjung dapat mengisi kenangan untuk bergambar dengan
lukisan-lukisan luar biasa seperti lukisan 3D, campuran lukisan dengan
perabot, lukisan dengan tema yang berlainan dan lain-lain lagi. Seni jalanan
ini memberi peluang kepada para pelukis yang berbakat untuk mempamerkan
idea-idea lukisan di dinding-dinding bangunan kepada pengunjung yang hadir dan
menjadikan ia satu kawasan tarikan pelancong.
Selain itu, pihak Tourism Selangor menasihati agar pengunjung menjaga
penjarakan fizikal dan sosial sepanjang masa serta mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan bagi mengelakkan
sebarang jangkitan virus COVID-19 yang melanda dunia kini. Untuk informasi
lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor Travel.
**Semua gambar disediakan oleh pihak Tourism Selangor