Selulitis Pada Tapak Kaki Kucing (Cellulitis On Cat's Paw Pad) | Hi semua, Hari ini Kak Bell hendak berkongsi tentang jangkitan pada tapak
kaki kucing (paw pad). Bulan lepas kucing Kak Bell Miki mengalami jangkitan
pada tapak kaki dan didiagnos terkena jangkitan
Selulitis (Cellulitis)
dan 3 ekor yang lain mengalami Rodent Ulser. Buat masa skrg ni
semuanya sudah sembuh dan Kak Bell akan berkongsi tentang Rodent Ulser pada
entri yang akan datang.
Pada mulanya, Kak Bell perasan Miki tidak berjalan normal dan bergerak
dengan mengangkat kaki kiri dia. Terhencot-hencot dia berjalan. Bila Kak
Bell periksa keadaan kaki dia nampak tiada luka dan Kak Bell agak kucing saya ni
berkemungkinan kucing mengalami kaki terseliuh. Bila Kak Bell nak tengok kaki dia, dah
tentunyalah dia mengelak. Jadi Kak Bell cuba dahulu monitor keadaan dia
dalam beberapa hari.
Selepas beberapa hari, Kak Bell perasan yang Miki kerap menjilat tapak kaki
dia dan setelah Kak Bell periksa sekali lagi kaki dia dan mendapati tapak
kaki Miki sudah sedikit bengkak, berwarna merah dan bulu di bahagian tapak
kaki dia dah gugur. Untuk rawatan awal, Kak Bell cuma letak ubat gamat dan
tidak letak iodin sebab nampak tidak seperti luka. Setelah bawa ke Hospital
Veterinar Gasing, doktor haiwan veterinar mengesahkan Miki mengalami
selulitis.
Jangkitan Pada Tapak Kaki Kucing
Jangkitan pada tapak kaki kucing sebenarnya berbahaya pada kucing kerana
kesan jangkitan tersebut boleh merebak ke bahagian lain badan dan membuat
kucing sakit. Jangkitan boleh menyebabkan kucing demam berterusan selama
beberapa hari dan boleh mengakibatkan suhu badannya naik ke paras yang
berbahaya. Jangkitan ini
merebak melalui tisu dan menyebabkan selulitis. Bukan sahaja pada
tapak kaki, bahagian lain badan kucing juga boleh mengalami selulitis.
Selulitis (Cellulitis)
Selalunya selulitis ini terjadi akibat daripada luka dan seterusnya bahagian
tersebut mengalami jangkitan. Bezanya jangkitan tersebut merebak melalui
tisu badan kucing. Diantara tanda dan gejala jangkitan bakteria pada tapak
kaki kucing adalah seperti ada
kesan kemerahan (inflammation), bengkak, kegatalan, dan terdapat cecair
nanah (drainage/abscess). Ubat yang akan diberi adalah antibiotik oral atau ubat krim sapu topikal
bergantung kepada tahap jangkitan tersebut.
Penyebab Utama Selulitis?
Selulitis berlaku apabila bakteria streptokokus dan
staphylococcus masuk kebahagian luka atau tisu yang terluka dan
mengakibatkan jangkitan. Terdapat juga kes yang lebih serius disebabkan oleh
jangkitan bakteria Staphylococcus aureus (MRSA).
Bagi punca jangkitan pada tapak kaki Miki tidak dapat dipastikan. Tak ada
pula dia bergaduh dengan kucing yang lain dan Miki memang sepenuhnya di
dalam rumah sahaja. Vet beritahu mungkin juga Miki telah terpijak bahan yang
mengakis seperti klorox. Sebelum ini tiada kejadian yang pelik-pelik
walaupun Kak Bell mengemop lantai. Jadi lepas ini kena lebih berhati-hati
dan pastikan lantai dibilas bersih dengan air bersih. Mungkin juga Miki
terpijak benda lain yang tidak diketahui.
Rawatan
Kesan inflammation tersebut amat sakit pada kucing dan jika tidak cepat
dirawat kawasan jangkitan akan bernanah dan meyebabkan jangkitan ke dalam
bahagian dalaman kucing. Selulitis yang tidak dirawat akan berkembang
menjadi abses/bernanah. Jika kawasan jangkitan sudah bernanah, nanah perlu
dikeluarkan, dibersihkan dengan air masak suam dan disapu krim dan makan
antibiotik.
Sy nak letak ubat kat kaki awak ye!
Selulitis pada tapak kaki Miki masih diperingkat awal dan cuma terdapat
sedikit sahaja nanah di kawasan permukaan. Tapak kaki Miki dibersihkan
dengan saline water dan disapu krim Polybamycin. Vet beritahu
selulitis pada tapak kaki ni memang menyebabkan kucing rasa yang amat sakit.
Terkejut sangat bila Kak Bell tengok warna merah pada paw dia tu. Kesian
Miki.
Untuk kes Miki, dalam masa kurang seminggu tapak kakinya dah sembuh. Setiap
hari tapak kaki yang mengalami selulitis dibersihkan menggunakan air suam,
gunakan kapas bersihkan semua kotoran, nanah dan lapisan pada tapak kaki
kucing dan sapukan ubat 2 kali sehari. Miki tidak diberikan antibiotik dan
cuma sekadar rawatan biasa dengan krim Polybamycin.
Luka pada tapak kaki kucing biasanya akan sembuh tetapi mengambil masa yang
agak lama. Jika luka kucing dan selulitis masih belum sembuh setelah
seminggu, kelihatan masih bengkak dan berair, kucing perlu dibawa semula
berjumpa veterinar.
Rupa-rupanya, tapak kaki kucing juga terdedah kepada penyakit begini.
Iyalah, kucing mana ada alas kaki untuk tutup paw dia dari bahaya dan
terdedah kepada luka dan jangkitan.
2 tanda yang menunjukkan ada yang tidak kena pada kaki kucing anda adalah
kucing akan sentiasa menggigit dan menjilat tapak kaki secara berlebihan
dan kerap dan juga kucing tidak berjalan di atas kakinya secara normal.
Jika kucing menunjukkan tanda-tanda ini, pemilik kucing mestilah memeriksa
keadaan kaki mereka kerana pasti ada yang tidak kena dan bawa ke klinik haiwan untuk pemeriksaan.