Resepi Makeral Tumis Kacang Panggang - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Resepi Makeral Tumis Kacang Panggang

Trending

Resepi Makeral Tumis Kacang Panggang

Hi semua! Lama juga Kak Bell tak berkongsi resepi masakan. Sejak dari mula temph PKP dan hingga sekarang dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memang Kak Bell bekerja macam biasa. Kira tergolong kategori barisan hadapan 'frontliners' jugalah. Bila waktu kerja sudah kembali normal jadi kurang sedikit lah masa hendak memblog dan sebagainya. 


Semalam selepas habis kerja jam 1230 pagi, kedai makan semua pun dah tidak beroperasi. Punyalah lapar sebab skip makan malam. Tengah-tengah malam tu juga Kak Bell gigih ke dapur. Memang dah menjadi tabiat makan lepas balik kerja sebab kalau lapar memang tak boleh tidur dibuatnya. Kalau takut gemuk jangan tiru dan tidak bagus pun sebenarnya makan lewat tengah malam.


Jadinya, kalau nak masak mesti nak menu yang cepat dan pantas dibuat. Pasta, mi segera semua pun dah tiada stok jadi terpaksalah masak nasi. Kebetulan ada sebeban stok Ayam Brand, Kak Bell pun godeklah resepi apa yang ada. Nak masak ikan sardin biasa pun boring kan. Kemudian Kak Bell terjumpa resepi masakan sardin dengan kacang panggang. Bahan-bahan pun semua ada jadi Kak Bell buat masakan menggunakan ikan makeral dan kacang panggang.


Sebenarnya resepi asal adalah dari resepi Tunku Azizah. Seperti biasalah, bila bahan tak ada Kak Bell gantikan ikut suka asalkan boleh. Dalam resepi asal menggunakan serai dan jus limau kasturi, tetapi tiada bahan dirumah jadi Kak Bell gunakan daun limau purut dan asam keping. Terpulang, boleh sahaja mengikut cara masing-masing memasak sardin cuma tambahkan sahaja kacang panggang. Its done! 


Bahan A
1 tin sardin/makeral besar
1 tin kecil kacang panggang
7-10 biji cili api
Sedikit hirisan lobak
2 sudu sos cili
1 keping asam gelugor
1 helai daun limau purut
Garam dan gula

Bahan B (hiris/blend)
1/2 biji bawang holland
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia


Cara memasak:
1) Panaskan minyak dan tumis bahan B hingga naik bau.


2) Kemudian masukkan cili padi, hirisan lobak, daun limau purut dan asam keping. Kacau seketika.


3) Masukkan sardin/makeral, tambahkan sedikit air dan kacau rata.
4) Tambahkan sos cili, garam, gula dan perasa (jika suka) dan sesuaikan rasa.


5) Akhir sekali masukkan kacang panggang dan kacau rata sekejap sahaja.

    TIPS!
  • Boleh gunakan ikan sardin atau makeral tin
  • Boleh tambahkan 1 batang serai dititik
  • Boleh gantikan lobak dengan tomato, kentang dan lain-lain
  • Kuantiti kacang panggang ikut kesukaan
  • Boleh gunakan cili merah/hijau/cili hidup ganti cili padi
  • Jika nak pedas, tumis sedikt cili kisar
  • Perahkan jus limau kasturi untuk rasa lebih enak


Tak sangka ikan sardin/makeral tin boleh dipadankan sekali dengan kacang panggang. Rasanya tidak janggal dan sangat sedap. Lepas ni Kak Bell nak cuba gunakan ikan sardin, tambah sedikit cili kisar dan guna perahan limau untuk rasai perbezaannya. Gambar ala kadar sahaja ya sebab dah tengah malam. Selamat mencuba. Kak Bell 'confirm' masakan ni akan memenuhi citarasa semua.


Jangan lupa like, komen dan langgan ya.
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post