Resepi Ayam Ungkep Jawa - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Resepi Ayam Ungkep Jawa

Trending

Resepi Ayam Ungkep Jawa

Harini Kak Bell nak kongsikan resepi masakan ayam yang sangat mudah dan enak. Hidangan ringkas yang sedap ini adalah Ayam Ungkep yang merupakan masakan masyarakat Jawa. Masakannya seakan-akan rendang tetapi penggunaan beberapa bahan herba menjadikannya berbeza rasa.


'Ungkep' tu dari pembacaan Kak Bell, merujuk kepada semua bahan yang digunakan digaul sebati dan rata dan periuk ditutup sepanjang proses memasaknya supaya ayam meyerap semua bahan. Kalau salah pemahaman Kak Bell pasal makna 'ungkep' tu bolehlah betulkan ya.

Sebelum ini, Kak Bell sudah pernah kongsikan Resepi Ayam Ungkep Sedap (Klik SINI) dengan cara perapkan dahulu ayam dengan garam dan kunyit tetapi untuk resepi kali ni tak payah perap.



Ayam Ungkep ni tak perlu gunakan santan dan bahan istimewanya menggunakan jintan manis (Fennel Seeds), jintan putih (Cumin Seeds) dan ketumbar (Coriander Seeds). Kak Bell yakin mesti ada di antara kita ni yang tak tahu nak bezakan jintan kan? Senang sahaja nak kenal. Jintan putih tu warnanya lebih gelap, manakala jintan manis berwarna lebih cerah atau putih. So, korang ingat dengan cara terbalik, jintan putih warnanya hitam/gelap.

Sumber Google

Untuk dapatkan masakan yang lebih sedap, tak perlu kisar hancur jintan dan ketumbar. Cukup sekadar tumbuk kasar. Tetapi Kak Bell sarankan tumbuk hancur dalam 80-90% sebab nanti rimas masa nak makan sebab rempah kasar tu bersepah-sepah. Sebenarnya bahan rempah jintan tu tak perlu terlalu banyak, cukup untuk bagi rasa sahaja, then barulah sesuai ditumbuk kasar.

Bahan A
10 ketul bahagian ayam
1 batang serai (dititik)
2 keping asam keping
2 helai daun limau purut
Garam dan gula secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan B (bahan tumbuk/kisar)
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
10 biji cili api (ikut suka)
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
1 batang serai
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis


Cara memasak:
1) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis Bahan B hingga pecah minyak dan naik bau. Gunakan api perlahan.

Bahan tumisnya agak kasar kerana blender rosak dan terlebih jintan. Kak Bell over sediakan bahan untuk seekor ayam. Biasalah masak malam-malam buta, otak pun tak betul sangat.

2) Masukkan ayam, asam keping, daun limau purut, serai dititik dan gaul rata. Tutupkan periuk/kuali dan masak sampai ayam kecut dan sedikit masak.


3) Bila ayam empuk, masukkan air separas ayam dan biarkan mendidih
4) Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa, aduk rata dan biarkan kuah kering.


TIPS!
  • Boleh lebihkan cili padi hijau jika nak pedas
  • Masukkan air sama paras dengan ayam, jangan terlalu banyak
  • Jika gunakan ayam kampung perlu lebihkan air
  • Masak dengan api perlahan dan periuk ditutup. Sekali sekala kacau supaya tidak hangit.


Masakan Ayam Ungkep ni kalau dimakan tanpa lauk pauk lain pun sudah memadai. Rasanya pun akan lebih sedap selepas dimasukkan dalam peti ais kemudian dipanaskan. Memang terasa bahan-bahannya. Yang mana dah cuba, sedap tak masakan ayam ungkep Jawa ni?


Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post