Kalau ditanya masakan apa yang Kak Bell gemari, dah pastilah Patin Tempoyak. Dahulu memang Kak Bell membesar di Pahang dan menu masakan ikan patin memang dah menjadi kebiasaan. Ada sesetengah orang tak makan ikan patin atau ikan sungai tapi boleh mengadap ikan laut. Rasanya kalau dah ikan memang lah berbau hanyir kan. Asalkan basuh dengan cara yang betul, pasti hilang bau hanyirnya.
Disebabkan sekarang negara kita sedang dalam Movement Control Order kerana wabak pandemik COVID-19, jadi lebih baiklah kita semua memasak sendiri di rumah. Sekurang-kurangnya kita dapat menjauhi risiko dan kekal selamat. Kak Bell pula yang bekerja di syarikat telekomunikasi, masih lagi bekerja sehingga ke hari ini walaupun turut rasa takut dengan risiko jangkitan. Kak Bell pula dah memang ada asma, lagilah berisiko disebabkan penyakit yang berkaitan pernafasan. Sama-samalah kita berdoa agar semua ini berakhir dengan cepat dan baik tanpa perlu perintah 'Lockdown'. Aminn.
Ikan patin yang Kak Bell beli tempohari masih berbaki 4 ketul. Untuk hari pertama MCO, Kak Bell cuma buat ikan patin goreng dan keesokannya baru buat resepi Ikan Patin Tempoyak. Sebelum ni memang ada kongsikan resepi, tapi kali ini lebih cantik sikit kejadiannya. Hehe. Bagi mana yang tak tahu, resepi patin tempoyak pahang ni guna 5 bahan asas sahaja iaitu ikan patin, cili api, tempoyak, kunyit hidup dan daun kesum. Kalau pakai bawang dan lain-lain tu Kak Bell tak berkenan sangat. Oklah, jom tengok bahan-bahannya dahulu.
Bahan-bahan
2 ketul ikan patin
10 biji cili api merah/hijau
1 inci kunyit hidup
1-2 sendok tempoyak
2 asam keping
1 batang timun Jepun
1 ikat daun kesum
Garam
Air secukupnya
Cara memasak:
1) Tumbuk cili padi dan kunyit hidup dan tidak terlalu hancur.
2) Kemudian masukkan tempoyak dan ditumbuk sekali supaya bergaul rata.
3) Masukkan bahan ditumbuk tadi, timun jepun dan asam keping ke dalam periuk dan masukkan air secukupnya.
4) Masak dengan api perlahan sehingga mendidih dan pastikan timun dah lembut.
5) Masukkan daun kesum, ikan patin dan masak selama 4-5 minit.
6) Perasakan dengan garam secukupnya dan bolehlah ditutup api.
- Untuk resepi ikan patin tempoyak Pahang memang tak pakai bawang atau bahan-bahan lain.
- Pakai cili api merah untuk kuah lebih cantik.
- Disarankan tumbuk dalam lesung kerana lebih sedap berbanding menggunakan blender.
- Kepekatan kuah bergantung pada sukatan air dan jumlah tempoyak. Sesuaikan sendiri.
- Masak ikan maksimum 5 minit sahaja dan tidak perlu kacau untuk elak ikan hancur.
Untuk masakan patin tempoyak kegemaran, Kak Bell sukakan kuah yang sedikit masam dan pedas. Memang layan kalau masa makan. Bagi yang nak cuba resepi patin yang lain bolehlah klik di bawah ni.
Pais Tempoyak Ikan Patin Air Fryer
Pais Tempoyak Ikan Patin Bakar
Mudah sahaja kan masakan patin tempoyak ni. Tak perlu tumis dan pakai minyak pun. Campak-campak je semua bila memasak. Bolehlah anda cuba nanti!