Resepi mudah dan malas ni lebih dikenali sebagai menu orang sakit. Tak lain tak bukan ikan bilis goreng. Sekali sekala bila dah teringin, makan ikan bilis goreng kicap dengan nasi panas pun dah memadai. Terdapat juga beberapa cara orang memasak ikan bilis goreng kicap. Ada yang tumiskan bawang dahulu sehingga naik bau dan masukkan cili kisar. Untuk cara Kak Bell ni tidak perlu nak tumis bagai. Semuanya campak goreng dan siap!
Satu sahaja masalah kalau menu ikan bilis goreng ni bila ikan bilisnya tidak rangup dan liat masa nak makan. Terus rasa failed waima hanya menggoreng ikan bilis! Ada juga orang keliru sama ada nak basuh dahulu ikan bilis atau tak. Boleh aje tak payah basuh supaya garing, tapi ada yang tak lalu nak makan pula kalau tak dibasuh dahulu. Antara kesilapan yang biasanya dilakukan ialah ikan bilis yang dibasuh atau direndam, tidak betul-betul kering semasa ditos sebelum digoreng.
Mungkin jenis ikan bilis yang digunakan juga menjadi faktor penyumbang kepada ikan bilis yang ranggup. Nak yang elok haruslah kena beli gred yang berkualiti dan bersih dan semestinya harganya lebih mahal sedikit. Ikan bilis yang Kak Bell beli ni yang sudah siap dikopek dan dibersihkan. Secoet je RM5, adalah dalam 2 genggam gamaknya. Kali ni Kak Bell tak basuh, terus goreng je dan memanglah rangup kejadiannya. Sama ada anda nak cuci atau rendam ikan bilis sebelum digoreng, terpulang. Yang penting, toskan ikan bilis seketika hingga kering dan tak berair.
Ada banyak tips untuk dapatkan ikan bilis yang rangup. Selain toskan kering, boleh juga rendam ikan bilis dgn air dan masukkan 1 sudu besar cuka. Biarkan selama 15 minit, kemudian toskan dan goreng sampai garing. Yang lain-lain cara tu bolehlah buat carian di Google.
Bahan-bahan
1 genggam ikan bilis
5 biji cili kering
1 biji bawang merah/holand (potong bulat)
Kicap manis secukupnya
Cara memasak:
1) Panaskan minyak dan goreng ikan bilis dan cili kering sehingga garing dan ketepikan.
2) Keluarkan baki minyak dan tinggal kan sedikit sahaja.
3) Masukkan kicap dan bawang yang dah dipotong.
4) Kemudian masukkan semua ikan bilis tadi, kacau rata.
5) Gaul sebentar dan angkat.
TIPS!
- Boleh tambahkan cili padi untuk rasa lebih pedas
- Perahkan asam limau untuk rasa lebih enak
- Gunakan kicap manis sahaja supaya lebih sedap
- Cili kering dipotong/gunting dan rendam/cuci bersih dahulu
Lantak pi lah ikan bilis tu tak dibasuh kan. Kak Bell je pun makan sorang-sorang. Kalau dapat makan dengan bubur nasi pun meriah juga kan. Disebabkan menu ikan bilis, jadi kucing-kucing kat rumah ni terus jadi gila sampaikan susah Kak Bell nak melantak. Hahaha. Begitulah kehidupan. Hehe.