Konsert Elyana 'Jadi Diriku 19' Live In Concert - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Konsert Elyana 'Jadi Diriku 19' Live In Concert

Trending

Konsert Elyana 'Jadi Diriku 19' Live In Concert

Ramai yang sudah mengetahui bahawa penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau nama pentasnya Elyana menghidap kanser limfoma peringkat 4 sejak 7 tahun lalu tetapi sakit bukan alasan buat wanita kental ini untuk meneruskan karier seninya. Elyana bangkit menafikan penyakit yang merebak dalam tubuhnya dari duduk dan mengenang nasib yang menimpanya. Menerusi karier seninya, ibu kepada seorang cahaya mata itu membina keyakinan buat dirinya dan juga buat pesakit kanser yang lain agar tidak kenal erti putus asa. Oleh itu, Elyana muncul dengan idea mewujudkan konsert Elyana "Jadi Diriku 19" Live In Concert yang bakal diadakan pada 6 Julai 2019 nanti.



Konsert yang akan diadakan ini adalah konsert sulong sepanjang Elyana menjadi artis dan semasa kariernya sebelum ini pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pilihan Juri dan Peserta Paling Popular di Voice of Asia Kazakhstan pada 2002. Konsert yang diilhamkan ini adalah bukan untuk tujuan peribadi. Sebaliknya Elyana Live In Concert ini adalah sebuah usaha dalam mengumpul dana untuk diagihkan kepada pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan. 


Konsert ini akan berkolaborasi bersama beberapa syarikat-syarikat tempatan iaitu Shopee, Red Box, MAKNA (Majlis Kanser Nasional) dan dianjurkan oleh MRS Production. Sebahagian sumbangan syarikat-syarikat ini akan disalurkan kepada pesakit-pesakit kanser melalui MAKNA selaku rakan penerima manfaat. Tidak hanya menjadi penaja rasmi untuk sidang media konsert, Red Box Karaoke akan membantu dari segi hebahan melalui platform sosial media dan juga penyiaran poster konsert di semua outlet mereka. Manakala, Shopee pula akan menjual tiket konsert secara atas talian melalui platform mereka.


Elyana amat berbesar hati mempersembahkan Elyana "Jadi Diriku 19" Live In Concert untuk mengumpul dana bagi pesakit kanser yang lain. Beliau berharap sumbangan yang kecil ini mampu membawa erti yang besar terhadap rakan senasib dengannya. Konsert ini juga merupakan satu apresiasi buat peminat Elyana yang tidak jemu menyokong kariernya sejak beliau berumur 15 tahun bermula dari tahun 2002. Pemilihan tajuk Elyana 'Jadi Diriku' adalah simbolik kekuatan buat diri Elyana yang bersemangat memerangi kanser dan '19' pula merujuk kepada 19 tahun karier seni beliau dalam industri muzik tempatan.



Menurut MRS Production, pihak mereka tidak teragak-agak untuk menganjurkan konsert ini demi membantu pesakit kanser. Ujar Rafie yang lebih dikenali dengan nama Peah menyatakan jika sambutan dan jualan tiket memberangsangkan, mereka akan menambah bilangan tiket dan menukar lokasi konsert untuk skala yang lebih besar. Untuk pengetahuan peminat, Elyana juga turut menunda rawatan kemoterapinya untuk konsert ini.

Elyana "Jadi Diriku 19" Live In Concert akan diadakan pada 6 Julai 2019 bermula jam 8.30PM di Bentley Music Auditorium, Damansara. Persembahan selama 1 setengah jam itu nanti akan dipersembahkan dengan 3 segmen. Lagu-lagu hits seperti Niat, Tak Tercapai Akalmu, Kalis Rindu, Diriku Tapak Sulaiman bersama lagu popular lain akan dibawa secara live band diiringi 5 pemain instrumen dan 2 penyanyi iringan.


Harga tiket dijual pada harga RM159 dan pembelian awal early bird terhad kepada 100 orang pada harga RM139. Manakala untuk tiket 'Meet & Greet' juga terhad kepada 100 orang terawal dan dijual pada harga RM199. Penjualan tiket bermula pada hari Rabu, 24 April 2019. Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, sila layari www.shopee.com.my atau melalui aplikasi Shopee.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post