Konsert ELLA Unplugged LIVE In KL: Ella Tukar Genre Nyanyian? - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Konsert ELLA Unplugged LIVE In KL: Ella Tukar Genre Nyanyian?

Trending

Konsert ELLA Unplugged LIVE In KL: Ella Tukar Genre Nyanyian?

Bila ditanya siapa Ratu Rock Negara, sudah tentunya nama Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin masih meniti dibibir pengemar muzik Malaysia. Dengan lenggok bahasa badannya ketika membawa lagu bergenre rock, attitude yang manja tidak ada pada penyanyi lain. Sejak aktif bermula pada tahun 1985, masih tiada artis wanita bergenre rock mengatasi beliau dan hingga kini Ella masih diagung sebagai Ratu Rock Negara.

Sebagai seorang penyanyi yang telah lebih 3 dekad berada di dalam industri muzik, konsert bukanlah sesuatu yang asing buat Ella. Belum pernah mahu berhenti memberi hiburan buat peminat, penyanyi itu akan hadir dengan sebuah konsert unplugged dan juga album terbaru berjudul "Peace. Love. Rindu".


Ella Unplugged LIVE In KL Di Istana Budaya
Rasa bertuah dapat hadir di sidang media konsert yang diberi nama ‘Ella Unplugged In KL’ yang akan diadakan selama tiga malam bermula pada 29, 30 dan 31 Mac depan, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya. Namun kali ini, Ella akan tampil dengan konsep konsert akustik dan merupakan konsert penuh pertama versi akustik yang bakal dibawakan oleh Ella.



Bayangkan lagu hit Pengemis Cinta, Rama-Rama, Standing In The Eyes of The World, Simbiosis atau Sepi Sekuntum Mawar Merah dialunkan dalam bunyian akustik. Dalam pada itu, Ella berkata, bagi memberikan kelainan, dia akan tampil dengan sebuah segmen khas yang memperlihatkan dia mempersembahkan seleksi lagu-lagu irama Malaysia dan asli.

“Ella tidak sabar untuk mengadakan konsert ini kerana selain dibawa dalam konsep akustik, ia juga dihadirkan selama tiga malam!. Ini bukan sekadar platform yang menguji kredibiliti Ella sebagai seorang penghibur, tetapi mahu melihat kesetiaan peminat Ella juga,” ujar Ella penuh teruja.



Segmen irama Malaysia dan asli tersebut itu adalah idea asal daripada dirinya sendiri serta suami Ella, Azhar Ghazali yang ingin menzahirkan minatnya terhadap genre itu walaupun dia lebih dikenali dengan irama rock. Ella sebenarnya memang sukakan lagu-lagu asli dan ingin mengambil kesempatan ini mewujudkan segmen khas dalam konsert tersebut. Ella yang kini sedang belajar dan mencari pelbagai maklumat mengenai muzik tradisional dan lagu Asli berkongsi bahawa ada sekitar 18 jenis lagu Zapin, namun yang kita sering dengar dan lihat hanyalah asas sahaja.


Konsert yang akan berlangsung selama 1 jam 30 minit itu akan dipenuhi dengan hampir 20 lagu popularnya dan akan diiringi oleh tujuh pemuzik handalan yang menjadi instrumen penting dalam Ella Unplugged in KL. Berkemungkinan Ella akan menyampaikan lagu seperti Tidak Seindah Wajah nyanyian asal Tan Sri SM Salim dan Jauh Di Mata oleh Ahmad Jais. Selain itu, sebuah lagu asal Ella akan diberi rentak asli dan pemilihan lagu masih belum diputuskan.


Sebahagian Jualan Tiket Akan Di Derma
Konsert Ella Unplugged In KL ini dianjurkan oleh PROJEK ELLA dengan kerjasama MOTAC. Ella juga memberitahu pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Autism Malaysia (YAM) di mana sebahagian hasil penjualan tiket akan didermakan kepada badan tersebut.


“Adalah sesuatu yang membanggakan dan unik apabila seorang penyanyi yang terkenal dengan genre rock mengangkat elemen seni budaya dan warisan negara menerusi segmen kebudayaan. Konsep persembahan sebegini membuktikan genre muzik boleh digabungkan kerana ia bersifat universal,” ujar Datuk Rashidi Hasbullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang berbesar hati dengan penganjuran konsert Ella Unplugged In KL di Istana Budaya.

Konsert ini turut mendapat sokongan dan kerjasama ASWARA dimana pihak ASWARA telah diberi peluang daripada pihak PROJEK ELLA dengan melibatkan alumni dan pelajar tahun akhir dalam perancangan serta pengendalian pengurusan pentas sebelum dan selepas konsert berlangsung. Malah pihak JKKN juga turut bekerjasama dengan melibatkan penari cilik PERMATA dan persembahan pemuzik alat muzik tradisional di dalam salah satu segmen persembahan kelak.


Tiket-tiket early bird sudah mula dijual bermula pada 2 Januari 2019 (Rabu) dan sebarang pembelian tiket boleh ditempah atau dibeli melalui PROTICKET.

Semasa sidang media Jumaat lepas, Ella turut membawakan 3 buah lagu versi akustik termasuk lagu baru. Boleh tonton di youtube. Enjoy!



Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post