Setiap negeri pasti ada masakan tradisi atau masakan unik tersendiri. Makanan tradisi yang diwarisi sejak turun temurun ini menjadi identiti sesuatu tempat dan negeri. Cakap sahaja nasi kerabu sudah tentunya dari Kelantan. Kalau di Pahang pula turut ada makanan tradisinya yang tersendiri seperti masakan ikan patin, asam rong, pede dan sambal hitam. Baru-baru ini, Kak Bell berkesempatan ke sebuah restoren yang menampilkan pelbagai menu istimewa dan popular dari pantai timur. Bila tahu sahaja menu hidangannya ada ikan patin, terus tak sabar dibuatnya hendak berkunjung kesini. Sudah lama juga tak menjamu ikan patin. Terima kasih atas undangan berkunjung ke restoren hidangan pantai timur, Rasa Wau.
Restoren Rasa Wau yang terletak di Sunway Giza ini mengenengahkan hidangan dari 3 negeri iaitu masakan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Restoren ini dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Puan Shezlinda Othman dan Encik Mohd Razifnizam yang kedua-duanya berasal dari negeri Pahang. Mula beroperasi sejak Disember 2017, kini restoren ini telah mula menarik perhatian ramai pengunjung yang berbilang kaum. Berikutan kerana keistimewaan pelbagai menu yang ada, lebih mudah para pengunjung datang ke sini untuk merasa masakan tradisi negeri pantai timur. Kalau anda nak tahu, semua hidangan di Restoren Rasa Wau ini dimasak sendiri hasil air tangan oleh pemiliknya, Puan Linda.
Negeri Pahang memang sinonim dengan ikan patin. Keenakan hidangan patin menjadikan makanan ini sangat popular dan semakin ramai yang menggemarinya. Terdapat banyak tempat menjamu selera yang menyediakan hidangan patin tak kira di warung atau restoren mewah tetapi tidak semuanya menepati citarasa sebenar masakan patin. Kebanyakkan restoren yang Kak Bell pernah kunjungi selalunya tidak tepati citarasa piawaian masakan patin tempoyak. Agak kecewa juga sebab tidak puas makan. Kebetulan Kak Bell pernah membesar di Pahang, jadi agak cerewet jika nak makan ikan eksotik patin tempoyak.
Menurut pemilik Restoren Rasa Wau, ikan patin yang dihidangkan di sini diambil dari Temerloh, Pahang dan menggunakan patin sungai yang segar dan bukannnya patin sangkar. Hidangan patin di sini menjadi menu popular dan mendapat permintaan ramai pengunjung hingga mencecah 70kg patin setiap minggu disediakan. Jika nak rasa yang sedap, mestilah gunakan tempoyak yang turut sedap. Tempoyak yang digunakan oleh Rasa Wau juga turut diambil khas dari Pahang. Padanlah rasanya sangat asli dan memang original rasa masakan ikan patin tempoyak Pahang. Selain ikan patin, Restoren Rasa Wau juga ada menghidangkan menu istimewa belut. Pertama kali dalam hidup mencuba hidangan belut! Disebabkan boleh makan hidangan Jepun 'Unagi', jadi rasanya mungkin tiada masalah untuk mencuba hidangan belut tempatan. Jom ikuti apa menu yang telah Kak Bell cuba di sini.
Ikan Patin Tempoyak
Melihat sahaja warna dan kepekatan kuahnya sahaja sudah membuktikan ianya masakan asli Pahang. Memiliki rasa tidak terlalu masam dan pedas disamping ikan yang tidak berbau hanyir, pastinya menu masakan tradisi ini sememangnya amat sedap bagi pengemarnya. Aroma daun kesom, bunga kantan dan haruman tersendiri tempoyak sudah mampu membuatkan perut yang kenyang menjadi lapar. Keharuman tempoyak yang meresap dengan lemak ikan patinnya memang menyelerakan, hinggakan tak puas menghirup kuahnya. Menu ini mesti anda cuba jika berkunjung ke sini.
RM15.90 untuk set nasi dan bahagian ikan
Golden Patin
Selain dimasak tempoyak, ikan patin ini juga sedap digoreng, masak singgang atau dibakar. Menu golden patin ini merupakan menu terbaru di Rasa Wau. Ikan patin goreng ini dihidangkan dengan salted egg sauce disamping sambal cili di bahagian dalam ikan. Kombinasi pedas cili dan sos telur masin sangat sedap dan juga amat bersesuaian. Salah satu hidangan pilihan Kak Bell. Recommended untuk anda cuba.
Sup Belut
Selain hidangan istimewa tempoyak ikan patin, Restoran Rasa Wau turut menyediakan hidangan belut. Belut yang digunakan adalah belut sawah yang diambil dari Kuala Selangor. Rasa daging belut ini lebih pejal dan kena dengan rasa masam sup dari tomato yang digunakan. Tips dari Puan Linda, elakkan makan tulang belut bagi mengelakkan sakit sendi. Bagi yang belum pernah mencuba, Kak Bell sarankan cuba sup belut di sini.
Ayam Pandan
Menu ayam pandan memang sudah menjadi kebiasaan. Sepanjang mencuba ayam pandam, selalunya hanya ibarat ayam goreng biasa. Tiada rasa yang istimewa. Tetapi ayam pandan disini cukup terasa wangi daun pandannya.
Kerutub Daging
Menu berasal dari Kelantan ini juga tidak kurang istimewa. Dagingnya di masak lembut bersama rempah khas kerutub yang lazat.
RM13.90
Lemak Cili Api Daging Bakar
Masakan lemak cili api memang tidak asing lagi. Untuk hidangan ini, kuah santannya memang terasa secukup rasa.
RM13.90
Puding Raja
Pencuci mulut ini dikenali sebagai santapan istana dan hanya dinikmati dalam istana. Dahulunya Puding Raja ini tidak pernah dibawa keluar untuk rakyat jelata kerana ia merupakan santapan pencuci mulut istimewa istana. Sebab itu dinamakan Puding Raja. Buat pertama kali mencubanya, terus jatuh hati. Bahan utama yang harus ada ialah Jala Emas yang diperbuat dari kuning telur itik dan pisang lemak manis disamping kacang gajus, ceri merah, ceri hijau dan buah prune. Puding Raja biasanya sangat manis, tetapi Kak bell sukakan puding raja di sini yang tidak terlalu manis. Kepuasan menikmati hidangan ini memang terbaik.
Kesemua menu yang dicuba sangat menepati citarasa. Bagi peminat masakan western juga boleh mendapatkannya disini. Terdapat banyak lagi menu lain seperti nasi kerabu, masak lemak cili api ketam, gulai kawah, sup tulang dan asam pedas ada disini. Tidak perlu menunggu untuk berkunjung ke negeri berkenaan untuk menikmati hidangan tradisi seperti nasi dagang atau nasi kerabu kerana segala-galanya ada di Rasa Wau.
Untuk minuman istimewa di sini anda boleh cuba serai selasih, layered sirap bandung, jus oren, 3 layered ice teas dan juga asam boi cili. Kesemuanya dijual pada harga RM6. Minuman asam boi cili ini memang khas dicipta oleh Rasa Wau. Rasanya not bad! Pilihan minuman panas dan sejuk yang lain juga ada selain cendol dan sago gula melaka.
Air Asam Boi Cili
Kontemporari Ciri Kampung
Restoren Rasa Wau menampilkan dekorasi minimal warna asas biru pada dinding utama, berdinding kayu, kerusi makan yang berwarna-warni dengan ciri kontemporari kampung. Ciri kampung ditonjolkan melalui penggunaan tetingkap berwarna-warni dan perhiasan wau.
Ruang makannya juga selesa. Bagi yang hendak menikmati hidangan sambil menghirup udara segar bolehlah duduk bersantai dibahagian luar.
Bagi peminat hidangan lauk pauk Pantai Timur bolehlah kunjungi restoren Rasa Wau di Sunway Giza, Kota Damansara. Tak sabar untuk berkunjung semula ke sini mencuba hidangan lain dan tentunya menikmati semula masakan ikan patin tempoyak Pahang Rasa Wau. Memang terbaik untuk anda nikmati.
Restoren Rasa Wau
Block C-11-G, Sunway Giza,
Jalan PJU 5/14 Kota Damansara
47810 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia
Masa Operasi
Isnin-Khamis & Ahad : 9:00AM – 9:00PM
Jumaat-Sabtu : 9:00AM – 9:30PM
Tel No: 010-231 2704
https://www.facebook.com/rasawaupenyu/
Tags:
Asam Boi Cili
Ikan Patin
Ikan Patin Tempoyak
Kerutub Daging
Makan Place
Puding Raja
Restoren Rasa Wau
Selera Pantai Timur Di Restoren Rasa Wau
Sunway Giza
Sunway Giza Mall