Hi Korang! Dah lama Kak Bell tak kongsikan resepi. Bukannya apa, tersangatlah sibuk dengan pelbagai hal silih berganti. Kebetulan pula ada cuti, baru dapat meluangkan masa pergi ke event. Jadi untuk entri ni, Kak Bell nak kongsikan resepi untuk buat dipping sos. Pasti ada di antara kita pernah alami situasi tidak tahu hendak hidangkan apa kepada tetamu yang tiba-tiba hadir. Jadi, pastinya lebih mudah jika kita ada resepi pantas, lazat dan menarik untuk tetamu. Terdapat 5 resepi mudah sos cecah atau dipping sauce untuk chips, keropok ataupun biskut crackers. Walaubagaimanapun, Kak Bell akan kongsikan sos pencicah Guacamole dahulu ya.
Pelik betul bunyinya, macam susah je, tapi sebenarnya tidak. Guacamole ialah dipping sauce yang berasal dari benua Amerika Selatan, secara tepatnya Mexico. Ianya sangat mudah dan pantas disediakan jika ada bahan-bahannya. Masa yang diambil untuk menyediakan guacamole ni hanya dalam 10 ke 15 minit. Kalau korang nak cuba satu kelainan untuk sos pencicah, bolehlah cuba resepi ini jika mahukan kelainan dalam hidangan.
Bahan-bahan:
2 biji buah avocado
1 biji tomato
1 biji limau nipis atau Lemon (diperah jusnya)
1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
2 biji Jalapeno atau Cili Hijau (gunakan 1 biji jika mahu kurang pedas)
Sedikit Daun Ketumbar atau Cilantro
Sedikit Garam
Cara Membuatnya:
1) Potong Avocado secara menegak dan membulat, bahagikan kepada dua dan keluarkan bijinya. Gunakan sudu dan cedok isi avocado tersebut. Satu lagi cara ialah dengan mengupas kulit avocado tersebut setelah dipotong.
2) Masukkan avocado dalam bekas dan lenyekkan. Jika avocado agak keras, mungkin boleh gunakan lesung atau pengisar (blender). Jangan kisar terlalu halus bagi mengekalkan rasa dan teksturnya.
3) Perahkan limau atau lemon dan gaulkan dengan avocado tersebut. Perahan ini dimasukkan dulu bagi mengelakkan avocado bertukar warna ke coklat.
4) Seterusnya potong tomato kepada dua dan buang bijinya bagi mengelakkan guacamole terlalu berair. Setelah itu, tomato dipotong dadu, halus.
5) Hiris halus bawang besar dan seulas bawang putih tadi. Seterusnya hiris jalapeno atau cili hijau. Masukkan semua bahan ini bersama sedikit garam kedalam mangkuk dan lenyekkan sekali lagi.
6) Pastikan semua bahan tadi digaulkan sebati dan kemudian masukkan sedikit daun ketumbar atau cilantro. Gaulkan sekali lagi.
TIPS!
- 2 biji avocado sesuai digunakan untuk hidangan 3-4 orang.
- Memilih avocado yang sesuai adalah penting bagi hasil terbaik.
- Pilih buah yang lebih mengerutu kulitnya dan berwarna hijau gelap kehitaman.
Siap sudah guacamole kita dan sedia untuk dihidang dengan tortilla chips atau biskut crackers! Untuk lebih resepi atau info berkenaan Travel, bolehlah layari Kokonutlist . Jumpa lagi untuk next resepi kay!