Hi Korang! Dah makan? Suka makan tak? Tak lengkap rasanya kalau tak ada pencecah yang paling popular iaitu sambal belacan ketika makan. Tak kiralah sambal jenis apa pun, sambal adalah iringan yang serba boleh dan sesuai digunakan sebagai pembuka selera. Sambal tumis, sambal hijau, sambal kicap pedas, sambal asam pedas, sambal petis dan bermacam-macam lagilah jenis dan cara orang buat sambal sebagai penyedap. Tak lalu makan, kalau takde rasa pedas semasa makan. Sebelum ni, dah pernah post pasal sambal tumbuk ikan bilis. Kalau nak throwback, bolehlah semak resepinya!
Kebetulan ada kawan Kak Bell bagi 2 biji mangga yang dah masak. Lama sangat tersimpan dalam peti sejuk sampai masuk ranum dah dibuatnya. Jadinya, semalam Kak Bell buat sambal bilis mangga untuk makan malam bersama dengan sup telur. Memang terangkat lah pedasnya. Walaupun pedas, sampai berpeluh-peluh masa makan, tetap menambah nasi dibuatnya. Ada beberapa panduan dalam membuat apa jua jenis sambal ni, cili kering atau cili hidup mestilah digoreng dahulu, baru ditumbuk atau dikisar. Dengan cara ini, pemakannya tidak mudah sakit perut serta sambal pula akan tahan lebih lama. Pernah dengar tak petua orang-orang tua, kalau nak buat sambal mesti guna kuantiti cili dengan yang ganjil? Kak Bell tak pasti pula petua ni nak untuk hasilnya sambal yang lebih sedap dan pedas atau untuk kurangkan kepedasan cili, selain jangan buangkan tangkai cili padi tu semasa menumbuk sambal. Cuba korang bagitahu Kak Bell apa tujuan petua ni ek?
Ramai pulak yang terliur bila Kak Bell postkan gambar sambal bilis mangga ni semlam. Nak resepi katanya. Actually buat macam mana pun boleh je. Campak je semua bahan yang dah digoreng terlebih dahulu, tumbuk kasar dan letakla sedikit garam dan gula. Apapun, bolehlah korang tengok resepi Kak Bell ni. Btw, sambal yang ni tak gunakan belacan.
Bahan-bahan:
1 mangkuk kecil ikan bilis -dibersihkan
2 biji mangga *Kak Bell guna mangga masak
1 biji bawang besar di potong 4
10 biji cili padi hijau dan merah
Garam sekucup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
Cara membuat:
1) Potong buah mangga (saiz mengikut kesesuaian).
2) Bersihkan ikan bilis, toskan.
3) Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan
4) Kemudian goreng pula cili padi dan bawang merah dengan sedikit minyak hingga layur. Angkat dan ketepikan
5) Tumbuk cili padi dan bawang sehingga lumat. Kemudian masukkan ikan bilis dan tumbuk kasar-kasar.
6) Akhir sekali masukkan hirisan pelam, tumbuk kasar atau ratakan.
7) Perasakan dengan garam dan gula sekiranya perlu.
TIPS!
- Boleh tambahkan tomato dan juga belacan yang dah disangai.
- Gunakan juga tangkai cili padi untuk menyambal, tak payah buangkan.
- Kurangkan minyak semasa menumis, supaya sambal tahan untuk tempoh lebih lama.
- Boleh perahkan limau nipis atau limau kasturi jika suka.
Nanti bolehlah komen entri ni pasal petua tu ye. Amacam sedap tak sambal yang korang buat tu?