Hi Korang! Harini Kak Bell kongsikan resepi kuih buah melaka atau onde-onde. Kuih ni merupakan kuih tradisional Melayu Kelantan. Kebetulan pulak sekarang ni di bulan Ramadhan, memang bersepahlah ada dijual di bazar-bazar Ramadhan kan. Tapi, sedap ke uols kuih yang dorang jual tu? Jangan liat sampai tak boleh nak telan sudah!
Jika di Indonesia kuih ni dikenali dengan nama 'Klepon' dan kalau di Brunei pula dipanggil sebagai 'Kuih Pancit'. Kalau korang nak tahu, nama kuih buah Melaka datangnya dari saiz dan bentuk kuih ni yang menyerupai buah pokok melaka. Ada yang panggil kuih buah melaka dan ada yang panggil onde-onde. Bezanya ikut kandungan inti yang digunakan. Kuih buah Melaka menggunakan gula kabung/gula Melaka yang lebih cerah sebagai inti. Manakala, onde-onde pula menggunakan gula nisan yang diperbuat daripada nira kelapa dan bewarna lebih hitam.
Masa kecik-kecik dahulu, memang Kak Bell tak berapa sukakan kuih ni sebab liat. Kunyah-kunyah sampai tak boleh nak telan! Lagipun tak suka sebab ada kelapa parut. Tapi dah tua-tua ni, barulah rasa nak mencuba buat kuih buah melaka ni. Resepi yang Kak Bell buat ni tidak menggunakan air kapur. Rupa-rupanya senang amat cara nak membuatnya. Bagi Kak Bell yang memang tak pandai sangat memasak atau buat kuih ni, kira hasilnya menjadilah. Korang pun bolehlah cuba nanti.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air atau secukupnya
5 helai daun pandan
Gula melaka
Kelapa parut
Sedikit garam
Cara membuatnya:
1) Gula Melaka di potong kiub kecil atau boleh hancurkan.
2) Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam dan ketepikan.
3) Kisar daun pandan dengan sedikit air, tapis dan ambil jusnya sahaja.
4) Bancuh tepung pulut dan tepung gandum dengan air daun pandan tadi. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tak melekat di tangan.
5) Ambil doh adunan sebesar ibu jari dan leperkan.
6) Masukkan gula melaka di tengahnya dan tutup semula dengan kemas. Gentel bulat dengan tapak tangan.
7) Panaskan air di dalam periuk bersama sehelai daun pandan yang diikat sehingga mendidih.
8) Masukkan bebola tadi dan bila kuih timbul bolehlah diangkat, toskan dengan penapis.
9) Tunggu air sejat dan golek-golekkan bebola di atas kelapa parut tadi.
TIPS!
- Boleh tambah lebih sedikit tepung gandum supaya adunan kurang liat dan tak melekat pada tangan.
- Pastikan air dah mendidih sebelum mula masukkan bebola doh.
Sekejap je uols nak membuatnya. Masa ni buat untuk berbuka puasa haritu. Gambar pun tak banyak sebab malas berkecah-kecah dengan adunan tepung bagai kan. Tengok hasil akhir sudahlah yer! Walaupun buah melaka Kak Bell ni tak hijau, tapi rasanya sedap tau! Letak gula melaka banyak, barulah best. Kalau korang nak beria-ria warna hijau tu, curah kan aje pewarna yer. Nak buat warna pelangi pun boleh. Selamat mencuba. Muah!